Penjelasan Program Subsidi Upah – Awang Solahudin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masih ramai belum jelas tentang Program Subsidi Upah (PSU) yang diumumkan oleh kerajaan pada Mac lalu.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Solahudin Hashim, tujuan PSU diadakan untuk meringankan beban majikan kepada pekerja yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program ini katanya membolehkan majikan meneruskan operasi perniagaan sekali gus mengelak pembuangan pekerja.

Ujarnya, PSU memberi manfaat kepada pekerja yang berpendapatan bawah RM4,000 dengan syarat permohonan dibuat oleh majikan hendaklah mendaftar dan mencarum dengan PERKESO.

- Advertisement -

Atau tambah Awang, majikan berdaftar dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sebelum 1 April 2020.

“Syarikat (mestilah) beroperasi sebelum 1 Januari 2020 dan majikan hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan.

“Bayaran subsidi akan dibuat kepada majikan untuk membantu majikan menggajikan kepada pekerja,” katanya kepada Harakahdaily bagi mengulas mengenai isu majikan masih membuang pekerja meskipun mendapat bantuan daripada kerajaan.

Mengulas lanjut katanya, amaun subsidi upah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bergantung kepada saiz tenaga kerja iaitu antara RM600 hingga RM1,200 sebulan bagi setiap pekerja.

Program ini pada awalnya hanya diperuntukkan selama tiga bulan namun telah dilanjutkan lagi tiga bulan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 5 Jun.

“Majikan juga boleh menerima subsidi upah untuk pengurangan hari bekerja dalam seminggu dengan persetujuan bersama majikan dan pekerja.

“Tambahan juga majikan boleh memohon subsidi upah bagi pekerja yang diberi cuti tanpa gaji, di mana pekerja menerima subsidi secara terus,” kata Awang.

Pemohonan subsidi upah bagi pekerja yang diberi cuti tanpa gaji hanya layak bagi sektor pelancongan dan perniagaan yang dilarang beroperasi sepanjang tempoh PKPB.- HARAKAHDAILY 17/6/2020

- Advertisement -