PN komited bantu rakyat – Senator Nuridah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan fasa pemulihan negara daripada pandemik Covid-19 disifatkan satu langkah berani.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, langkah ini menunjukkan kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas seratus hari mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan (PH).

“Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam tempoh 100 hari memerintah dalam usaha memelihara kesihatan dan kesejahteraan rakyat disekalikan dengan suntikan dana sebagai bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Oleh itu diharapkan kepada seluruh rakyat untuk terus bersabar dan patuh dengan segala syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib,” katanya yang juga merupakan Senator Dewan Negara.

Beliau menyeru semua pihak terus memberi kerjasama dalam memastikan usaha kerajaan melenyapkan wabak Covid-19 berjaya.

Ustazah Nuridah berkata demikian semalam ketika dihubungi Harakah bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri mengenai Malaysia sedang memasuki fasa pemulihan daripada Covid-19.

Terdahulu, dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 31 Mac yang memaksa semua aktiviti sosial dan ekonomi dihentikan beroperasi buat sementara waktu, diikuti PKP 2 dan PKP 3.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 12 Mei sehingga 10 jun yang diberi kelonggaran peringkat demi peringkat tertakluk kepada SOP kerajaan.

Setelah hampir dua bulan hasil daripada PKP, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu memasuki fasa pemulihan negara ekoran kawalan pandemik Covid-19 menampakkan hasil.

Ia juga didorong peratusan kes jangkitan yang semakin menurun dan terkawal.- HARAKAHDAILY 10/6/2020

- Advertisement -