Menteri Agama tempatkan Pegawai SPRM di pejabat

Menteri di Jabatan Perdana Mentei Hal Ehwal Agama, Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Mentei Hal Ehwal Agama, Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhasrat untuk menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya.

Menurut beliau, tujuan penempatan pegawai SPRM itu bagi mengoptimakan pemantauan urus tadbir yang lebih efektif selain bertujuan untuk mengutamakan integriti dan akauntabiliti dalam urus tadbir Islam di jabatan itu.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa saya berhasrat untuk menempatkan pegawai SPRM di pejabat saya, hal ini sedang dalam proses dan akan direalisasikan sedikit masa lagi.

“Insya-Allah, saya ingin menzahirkan komitmen penuh Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dan seluruh agensi di bawahnya dalam mengutamakan integriti dan akauntabiliti dalam urus tadbir Islam,” ujarnya.

- Advertisement -

Tegas beliau, semua urus tadbir di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama serta agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan lain-lain lagi perlu telus dan profesional.

Beliau turut berharap semoga usaha tersebut akan menjadi satu usaha yang dipandang di sisi Allah SWT dalam memaknakan konsep amanah dalam Islam.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Dr Zulkifli dalam sidang media sama turut mengulas berhubung pencapaiannya memperoleh Anugerah Ikon Integriti dan Anti Rasuah Negara 2019 yang diberikan oleh SPRM sebelum ini.

Jelasnya, pencapaian tersebut merupakan satu amanah yang amat berat untuk dipikul terutamanya kedudukan beliau kini sebagai Menteri di dalam Kabinet Malaysia dan beliau tidak pernah menganggap ia sebagai satu kebanggaan.

Dr Zulkifli juga sebelum ini pernah menegur segelintir penjawat awam yang mengabaikan tugas ketika waktu bekerja.

Beliau malah memperkenalkan sistem piramid di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama di mana setiap ketua perlu mempunyai laporan mingguan bagi kakitangan bawahannya.

Selain itu, beliau juga mengarahkan supaya ketua unit perlu memeriksa kakitangan masing-masing dan keberadaan mereka ketika waktu bekerja.- HARAKAHDAILY 17/6/2020

- Advertisement -