Saya dan Maktab Mahmud

SEBAK rasa hati ini tatkala menjejaki kaki ke Pejabat Lembaga Maktab Mahmud Alor Setar. Kunjungan hari ini (semalam) sangat mengimbau nostalgia saya sebagai salah seorang pelajar Maktab Mahmud Alor Setar.

Kira-kira 50 tahun yang lalu, saya hadir buat kali pertama ke sekolah ini dengan membawa harapan dan impian ayah dan bonda tercinta (1970-1973).

Advertisement

Impian mereka hanya satu, iaitu melihat anak mereka mendalami ilmu agama dengan baik di samping tidak mengabaikan ilmu akademik yang lain.

“Najmi, belajar molek-molek dih. Mak doakan Najmi berjaya dunia dan akhirat,” itulah nasihat yang selalu dititipkan arwah mak ketika hayatnya.

Maktab Mahmud meninggalkan perasaan rindu yang sangat mendalam. Hati ini rindu dengan kawan-kawan lama, rindu dengan leteran para guru yang dicintai dan rindu dengan ayah bonda yang sentiasa memberikan kata-kata semangat .

Jika masa boleh diundur mahu sahaja saya kembali ke alam persekolahan. Namun apakah daya, masa tidak akan berulang.

Alhamdulillah dalam kunjungan hormat hari ini (semalam), saya bersempatan bertaaruf dengan warga Lembaga Maktab Mahmud. Sekolah ini mempunyai masa depan yang cerah. Api semangat pelajar, guru dan seluruh kakitangan tidak pernah padam.

Ditubuhkan pada 29 Rabiul Awal 1355 bersamaan 19 Jun 1936, Maktab Mahmud hari ini terus mengorak langkah ke hadapan dalam arus dunia pendidikan.

Seluruh warganya sentiasa mengembleng tenaga dalam membawa misi menjadikan Maktab Mahmud sebagai sebuah institusi pendidikan menengah berteraskan Islam yang unggul di Malaysia.

NAJMI AHMAD
Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia
Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman- HARAKAHDAILY 17/6/2020