Hospital Dungun perlu disiapkan segera

- Advertisement -

DUNGUN: Hospital Dungun yang mula dibina sejak tahun 2016 perlu disiapkan dengan kadar segera kerana tarikh siap asal sepatutnya adalah pada 22 Februari 2019.

- Advertisement -

ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, pihak berkenaan perlu mempercepatkan pembinaan kerana projek sejak empat tahun lalu itu sehingga hari ini masih tidak sempurna disiapkan.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke tapak hospital bagi meninjau perkembangan projek berkenaan.

Menurut Wan Hapandi, beliau difahamkan hospital baharu ini akan dilengkapi dengan kapasiti 110 katil dan 10 kepakaran disediakan, sekali gus sebagai kemudahan rakyat daerah ini.

Antaranya khidmat kesihatan kepakaran akan diwujudkan adalah pediatrik, obsterik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatrik, pergigian dan patalogi.

“Jika hospital ini siap sepenuhnya, ia akan membantu mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu bagi para pesakit yang sedang menunggu giliran untuk bertemu pakar,” tambah beliau.

Mengulas lanjut beliau berkata, memandang hospital ini masih belum siap dibina, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan susulan atau pembedahan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau Hospital Kemaman.

Sebelum itu, beberapa siri pertemuan telah diadakan untuk membincangkan perkara ini antaranya pada 26 Mac 2019 telah bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri, Dr. Mamad Puteh.

Selain Wan Hapandi sendiri, turut terlibat dalam pertemuan itu adalah pihak kontraktor, Nukima Sdn Bhd membincangkan perkembangan projek.

Difahamkan, pembinaan hospital ini telah mengalami sedikit kelewatan disebabkan beberapa masalah termasuk pertindihan di peringkat awal melibatkan urusan tambun tanah.

Juga berkaitan dengan peruntukan ketika berlaku perubahan Kerajaan Pusat dan disebabkan kekangan tenaga kerja. – HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -