Hancur kepentingan Melayu: Tun M lupa ‘jasa’ sendiri

- Advertisement -

KENYATAAN terbaru Tun Dr Mahathir mengenai Kerajaan PN akan menghancurkan Melayu adalah strategi beliau sejak sekian lama bagi tujuan menakut-nakutkan kaum Melayu khususnya agar kembali menyokong beliau. Sejak dahulu lagi semasa Tun sebagai Perdana Menteri ke-4 seringkali menyebutkan perkara yang sama bagi memastikan pengundi kalangan Melayu kekal menyokong beliau ketika itu di dalam Umno agar pengundi Melayu tidak mengundi kepada PAS atau selain beliau.

Kini apabila Tun bukan lagi dalam Umno dan bersama dengan parti komponen dalam PH, beliau terus tegar dengan strategi yang sama. Jika dahulu pengundi Melayu ‘termakan’ dengan momokan Tun pada PRU14, namun kini pengundi Melayu sudah lali dan lebih celik dengan situasi realiti sebenar.

Jika mahu dipersoalkan kerajaan terdahulu kleptokrasi dengan beberapa skandal rasuah dan sebagainya, jangan lupa beliau jugalah yang mengemudi kerajaan sebelum ini selama 22 tahun selaku PM ke-4. Malahan skandal-skandal sensasi di zaman beliau seperti Forex, BMF, PERWAJA Steel dan banyak lagi. Sebab itu amat pelik, bagaimana Tun boleh bicara soal kleptokrasi dan skandal rasuah sedangkan Tun sendiri ‘bergelumang’ dengan apa yang disebutkan selama 22 tahun terdahulu.

- Advertisement -

Dan apabila PH memerintah pula walau hanya 22 bulan, pemimpin PH hanya sibuk soal ‘janji peralihan kuasa’. Kesibukan ini jelas sehingga agenda rakyat tidak menjadi keutamaan. Malahan terbubarnya Kerajaan PH disebabkan peletakan jawatan PM oleh Tun sendiri pun atas faktor tekanan mengenai isu ‘janji peralihan kuasa’.

Agenda Melayu dan sensitiviti umat Islam amat teruk di zaman PH memerintah. Ini kerana PH lebih didominasi suara oleh DAP. Jika tidak, mengapa Dr Maszlee Malik ‘menyerahkan semula’ jawatan Menteri Pendidikan kalau bukan kerana ura-ura tekanan dari DAP disebabkan salah satunya isu tulisan khat jawi dan kontroversi buku komik yang mempromosikan ideologi Komunisme.

Terlalu banyak isu yang berlaku dalam PH, antaranya yang melibatkan sensitiviti kaum Melayu dan agama Islam seperti cadangan Senator DAP, Nga Hock Cheh untuk menghapuskan perkataan Islam dalam kad pengenalan penganut Islam, cadangan Kerajaan PH untuk ratifikasi ICERD, desakan pengiktirafan penuh UEC seperti SPM, langkah Kerajaan PH bagi ratifikasi Statut Rom dan juga berlakunya ketegangan hubungan pihak Istana Johor dengan Perdana Menteri (PM) dalam beberapa isu berkait serta banyak lagi.

Sebenarnya Tun mahu selamatkan kaum Melayu keseluruhannya atau istilah kaum Melayu yang diucapkan itu hanyalah merujuk kepada kroni sahaja? Di kala Tun tegar mengkritik Melayu pemalas, tetapi Tun terus mempertahankan anak-beranaknya dalam memiliki projek berjuta-juta. Dalam keadaan sebegini, apakah ‘Melayu’ yang diinginkan oleh Tun Mahathir adalah umum atau ia sekadar melindungi kepentingan Kronisme?

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -