Sarawak patuhi PKPP, kuatkuasa mulai 17 Jun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sarawak akan mematuhi keputusan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan Kerajaan Persekutuan tetapi dengan beberapa penambahbaikan.

- Advertisement -

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, penyesuaian akan melibatkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengikut kesesuaian Sarawak.

“Selaras dengan pengumuman oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, penjarakan sosial dalam pesawat dikecualikan sepenuhnya bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual termasuk general aviation, private jet operation dan helikopter.

“Semua warganegara Malaysia dibenarkan untuk rentas negeri ke Sarawak dan rentas daerah dalam Sarawak berkuatkuasa 10 Jun 2020.

“Semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu memohon melalui SDMC dan tidak perlu mengambil sampel (PCR Test) tiga (3) hari sebelum berlepas ke Sarawak,” ujar kenyataan tersebut.

Tetapi tegas kenyataan tersebut, setiap mereka yang akan memasuki negeri itu perlu mematuhi SOP iaitu diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan di http://sdmc.sarawak.gov.my.

Selain itu, pelawat akan diambil sampel PCR secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri (udara, darat dan laut); dan juga dinasihatkan untuk memuat turun COVID Trace Sarawak dan Qmunity berkuatkuasa esok, 10 Jun.

Semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara atau warganegara dengan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara juga dinyatakan akan dikuarantin wajib selama 14 hari di hotel dan akan diambil sampel COVID-19 pada hari ke-10.

Manakala semua warga asing yang masuk ke Sarawak dengan memiliki permit kerja dan visa sah termasuk peserta MM2H diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari di mana kos kuarantin ditanggung sendiri.

Semua Person Under Surveillance (PUS) sedang dikuarantin di hotel sehingga hari ini juga dimaklumkan perlu menghabiskan tempoh kuarantin sehingga tamat, di mana kini terdapat 2,060 PUS masih di 38 hotel seluruh Sarawak.

Perhimpunan awam juga diumumkan dibenarkan maksimum seramai 100 orang sahaja tertakluk kepada saiz keluasan di mana acara tersebut diadakan berkuatkuasa 10 Jun juga dan mereka diwajibkan untuk mematuhi SOP.

Kenyataan tersebut turut mengumumkan bahawa Kepolisan Masyarakat dan Pemantauan melibatkan semua JKKK dan Rukun Tetangga bersama dengan RELA akan ditugaskan untuk memantau SOP COVID-19 seperti penjarakan sosial diamalkan dan juga memastikan orang luar tidak memasuki kawasan komuniti.

“Semua aktiviti yang dibenarkan di bawah PKPP akan berkuatkuasa mulai 17 Jun 2020. Ini adalah untuk membolehkan Kementerian dan agensi terbabit untuk memperhalusi SOP yang sedia ada dan hendaklah dihantar kepada JPBN selewat- lewatnya pada atau sebelum 15 Jun 2020 untuk kelulusan.

“Perkara dibenarkan adalah, rentas negeri; pasar pagi/malam; melancong dalam negara; Raya Haji dan Korban; sekolah dibuka secara berperingkat; dobi layan diri; kolam memancing; berbasikal/konvoi; aktiviti sukan yang tak bersentuhan badan (seperti bowling dan badminton).

“Waktu operasi perniagaan seperti biasa (mengikut SOP masing- masing); serta mesyuarat dan bengkel,” maklum kenyataan itu.

Turut disenaraika  adakah perkara tidak dibenarkan iaitu, pub/kelab malam; pusat hiburan/refleksologi/karaoke, taman tema; perarakan keagamaan; kenduri-kendara; rumah terbuka; sukan bersentuhan; sukan renang, ragbi, bola sepak, hoki dan lain-lain.

Juga melancong ke luar negara di mana sempadan negara turut masih ditutup dan larangan perhimpunan orang ramai. – HARAKAHDAILY 9/6/2020

- Advertisement -