MB rai pemenang Tilawah Online sempena PKP

- Advertisement -

IPOH: Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berbesar hati mengumumkan pemenang dan menyampaikan Sijil Penghargaan Ujian Tilawah Al-Quran Dalam Rakaman Video Peringkat Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

Pengumuman dan penyampaian tersebut telah diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin setelah pertandingan diadakan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Bagi Johan pertandingan tersebut kategori 15 – 21 tahun lelaki, Amir Naufal Rifqi Mohd Rashid, pertandingan yang julung kalinya diadakan secara atas talian ini perlu diteruskan bagi mencungkil dan mengasah bakat qari dan qariah di negeri ini.

- Advertisement -

“Ramai yang menyertai pertandingan ini, rata-ratanya pelajar. Semoga program ini menjadi platform bagi mereka yang berbakat untuk mengasah bakat bacaan mereka,” ujarnya.

Beliau membawa pulang hadiah berupa tunai bernilai RM2,000 manakala bagi Naib Johan, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan pemenang tempat ketiga Muhammad Azhad Asfa Alang Hashim, masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000.

Sementara itu, johan untuk kategori sama bagi qariah, Nurul Syafiqah Nardi berpendapat, program seperti ini memberi dorongan kepada qari dan qariah khususnya di Negeri Perak untuk bergiat lebih aktif.

“Saya teringin nak melibatkan diri dalam program seperti ini dan semasa PKP ini, tiada program sebegini dijalankan. Namun, Kerajaan Negeri Perak mengambil inisiatif dengan mengadakan program ini secara atas talian,” katanya.

Johan Qariah turut membawa pulang hadiah berupa tunai bernilai RM2,000, manakala Naib Johan, Nur Syabila Mohamad Fairos dan pemenang tempat ketiga, Umairah Muhamad Yusri membawa pulang RM1,500 dan RM1,000 masing-masing.

Ujian Tilawah Al-Quran Dalam Rakaman Video Peringkat Negeri Perak diadakan buat julung kalinya dengan kerjasama Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).

Pertandingan berlangsung 12 hingga 18 Mei lalu semasa PKP dikuatkuasakan yang melibatkan sebanyak 49 penyertaan qari dan 21 penyertaan qariah dalam Negeri Perak. –HARAKAHDAILY 16/6/2020

- Advertisement -