Tiada sekatan jalan, Ops Benteng kekal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menarik semua sekatan jalan raya di seluruh negara berikutan hari ini bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memberi kebenaran untuk rentas negeri.

- Advertisement -

Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sekatan di lorong-lorong tikus yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin masih berjalan iaitu Ops Benteng.

Katanya, PDRM melaporkan aliran trafik di lebuh raya dan jalan utama seluruh negara berjalan dengan lancar dan terkawal.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa bilangan kenderaan dijangkakan akan bertambah pada hari Jumaat sehingga Ahad ini kerana orang ramai akan mengambil peluang balik ke kampung untuk berjumpa keluarga sempena bulan syawal.

“Saya mahu ingatkan supaya orang ramai mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan di bawah PKPP ini.

“Ini kerana setiap peraturan telah di wartakan. Sekiranya ingkar SOP akan dikenakan tindakan oleh pihak polis yang akan mengawal di kawasan awam seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku kerana dimaklumkan kemalangan maut mula bertambah.- HARAKAHDAILY 10/6/2020

- Advertisement -