42 pelajar Perak selamat tiba dari Mesir

- Advertisement -

IPOH: Ketibaan 42 pelajar Perak yang pulang daripada Mesir disambut oleh Pegawai-pegawai Khas EXCO Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri di Meru Raya, semalam.

- Advertisement -

Pegawai Khas EXCO Pendidikan Negeri Perak, Ustaz Fairuz Hafizh Othman berkata, seluruh pelajar yang pulang ini terlebih dahulu telah menjalani ujian saringan kesihatan COVID-19 di Kuala Lumpur sebaik tiba dari Kaherah.

“Ini merupakan rombongan keempat pelajar Mesir yang telah pulang ke Malaysia. Setelah didapati negatif melalui saringan di Kuala Lumpur, pelajar-pelajar ini hanya perlu menjalani kuaratin di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari.

“Kerajaan negeri sentiasa mengikuti rapat perkembangan COVID-19 dan kebajikan pelajar-pelajar di sana (Mesir). Pegawai Khas Pejabat Atase Pendidikan Perak Mesir juga sehingga kini sentiasa memberi laporan semasa di sana. Alhamdulillah pelajar yang tinggal masih dalam keadaan baik,” jelas Ustaz Fairuz.

Seorang lagi Pegawai Khas EXCO, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, ibu bapa dan keluarga kepada pelajar Mesir hendaklah bertenang dan meyakini bahawa keadaan pelajar-pelajar yang masih berada di Mesir dalam keadaan terkawal.

“Kebanyakan pelajar (Mesir) yang pulang ke tanah air adalah bersempena cuti semester yang telah bermula. InsyaAllah di peringkat kerajaan (negeri) kami telah bersedia dengan pelbagai kemungkinan kecemasan bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihra,” jelas beliau.

Dalam pada itu, mereka telah diberikan bungkusan makanan dan air kotak yang diketuai oleh Timbalan Presiden Persatuan Semarak Prihatin Masyarakat Perak (SEMARAK), Ustaz Salehudin Abas bersama Ahli Jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2020

- Advertisement -