Sejarah konflik dalaman dan dasar luar UAE hari ini

- Advertisement -

SEJARAH dan politik

(1) Dalam artikel lepas yang bertajuk “Sejarah al-Azhar dan Ikhwan Muslimin Dari Dimensi Politik” [1] saya hanya sekadar melontar beberapa fakta sejarah yang berkaitan dengan kerencaman suasana politik yang dihadapi oleh kedua-duanya.

Kita tidak boleh bermudah-mudah mengatakan ini sesat, itu kafir, atau pelbagai label lagi. Realiti yang berbeza-beza bukan senang untuk dirasai oleh kita pada hari ini yang mampu berkuliah atas kerusi empuk dengan sampul yang tersisip.

(2) Di dalam artikel lepas juga saya tidak mengetengahkan konflik dalaman di dalam al-Azhar ataupun di dalam Ikhwan, kerana tujuan penulisan saya adalah untuk menggambarkan realiti politik antarabangsa zaman itu.

Huraian saya belum sampai ke peringkat konflik dalaman Ikhwan selepas kematian Imam Hassan al-Banna 1949. Belum lagi sampai ke peringkat konflik dalaman al-Azhar pada 1967 atau selepas kematian Syeikh Jadul Haq 1996. Semuanya dilatari dengan ‘politik’.

- Advertisement -

(3) Masing-masing berhadapan dengan krisis dan konflik dalaman, sepertimana realiti di zaman Sahabat R.A selepas kewafatan Baginda S.A.W yang pernah saya ceritakan dalam artikel lepas yang bertajuk “Kemunculan Firqah: Dimensi Politik Dalam Sejarah Islam” [2].

Kadangkala kita melihat orang hari ini yang terburu-buru dalam menghukum, bermudah-mudah mengatakan sesuatu yang tak patut kepada saudara se-Muslimnya yang siang malam bekerja untuk Islam.

(4) Kadangkala disebabkan aliran pemikiran yang berbeza, ia dijadikan bahan untuk menyalakan api perpecahan sesama umat Islam. Hari ini menyaksikan bagaimana negara-negara Islam mempunyai dasar luar yang berbeza-beza.

Ada yang beraliran Sufi-Sekular, ada yang beraliran Moderate, Tradisionalis dan sebagainya. Walaupun istilah-istilah ini banyak digunakan oleh penulis Barat, sekali sekala kita perlu fahami apa kesilapan diri sendiri yang perlu diperbetulkan.

Sejarah Umat Islam berkonflik

(1) Antara konflik yang terbaru, terjadi sesama Umat Islam ialah fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta’ terhadap tindakan Turki yang ingin menjadikan Agia Sofia sebagai masjid. Mungkin ramai yang lihat ia hanya isu ‘kulit’.

Sejarah pembukaan Costantinople oleh Sultan Muhammad al-Fateh digali semula, dan masing-masing bakal berhujah tanpa ‘ending’. Masing-masing hanya melihat pepohon di hutan, tetapi tak terlihat akar menjalar yang menjadi pasak.

(2) Sekadar contoh yang mungkin perlu diperhatikan, ialah pertembungan dalaman sesama ‘Sunni’, sebelum kita bincang Sunni-Syi’i. Wahabi pseudo Salafi kuat main politik. Saudi yang beraliran Salafi, berwajah pragmatis semata-mata untuk meraih Nasionalis Arab.

Bahasa mudahnya, siapa yang paling berjaya memainkan sentimen Nasionalis Arab, dia akan kuasai pengaruh dunia Islam. Seolah-olah itulah teorinya. Sama juga dengan sejarah penjajahan Perancis dan British terhadap Mesir [1].

Penjajahan sangat memberi kesan yang dalam terhadap latar belakang orang Mesir. Sejarah pendidikan Mesir, banyak ikut Perancis, walaupun tidak dinafikan ia semakin berkurangan. Ia terkesan juga terhadap al-Azhar, dan Ikhwan itu sendiri.

(3) Dalam artikel lepas, saya ada menyebut mengenai Muhibuddin Khatib yang boleh dikatakan bersama dengan Imam Hassan al-Banna di awal penubuhan Ikhwan. Beliau seorang Salafi, tetapi boleh bersama dengan team Syariff Hussein.

Team Syariff Hussein dikenali dengan sufi atau tradisionalis, yang bertembung dengan team Wahhabi (Salafi). Penghujung kepada konflik fahaman sesama Umat Islam ini, menatijahkan kejayaan Barat terhadap negara-negara Umat Islam.

Syariff Hussein diperalat oleh Barat untuk menjatuhkan Uthmaniah melalui Revolusi Agung Arab 1916-1918. Selepas itu, Syariff Hussein dipertembungkan dengan Wahhabi (Salafi) yang juga diperalat oleh Barat.

Isu sensitif, cukup sekadar kulitnya

(1) Sedikit sebanyak yang saya huraikan tadi hanyalah beberapa contoh, menggambarkan bagaimana perbezaan fahaman sesama Umat Islam mengheret kepada pertelingkahan sesama sendiri. Hal ini juga melatari realiti dunia hari ini.

Sekadar contoh, pendekatan yang dibawa oleh UAE pada hari ini atas nama Sufi banyak meraih pengaruh dalam dimensi dunia Islam. Adakah ia satu kebetulan atau memang dirancang? Kenapa Sufi yang dipasarkan oleh UAE ‘tidak sebulu’ dengan Sufi yang dibawa oleh Ikhwan?

(2) Rata-rata apabila berbicara mengenai Ikhwan, Umat Islam ‘dipersepsikan’ dengan ‘Wahhabi’. Kemudian Wahhabi itu dikaitkan dengan keganasan. Manakala Sufi itu digambarkan dengan toleransi, lembut, dan sebagainya.

Kalau dahulu mungkin boleh difahami apabila disebut ‘gerakan Islam’. Tetapi hari ini sudah semakin sukar. Kadangkala diistilahkan sebagai Islamism, atau Fundamentalism, atau Sufism, atau sebagainya.

(3) Saya sangat yakin, selepas tercapai misi Barat untuk menegakkan Israel Raya, Umat Islam akan beransur-ansur memahami perangkap-perangkap yang pernah memerangkap mereka selama ini. Dah kena, baru sedar.

Hari ini, apabila kita berbicara mengenai aliran dan latar belakang fahaman sesebuah negara, mungkin akan dianggap pemecah belah, kaki fitnah dan sebagainya. Ya, tak semua yang bersedia menerima maklumat ini.

(4) Sebab itulah saya agak sukar untuk meneruskan penulisan-penulisan yang berkaitan bab ini. Iaitu bab konflik fahaman dalaman Umat Islam. Ia dianggap isu sensitif. Cukup sekadar berkongsi kulitnya sahaja, itupun kalau faham.

UAE, Turki, Yaman, Mesir, dan beberapa negara lagi, masing-masing memasarkan Sufism. Berbeza dengan Saudi yang rasanya agak janggal dengan Sufism. Tunisia dan Turki juga dikenali dengan Moderatenya.

‘Produk’ UAE yang dipasarkan

(1) Dalam hal kesufian pada hari ini, saya tertarik untuk mengetengahkan dasar luar UAE yang menggunakan Sufism sebagai ‘produk’ pasaran mereka yang bersaing dengan Arab Saudi.

Tulisan Andreas Krieg yang bertajuk “On the sinister objectives of Abu Dhabi’s ‘crusade’ against political Islam” bertarikh 21 Januari 2020 mungkin boleh dijadikan kajian [3];

“In so doing, Abu Dhabi has nurtured theological centres in Libya, Egypt and the UAE, which would propagate a version of Islam that at first sight is quietist, but at a closer look is just as political in its instrumentalisation as other forms of political Islam.

“When the 2016 Grozny conference on Sunni Islam, jointly financed by the UAE and Egypt and coordinated by Chechen President Ramzan Kadyrov – a personal friend of Abu Dhabi Crown Prince Mohammed bin Zayed – called for a return to a more “tolerant” version of Islam that rejected political activism, the message was political.

“When the UAE’s Forum for Promoting Peace in Muslim Societies, led by Sufi scholar Sheikh Abdallah bin Bayyah, called for the separation of mosque and state, the message was political, calling for the de-politicisation of civil society and making obedience to the political ruler an Islamic virtue.

“Likewise, when bin Bayyah’s student, American Islamic scholar Sheikh Hamza Yusuf, outlawed rebellion against the political leadership, the message was political. When Aref al-Nayed, a Sufi scholar from Libya who served as Libya’s ambassador to the UAE and now heads the Dubai-based Islamic think tank Kalam, designated Islamist revolutionaries in Libya as terrorists, the message was political.”

(2) Dasar luar UAE secara zahirnya berkonsepkan Sufi-Sekular. Ada yang melihat istilah ini sebagai satu paradoks, hakikatnya ia kembali kepada pendefinisiannya dari sudut Pragmatism dan Realism. Insya-Allah akan faham.

Menguntungkan Amerika

(1) Kita perlu sedar, bahawa naratif yang dipasarkan oleh UAE ini bagi menarik perhatian Barat, apatah lagi dunia ketika itu pasca 9/11 sedang dihurung dengan Islamophobia, hasil ‘usaha gigih’ Amerika.

Justeru, kita wajar berhati-hati jika ‘produk’ pasaran UAE ini diimport masuk ke Malaysia. Bahasa mudahnya, walaupun atas nama kesufian yang benar, sampai boleh menitiskan air mata, namun, yang untungnya pengaruh UAE.

(2) Boleh baca artikel lama saya mengenai ini;

(a) Sufi-Sekular dan Persaingan Pengaruh [4].

(b) Moderate dan Strategi UAE Mendominasi Pengaruh [5].

Mengapa dalam tajuk ini saya ‘heret’ perbincangan mengenai UAE selepas kita berbincang mengenai realiti politik yang mewarnai sejarah awal al-Azhar dan Ikhwan? Kerana dasar luar UAE hari ini adalah salah satu bentuk politik yang mempengaruhi perpecahan umat Islam hari ini.

(3) Di celah-celah Amerika memframekan Islam itu sebagai teroris, tiba-tiba muncul dasar luar UAE yang memperkenalkan Islam toleran, Islam Sufi, Islam tolak politik, dan sebagainya. Menjadi pesaing utama kepada Fundamentalis (baca Barat).

Maka, yang kita lihat hari ini ialah pertembungan yang sengaja dipertembungkan antara Sufism atau Tradisionalis (dalam kaitan internationali affair atau internal affairs) dengan Fundamentalism antaranya adalah hasil daripada dasar luar UAE.

(4) Sebab itulah hari ini kita akan lihat serangan terhadap gerakan Islam itu semakin berjaya, apatah lagi dijana oleh Amerika. Amerika sendiri cuba menjadikan Sufism itu sebagai senjata mereka [6].

Bahasa mudahnya, UAE memasarkan produk bernama ‘Sufi’ sebagai langkah memelihara politiknya (Pragmatism) dalam masa yang sama dasar ini menguntungkan Amerika kerana menggunakan kesufian untuk menjauhkan Umat Islam dari politik.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3885773978131000/?d=n

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3877385462303185/?d=n

[3] https://www.middleeasteye.net/opinion/uaes-foreign-policy-far-secular

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3399119610129775/?d=n

[5] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3400538919987844/?d=n

[6] Sila pm saya untuk dapatkan pdf yang bertajuk: Memahami Sufism serta Potensi Peranannya dalam Dasar Amerika Syarikat

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 11/6/2020

- Advertisement -