Kronisma dan menjaga periuk nasi sendiri

- Advertisement -

KRONISM dan Napotism

(1) Antara realiti dunia pemerintahan ialah ‘tersepit’ dalam suasana Kronism. Tersepit antara alasan kepercayaan terhadap seseorang, ataupun semata-mata ingin menjaga periuk nasi seseorang. Antara istilah yang seangkatan dengan Kronism ialah Napotisme.

Dalam kamus Oxford, Perkataan ‘kroni’ pertama kali muncul di London abad ke-17, menurut Oxford English Dictionary dan dipercayai berasal daripada istilah Yunani chronios (masaνιος), yang bermaksud ‘jangka panjang’.

Yang difahami daripada ‘jangka panjang’ ialah ‘old friend’ atau kawan lama. Dari segi pengistilahan rasanya agak jelas kerana ia memang dipraktikkan secara meluas, dan semakin menjadi negatif di kalangan masyarakat.

(2) Menurut Kamus Dewan, ‘Kronisme bermaksud amalan mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan-kawan rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya untuk keuntungan pihak mereka.

Napotism pula ialah perlindungan atau pilih kasih yang ditunjukkan berdasarkan hubungan kekeluargaan, seperti dalam perniagaan dan politik [1]. Secara ringkas sejarahnya, pertentangan dengan Nepotism sejak zaman pertengahan lagi.

Ketika itu, keturunan paderi-paderi yang dikenali manusia suci, serta ahli keluarganya diberi tempat dan kemuliaan. Sistem Feudal yang merajai suasana zaman pertengahan (Zaman Kegelapan Gereja) melahirkan sistem kasta yang sangat dahsyat.

- Advertisement -

(3) Dalam hal ini, kita perlu faham bahawa daripada amalan-amalan seperti Kronism, Nepotism, dan sebagainya secara tidak langsung mewujudkan diskriminasi terhadap orang lain. Banyak contoh yang boleh dijadikan bukti. Cuma dalam tulisan ini kita tidaklah fokus ke arah itu.

Dalam tulisan kali ini lebih kepada pertembungan, dan ideologi yang terkesan daripada fenomena ini, yang sudah menjadi barah. Boleh dilihat daripada dua sudut, sama ada ia disebabkan ‘orang kepercayaan’ ataupun memang nak menjaga periuk nasi sesama sendiri.

Sistem Feudal Zaman Kegelapan

(1) Kita juga perlu sedar betapa ‘harta’ itu adalah fitnah:

وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

“Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.”

(al-Anfal: 28)

Ya, harta itu diperolehi melalui kedudukan. Mengejar kedudukan akan dihabuankan dengan ‘pengaruh’ dan ‘kekayaan’. Inilah yang menjadi fitnah yang perlu diwaspadai.

(2) Dalam gerakan Islam, Kronism Napotism atau sewaktu dengannya dikira sebagai penyakit hati. Walaupun para Sarjana Barat melihat hal ini dari sudut kepincangan ideologi. Di sinilah bezanya perbahasan antara Islam dan Barat.

Sepertimana yang pernah saya tulis sebelum ini, suasana politik, geopolitik dan sebagainya mempengaruhi kemunculan ideologi. Termasuk fahaman Kronism dan Napotism.

(3) Jika kita lihat dalam sejarah, pemerintahan gereja di zaman kegelapan mengongkong atau menghukum rakyat-rakyat tertentu, atas dasar ‘pilih bulu’. Maka para pengkaji zaman itu menterjemahkan pemikiran pilih bulu ini sebagai Kronism dan Napotism.

Apatah lagi kedua-dua istilah ini berkaitan dengan ‘fitnah harta’ atau kepentingan-kepentingan yang lain seperti pangkat yang selesa, pengaruh yang besar dan banyak lagi.

(4) Memilih bulu atas nama memilih orang-orang kepercayaan untuk kepentingan Islam tiada masalah dan tiada pertikaian. Yang menjadi pertikaian ialah apabila ia bertujuan menjaga periuk nasi seseorang.

Perhatikanlah mereka yang merasakan sudah lama berjuang, pastinya terliur untuk memungut ‘ghanimah’ yang berterabur di medan juang. Masing-masing merasa layak terhadapnya.

Amanah bukannya ghanimah

(1) Sebagai ahli gerakan Islam, kita perlu sedar bahawa jawatan yang dipundakkan untuk memegang posisi tertentu sama ada GLC atau sebagainya adalah satu amanah, dan ia bukan ghanimah.

Penyakit ahli gerakan Islam apabila melihat jawatan itu sebagai satu ghanimah. Maka, mereka pastinya merasa berhak untuk mendapatkannya, kerana merasakan diri sendiri sudah terlalu hebat berperang.

(2) Kesalahfahaman inilah yang mengundang kepada kegagalan melaksanakan politik Islam (The Failure Of Political Islam). Sama ada jahil, atau memang sengaja tidak mahu memahamkan diri, bimbang rugi.

Kita juga sedar bahawa meminta-minta jawatan itu adalah penyakit yang pernah ditegur oleh Nabi S.A.W;

يا عبدَ الرحمن بنَ سمرة، لا تسأل الإمارة؛ فإنكَ إنْ أُوتِيتَهَا عن مسألة وُكِلْتَ إليها، وإنْ أوتيتَها من غير مسألة أُعِنْتَ عليها

“Wahai Abu Abd Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta-minta jawatan. Sesungguhnya kamu jika diberikan jawatan tanpa meminta-minta, kamu akan diwakilkan kepadanya (dibiarkan), sekiranya kamu diberikan jawatan tanpa meminta-minta kamu akan dibantu.”

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

(3) Meminta-minta jawatan bukanlah bermaksud menuntut hak ghanimah kerana merasa berjasa, akan tetapi meminta-minta jawatan itu maksudnya berminta-minta untuk memikul amanah, sedangkan Nabi S.A.W bersabda;

إنكم ستحرصون على الإمارة وستكون ندامة يوم القيامة فنعم المرضعة وبئست الفاطمة

“Sesungguhnya kamu akan rakus terhadap kekuasaan, padahal ia akan menjadi penyesalan di hari kiamat. Maka alangkah baiknya penyusu (penguasa di dunia) dan alangkah teruknya pemutus susu (kematian).”

(Shahih Bukhari)

Gilakan kedudukan

(1) Di sana, banyak Hadis yang menggambarkan kejelekan penyakit mengejar jawatan. Apabila Baginda S.A.W ditanya mengenai ‘penyakit’ gila jawatan, Nabi S.A.W menjawab:

إنا لا نولي هذا من سأله ولا من حرص عليه

“Sesungguhnya kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan mereka yang tergila-gilakan jawatan itu.”

(Riwayat al-Bukhari)

(2) Lebih jelas realiti mereka yang terkejar-kejar jawatan ini disebut oleh Fudhail bin Iyadh yang dinukilkan di dalam kitab فتح المنان:

ما من أحد أحب الرئاسة إلا حسد وبغي وتتبع عيوب الناس وكره أن يذكر بخيره

“Tiada seorang pun yang gilakan jawatan melainkan akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari aib manusia, dan tidak suka disebut kebaikan orang lain.”

Ya, penyakit gilakan jawatan ini biasanya yang terselit apabila masing-masing memikirkan jawatan itu adalah ghanimah yang perlu diagihkan kepada mereka yang merasa sudah lama berjuang.

(3) Di dalam Hadis lain yang menukilkan Hadis Nabi S.A.W mengatakan kepada Abu Zar, apabila beliau bertanyakan mengenai jawatan;

يا أبا ذر إنك ضعيف

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu itu lemah…”

Berdasarkan Hadis ini, jawatan atau amanah itu perlu diberikan kepada yang pakar dalam bidang tersebut. Bukannya diukur dengan siapa yang paling banyak berjasa, kerana ia adalah amanah bukannya ghanimah.

Sebab itulah dalam kisah Nabi Yusof A.S meminta diposisikan di bahagian perbendaharaan negara bukan kerana jasanya dapat menafsirkan mimpi Raja Mesir, akan tetapi disebabkan kepakarannya di dalam bidang itu.

Teguran Syeikh Mustafa Masyhur

(1) Realiti yang terjadi hari ini apabila wujudnya usaha-usaha menyuburkan konsep jamaah dalam jamaah yang turut menjadi punca kepada Kronism dan Napotism, yang mengundang perpecahan dalaman.

Jamaah dalam jamaah yang mengheret kepada perbalahan dalaman, persaingan kuasa dan pengaruh sesama ahli gerakan Islam, banyak menyumbang kepada keruntuhan kesatuan Islam.

(2) Nabi S.A.W banyak mengingatkan mengenai kesatuan hati. Perlu diikat dengan dasar aqidah, bukannya dasar kroni, pilih bulu atau Napotism yang menyebabkan penyelewengan matlamat. Di sinilah teraplikasikan ‘ikhlas’.

Antara yang diingatkan oleh Mustafa Masyhur di dalam bukunya “Jalan Dakwah Antara Keaslian dan Penyelewengan”;

“Di antara ciri ciri penyakit godaan syaitan seperti yang pernah kita lihat ialah bagaimana orang menganggap dirinya lebih berkebolehan dari orang lain, lebih pintar, pandai menyusun pelan dan perancangan, lebih tahu mengenai selok-belok politik dan tipu helah musuh. Ia meninggi diri dengan merendah-rendahkan kebolehan orang lain walaupun orang yang direndah-rendahkan itu lebih matang daripadanya dalam masalah dakwah.”

“Kita pernah melihat orang yang berpenyakit ‘gila pimpinan’. Ia begitu rakus mencari dan memikat orang untuk menjadi pengikutnya sendiri lebih daripada untuk menjadi pengikut jamaah. Ada pula orang orang yang memberi perangsang kepadanya dalam krisis ini. Oleh itu, amatlah penting beringat dan berwaspada terhadap orang-orang seperti ini walau setinggi mana kebolehan dan kepakaran mereka sekalipun.”

“Harus diketahui, sesungguhnya orang yang kelihatan padanya ciri-ciri penyakit tersebut tidak akan mengaku kewujudan penyakit-penyakit itu ada dalam dirinya mungkin kerana ia tidak sedar setelah dikaburkan oleh Iblis atau supaya tidak diambil tindakan ke atasnya. Berkemungkinan juga tujuannya ialah untuk kepentingan peribadinya seperti mengambil bahagian dalam satu-satu kementerian yang tidak menjalankan hukuk berdasarkan syariah Allah.”

[1] https://www.dictionary.com/browse/nepotism

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -