Pelantikan Balasubramaniam satu penghormatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) N. Balasubramaniam sebagai Ahli Dewan Negara merupakan satu penghormatan kepada entiti itu.

Sepanjang penubuhan DHPP buat julung kalinya, DHPP diberi kepercayaan untuk terlibat secara langsung dalam hal menggubal dasar dan polisi negara.

Ketua DHPP Terengganu, Dr G. Balachandran berkata, pelantikan N. Balasubramaniam bakal menonjolkan dan memberikan lebih cabaran kepada DHPP yang merupakan sebuah entiti bukan Islam daripada cabang parti PAS.

- Advertisement -

“Ini merupakan satu penghormatan yang bakal menonjolkan DHPP sebagai satu entiti politik yang akan menjadi cabaran kepada badan politik bukan Islam yang sedia ada berteraskan kepada pimpinan perhitungan dosa dan pahala,” ujar Balachandran dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pengundi bukan Islam akan lebih yakin dan percaya kepada PAS untuk memimpin negara.

Malah katanya, secara tidak langsung meranapkan pemikiran segelintir ahli politik yang mendakwa PAS hanya mempergunakan DHPP untuk meraih undi bukan Islam semata-mata.

“DHPP Terengganu menaruh harapan kepada YB Senator Balasubramaniam untuk menonjolkan kepada kita semua bahawa keadilan yang disirami dengan kasih sayang menjadi tunggak utama pentadbiran Islam yang di bawa PAS.

“DHPP wajib menjadi jambatan menghubungi warga bukan Islam dengan pemimpin PAS dalam merealisasikan prinsip Islam memimpin perpaduan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau menzahirkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden PAS dan pemimpin PAS atas kepercayaan yang diamanahkan kepada DHPP.

DHPP katanya diberi peluang oleh PAS untuk terlibat secara langsung dalam mengorak langkah mendukung cita-cita PAS secara menyeluruh untuk hak, kepentingan dan kebajikan orang bukan Islam untuk dinikmati bersama.

Beliau mewakili DHPP Negeri Terengganu mengucapkan tahniah kepada Balasubramaniam yang selamat mengangkat sumpah sebagai Senator Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri SA Vigneswaran, semalam.

Selain Balasubramaniam, Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad dan tiga lagi adalah lantikan baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.- HARAKAHDAILY 17/6/2020

- Advertisement -