Hasrat temui Presiden PAS tercapai – Sanusi

- Advertisement -

SELAMA 8 jam kami ambil masa untuk melalui perjalanan darat sejauh 474 kilometer dari Alor Setar ke Rusila, Terengganu baru-baru ini. Perjalanan itu adalah untuk memenuhi hasrat menemui Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Segala letih dan penat kami bermusafir hilang apabila Tuan Guru menyambut kami dengan penuh ceria dan senyuman gembira.

Sebelum ini kami berkunjung ke Rusila sebagai pimpinan parti. Kali ini, kunjungan kami sebagai sebuah Kerajaan Negeri. Boleh jadi itulah yang menyebabkan Tuan Guru senyum ceria menyambut kami.

Turut serta di dalam pertemuan ini ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya. Selain itu, kepimpinan utama PAS Kedah yang sebahagiannya merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut bersama di dalam kunjungan penuh bermakna ini. YB Haji Awang, Timbalan Menteri Sumber Manusia juga turut hadir bersama.

Terdahulu sebelum daripada itu, rakan sejawat YAB Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu berbesar hati meraikan kami di dalam majlis ringkas di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman.

Kami sempat berkenalan dan bertukar-tukar buah fikiran terutamanya dalam aspek pemerintahan dan pentadbiran negeri.

Sebagai ‘adik bongsu’ di dalam pemerintahan, Kedah amat memerlukan sentuhan pengalaman dan bimbingan daripada ‘abang-abang’ di Terengganu dan Kelantan. Bak kata Tuan Guru Presiden PAS, Kelantan, Terengganu dan Kedah ini ibarat tungku kaki tiga yang digunakan untuk memasak. Jika patah salah satu kaki, maka terbaliklah periuk nasi di atasnya. Maka, ketiga-tiga tungku ini perlu bekerjasama erat dan saling bantu-membantu.

Di dalam perjalanan pulang, kami turut meluangkan masa menziarah Dato’ Mustafa Ali, seorang pemimpin ‘otai’ PAS yang sarat dengan pengalaman. Beliau dilaporkan kurang sihat sebelum ini. Kini sudah semakin pulih.

Terima kasih kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru, YAB Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu dan Dato’ Mustafa Ali yang sudi melapangkan masa menerima kunjungan kami.

Jemputlah pula mai ke Kedah. Makan toksah bimbang, kami banyak beras.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 9/6/2020

*https://www.facebook.com/577541902629776/posts/1125321814518446/?d=n

- Advertisement -