‘Zaman Gelap’ rakyat adalah di era PH

- Advertisement -

KENYATAAN Mujahid Yusuf Rawa yang mendakwa Malaysia berada pada zaman gelap di era Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah satu kenyataan terdesak dan tidak berkesudahan dengan memainkan sentimen kononnya PN bukanlah kerajaan mendapat mandat rakyat.

Walhal tertegaknya PN adalah mengikut saluran demokrasi dan menurut lunas Perlembagaan, jika tidak, masakan SPB YDP Agong boleh melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 dengan sokongan majoriti.

Mandat rakyat memilih parti atau mana-mana gabungan parti secara majoriti bagi membentuk sesebuah kerajaan. Namun apabila PH sendiri terkubur ekoran krisis dalaman yang teruk lagi berlanjutan disebabkan kerakusan membincangkan perihal waktu peralihan kuasa dari Tun Mahathir kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, akhirnya mereka sendiri yang terkubur dengan peletakan jawatan oleh Tun Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu.

- Advertisement -

Akhirnya mereka hilang sokongan majoriti dalam membentuk Kerajaan Persekutuan dan beralih sokongan majoriti Ahli Parlimen dengan tertegaknya PN.

Jika hendak bicara mandat rakyat lagi, maka tanda rakyat sudah tidak bersama mereka lagi jelas dengan kekalahan demi kekalahan PH dalam siri-siri PRK yang berlangsung pada Semenyih, Cameron Highlands, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis. Ini petanda rakyat mahukan perubahan dan sudah tidak mahu lagi mandat diberikan pada mereka sebagaimana pada PRU14 yang itupun termakan dengan ‘gula-gula’ manifesto yang melangit ke angkasa namun tiada pelaksanaan dalam menunaikannya.

Ditambah lagi, isu sensitif terlalu banyak berlaku di era PH yang mencabar kedaulatan dan kesabaran umat. Ia boleh dilihat isu berkaitan Komunis, anti tulisan khat jawi, aset umat Islam yang menjadi kontroversi termasuklah ‘pindah milik’ 4 buah Tabung Haji ‘TH’ di bawah penguasaan Kementerian Kewangan yang ketika itu Menteri Kewangan ialah Lim Guan Eng. Dan begitulah juga apabila isu melibatkan beberapa ladang milik THP (Tabung Haji Plantation) yang dijual kepada syarikat bukan-Islam atas alasan untuk menstruktur semula penjanaan ekonomi kononnya.

Tidak cukup itu, PH sebenarnya yang lemah kerana gagal menyelesaikan isu keharmonian antara pelbagai kaum sehingga ucapan mantan Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy serta beberapa pimpinan DAP yang lantang ‘menindas’ Melayu Muslim namun berat sebelah kepantasannya kepada kaum mereka selain Melayu Islam.

Mujahid pula selaku mantan Menteri Agama kelihatan lembik dalam perjuangan menegakkan syiar Islam. Slogan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA) hanyalah slogan menutup ‘kelembikan’ terhadap kaum non-Muslim dan seakan ‘bisu’ kepada kenyataan-kenyataan DAP yang sensitif. Malahan, golongan songsang LGBT dan G25 antaranya dilihat semakin berani bersuara lantang di media massa sedangkan perjuangan pemikiran dan tindakan mereka jelas bersalahan dengan syariat Islam.

Sebenarnya, Kerajaan PN pada hari ini lebih selesa dan dinikmati oleh rakyat dengan pencapaian 98 peratus kajian selidik menunjukkan bersetuju dan menyokong tindakan PN pada hari ini dalam tangani pandemik COVID-19. Di kala pimpinan PH sibuk membilang kerusi bagi menunjukkan kononnya mereka memiliki majoriti, namun Kerajaan PN terus bekerja demi kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat.

Kepada mantan Menteri Agama, usah mendatangkan malu dengan kenyataan yang lucu sebegini.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/6/2020

- Advertisement -