Jenazah rakyat Malaysia di Qatar selamat dikebumi

- Advertisement -

DOHA, Qatar: Jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Tengku Endut Tengku Jusoh, 53 yang meninggal dunia dipercayai akibat COVID-19 telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Abu Hamour, di sini sebelum Maghrib waktu Qatar, kelmarin.

- Advertisement -

Menurut kenyataan dari pihak Kedutaan Malaysia, upacara pengkebumian berlangsung dalam keadaan peraturan yang ketat dengan menuruti arahan pihak berkuasa Qatar, serta hanya beberapa wakil rakyat Malaysia sahaja dibenarkan hadir.

Pihak Kedutaan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham yang juga tidak dapat bersama ketika dirawat akibat daripada sekatan keluar masuk dilaksanakan sehingga kini.

Charge de’ Affaires Kedutaan Malaysia, Mohamad Shahir Sabarudin, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Qatar atas bantuan dari awal sehingga akhir hayat allahyarham dan juga bantuan kepada rakyat Malaysia pesakit COVID.

“Saya mewakili kedutaan melahirkan rasa dukacita dengan pemergian allahyarham Tengku Endut dan berharap agar keluarganya tabah dengan ujian ini.

“InsyaAllah pihak kedutaan akan terus melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat Malaysia sehingga selesai permasalahan mereka,” kata beliau.

Sementara itu Presiden Malaysian Association of Qatar (MAQ), Redzuan Nordin berkata, beliau dan almarhum telah lama berkerja bersama semenjak di Malaysian Airlines System (MAS) sebagai jurutera terlatih.

Walaupun tidak sering bersama tetapi beliau mengetahui akan akhlak baik allahyarham melalui rakan-rakan rapatnya yang lain.

Digambarkan sebagai seorang insan pemurah, mudah didekati dan disukai, allahyarham juga adalah antara jurutera terbaik terutama dalam ‘Cabin Inflight Entertainment‘ (IFE), dipuji rakan dan pihak pengurusan atas kesungguhan beliau menyelesaikan tugasan.

Walaupun bersedih dengan kehilangan allahyarham, Ridzuan tetap melihat perkara positif lain iaitu majoriti rakyat Malaysia yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini, kini sudah sudah sembuh.

Bagi mengenang persahabatan dengan allahyarham yang juga aktif bersukan ketika hayatnya, di mana beberapa rakan allahyarham telah bersetuju untuk menaja sebuah telaga di Kenya atas nama allahyarham.

Manakala kutipan derma kepada keluarga allahyarham dijalankan bagi memberikan sokongan moral kepada mereka yang tidak dapat berada di sisi sewaktu allahyarham bertarung nyawa. – HARAKAHDAILY 12/6/2020

- Advertisement -