Kerajaan tersingkat?

- Advertisement -

TAHUKAH kita, bahawa dalam lipatan sejarah umat Islam, terdapat zaman pemerintahan yang tidak sampai pun setahun? Ia berlaku pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiah era Mamalik Bahriah. Apa yang berlaku ya?

Pergolakan dalaman yang dahsyat

Selepas kemangkatan Sultan Najmuddin Ayyub, yang juga dikenali sebagai Sultan Soleh yang mengasaskan Kerajaan Mamalik Bahriah, politik Kerajaan Mesir mula bergolak. Pada peringkat awal masih kelihatan baik disebabkan pihak istana menyembunyikan kemangkatan Sultan. Ia bertujuan untuk tidak melemahkan semangat tentera yang sedang berhadapan pasukan Salibiah.

Pengganti Sultan Soleh

Sebaik sahaja selesai Perang Mansurah yang bersejarah, pemasyhuran pengganti Sultan diisytiharkan. Iaitu Sultan Turan Shah, anaknya sendiri. Akan tetapi disebabkan prestasi beliau yang begitu teruk, suka berfoya-foya dan berhibur akhirnya membawa kepada komplot untuk membunuhnya. Akhirnya Turan Shah dibunuh hanya selepas 70 hari berada di takhta Sultan.

- Advertisement -

Peralihan kuasa

Dengan terbunuhnya Sultan Turan Shah, menjadikan kerusi Sultan kosong. Mamalik Bahriah yang menguasai istana mengisytiharkan pengganti Sultan adalah seorang wanita! Iaitu Syajaratu Dur selaku isteri kepada Sultan Soleh.

Pemasyhuran Syajaratu Dur sebagai pengganti Sultan telah menimbulkan kemarahan di pihak rakyat terutamanya para Sarjana Islam. Suatu yang tidak diterima di dalam Islam bahawa pemimpin tertinggi sesebuah pemerintahan adalah dalam kalangan wanita. Pelbagai justifikasi disebarkan untuk membenarkan tindakan tersebut, namun ianya terlalu rapuh dan tidak mampu untuk meyakinkan rakyat.

Mencari sultan boneka

Keghairahan Syajaratu Dur untuk berkuasa memaksanya untuk terus mencari jalan lain supaya tetap dilihat relevan untuk takhta tersebut. Akhirnya memilih untuk berkahwin dengan mana-mana panglimanya yang boleh di’remote’ supaya kuasa mutlak tetap berada di tangannya. Maka akhirnya Syajaratu Dur berkahwin dengan Izzuddin Aibak, iaitu panglimanya yang dilihat tidak agresif dan boleh dikawal. Lalu ditabalkan pula Izzuddin Aibak sebagai Sultan Mesir yang baru selepas beliau berkuasa hanya selama 80 hari sahaja.

Empat orang sultan memerintah dalam tempoh satu tahun! Bermula dengan kemangkatan Sultan Soleh, kemudian diganti dengan Sultan Turan Shah, seterusnya Syajaratu Dur, dan yang terakhir Sultan Izzuddin Aibak. Menurut catatan sejarah, peristiwa ini berlalu pada tahun 647-648H, sekitar sepuluh tahun sebelum kemenangan umat Islam di Ain Jalut.

Pengajaran dan kesimpulan

(1) Setiap kerajaan yang naik mempunyai beberapa fasa sebagaimana menurut Ibnu Khaldun. Iaitu fasa pengasasan, fasa perkembangan, fasa kegemilangan, fasa kemerosotan dan fasa kejatuhan. Tetapi fasa-fasa ini tidak akan berlaku sekiranya terdapat pergolakan dalaman yang dahsyat dan perebutan kuasa oleh politikus dek keghairahan ingin berkuasa, bukan disebabkan mahu membangun negara.

(2) Fitrah manusia normal adalah tidak redha jika dizalimi. Kita juga bersetuju jika berlakunya kezaliman maka pemimpin tersebut layak digugurkan dan dijatuhkan. Tetapi bukanlah dengan komplot dan pembunuhan, apatah lagi tanpa pembuktian yang jelas dan benar.

(3) Naiknya seseorang pemimpin atas asas yang sangat rapuh, menjadikan kerajaan tersebut berpotensi untuk tumbang dengan mudah. Apatah lagi dikelilingi oleh mereka yang memiliki pattern yang sama. Hanya siapa yang kuat akan menang. Bermakna, jika gagal menguasai suasana dan membawa naratif baru dengan cepat, ia akan jatuh.

(4) Kemaruk dengan kuasa boleh menjadikan seseorang melakukan apa sahaja termasuklah mencipta justifikasi yang menyokong keputusannya, sebagaimana yang dibuat oleh Syajaratu Dur. Islam mengajar kita untuk mencari hujah sebelum membuat keputusan, bukannya membuat tindakan lalu mencipta hujah.

(5) Apa yang penting adalah sentiasa menoleh ke belakang untuk terus maju ke hadapan. Tidak tenggelam dalam pujian dan tidak memandang kritikan suatu ancaman adalah sikap yang amat kritikal bagi mereka yang berada di kerusi empuk. Kalau mahu cerita hari ini menjadi indah, ketahuilah bahawa cerita sejarah itu bukan semestinya indah.

(6) Insaf bukan sekadar sebutan di bibir, bahkan diterjemahkan melalui perilaku. Setiap tindakan yang dilakukan adalah manifestasi daripada sejarah yang lalu, menjadikan sikap kita akan sangat berhati-hati dan tidak mahu ia menimpa kita pula.

(7) Tidak dinafikan, terdapat beberapa era pemerintahan Islam yang singkat, tetapi bukan disebabkan rampasan kuasa atau pergolakan dalaman. Bahkan ia berlangsung dengan baik, juga memberi manfaat yang banyak buat rakyat. Antaranya era Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Khalifah Umar Abdul Aziz. Tempoh singkat atau panjang tidak akan memberi apa-apa erti jika tidak memberi impak yang baik kepada rakyat.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -