PAS hargai DHPP, bukan-Muslim – Senator Bala

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, N Balasubramniam berhasrat untuk menumpukan perhatian beliau terhadap isu perpaduan negara setelah diberi tanggungjawab menggalas jawatan tersebut.

Menurut Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) itu, isu berhubung kait dengan perpaduan kaum negara ini akan dibawa ke Dewan Negara bersama beberapa isu lain seperti kebajikan masyarakat bukan-Islam dan sebagainya.

Advertisement

Jelasnya, beliau juga berhasrat untuk mendidik masyarakat bukan-Islam bahawa Islam juga mementingkan perpaduan kaum selain berpendapat Islam tidak mengajar untuk ‘rasis’.

“Hanya dua kami akan fokus, sebab apa? Sebab kami yang non-muslim duduk dalam PAS, kami tidak pernah menghina dan membawa isu racial atau apa juga yang bertentang dengan non-Muslim,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas berhubung rancangan beliau sejurus dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, menurut N Balasubramaniam, pelantikan beliau sebagai senator ini dilihat merupakan satu pengiktirafan buat DHPP.

Beliau yakin, dengan peluang yang diberikan ini, DHPP dapat bergerak dengan penuh komitmen demi memastikan objektif dan fokusnya tercapai.

Jelasnya, selama berbelas tahun beliau bersama PAS, DHPP tidak pernah mempunyai isu dengan PAS, malah beliau sangat selesa bekerjasama dengan parti dibawah pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu.

“Jadi, selama ini, tak pernah ada isu, jadi kami pun selesa dan juga mereka memberi jaminan daripada Islam yang dibawa oleh PAS,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, beliau juga akan turut memberi perhatian kepada permasalahan masyarakat bukan Islam di negara ini selain memastikan tidak akan ada pihak yang ketinggalan datau tertinggal di belakang dalam isu-isu kebajikan.

Mengulas mengenai penerimaaan DHPP terhadap lantikan ini, katanya DHPP sendiri hairan mereka diberi peluang dengan begitu awal walaupun PAS baru sahaja menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Memang satu benda yang hairan, sebab apa, walaupun baru sahaja PAS menjadi (sebahagian daripada) kerajaan pusat, mula-mula sudah ada bagi (jawatan) pada DHPP.

“Jadi saya juga hairan, (saya percaya) PAS ada keyakinan terhadap DHPP, jadi (PAS) beri satu jawatan sebagai senator kepada DHPP,” ujarnya.

Mengambil kesempatan ini, beliau mengucapkan terima kasih diatas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, serta Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Terdahulu, Balasubramaniam dan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran bersama tiga lagi individu lain iaitu Tan Sri Dr Rais Yatim, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad serta Muhammad Zahid Md Arip.

Kelima-lima individu ini merupakan lantikan baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.- HARAKAHDAILY 16/6/2020