Komunikasi sarkastik suami-isteri

- Advertisement -

ANTARA penyakit masyarakat pada hari ini adalah wujudnya fenomena ‘tag suami’ dan ‘tag isteri’ masing-masing.

Hanya kerana posting yang nampak kemanisan layanan si suami atau si isteri kepada pasangan atau ada produk terbaru, maka masing-masing laju saja untuk tagged pasangan masing-masing seolah-olah pasangannya tiada kebaikan langsung.

Alangkah baiknya andai mereka tagged pasangan masing-masing lalu mengatakan terima kasih di atas kasih sayang dan pengorbanan mereka selama ini atau tagged pasangan di posting nasihat agama yang bermanfaat. Tak perlu sarkastik atau memerli pasangan anda di media sosial atau dalam realiti.

Kalau nak beli produk itu, send melalui Messenger sahaja dan berkomunikasi di situ tetapi ini tidak tagged pasangan masing-masing dan orang ramai nampak pergaduhan si suami dan isteri walhal Messenger dan WhatsApp kan ada.

- Advertisement -

Lebih memburukkan keadaan apabila ada juga segelintir selebriti dan agamawan yang ala-ala tayang gambar sedang menyapu lantai, melipat baju, mencuci rumah atau lebih parah, buat video semi profesional menayangkan bagaimana si dia menyuap makanan dan letak simbol love.

Maka lajulah netizen tagged pasangan masing-masing dengan caption, ‘ha nampak itu. Ustaz pun sweet saja’ atau ‘selebriti atau ustaz yang sibuk pun bantu isteri mereka. Awak itu balik melepak saja tak tolong i pun.’

Common sense, takkan la selebriti atau agamawan yang gajinya tinggi tak ada orang gaji untuk membantunya selama ini dan rumahnya yang besar tak ada vakum sampai kena pakai penyapu lidi di rumah?

Selebriti kahwin dengan mewah bagai tetapi isteri atau suami berlakon adegan ranjang dan peluk memeluk dengan bukan mahram ok. Bukankah dayus kalau begitu dan apakah kita ok memiliki pasangan yang dayus selagimana nampak sweet di mata masyarakat?

Hiduplah dalam realiti andai anda mahu rumahtangga anda bahagia dan bukannya lakonan dan sandiwara yang dipaparkan di media sosial.

Kita terlalu mendambakan kesempurnaan yang dipaparkan selebriti dan agamawan di media sosial walhal ianya mungkin lakonan bagi menagih simpati dan perhatian sehingga kita lupa kita masih ada pasangan yang kebaikannya belum tentu ada pada orang lain.

Jikalau anda tidak tahu bersyukur dengan pasangan yang anda miliki hari ini walaupun mereka juga miliki kelemahan hanya kerana terlalu melayan emosi dan lakonan di media sosial, anda pasti kecewa. Manusia yang tidak bersyukur pada nikmat yang sedikit sukar untuk bersyukur pada nikmat yang besar.

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 18/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -