Isu bekalan air antara tindakan segera K’jaan PN

air
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah perkhidmatan perbekalan air antara isu yang segera diambil tindakan penyelesaian oleh Perikatan Nasional sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya bertindak menyusun semula hal berkaitan di peringkat dalaman melibatkan undang-undang antaranya perjanjian konsesi dan Enakmen Syarikat Penggantian.

Beliau memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Ini kerana katanya, antara isu berkaitan melibatkan perjanjian penswastaan air yang berakhir dengan pemegang konsesi di mana telah berlangsung dengan baik termasuk melibatkan Kerajaan Persekutuan.

Terangnya, melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air telah membawa khabar gembira untuk pembinaan loji-loji rawatan air (LRA) di mana proses tender dan lantikan kontraktor dan peruntukan telah diluluskan.

Maklumnya, empat LRA akan dibina bermula tahun 2021 yang sekali gus bakal menyelesaikan isu-isu berkaitan perkhidmatan perbekalan air dihadapi negeri itu sejak berpuluh-puluh tahun.

“Belanja dia RM900 juta lebih kan. RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan, saya harap dapat memberi khabar gembiralah kepada rakyat Kedah. Terima kasihlah Kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2020

- Advertisement -