10 pencapaian 100 hari Perikatan Nasional

perikatan
- Advertisement -

PADA tanggal 29 Februari 2020, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan. Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan ini dilaksanakan setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Pada tanggal 8 Jun 2020, menandakan 100 hari Kerajaan Perikatan Nasional terbentuk. Seawal mengambil alih pemerintahan negara dek kerana Perdana Menteri ke-7 meletak jawatan, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan tiga krisis utama. Pertama, sebaik memegang tampuk pemerintahan negara, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara kita. Kedua, Kerajaan Perikatan Nasional terbentuk pada waktu harga minyak mentah dunia jatuh merudum dan dunia berdepan kemelesetan ekonomi. Ketiga, negara masih berdepan krisis politik yang masih belum selesai kerana perebutan kuasa antara beberapa individu tertentu di dalam Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Memandangkan tiada manifesto khusus daripada Perikatan Nasional dek kerana misi menyelamatkan negara daripada krisis politik berebut takhta Perdana Menteri Malaysia, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mengambil pendekatan untuk merangkumkan pencapaian yang telah dilaksanakan dalam tempoh 100 hari Perikatan Nasional memerintah Malaysia. Dahulu, 10 janji 100 hari Pakatan Harapan dilihat gagal, iaitu pencapaian hanya 20 peratus (bermakna hanya 2 daripada 10 janji tertunai) kerana hanya mampu memansuhkan cukai GST yang efisien dan menyemak semula projek-projek mega. Pemansuhan GST dilihat merencatkan sistem percukaian negara yang telus, manakala penyemakan semula projek-projek mega dilihat tidak memberi manfaat khusus kepada rakyat. Bagaimanakah pula prestasi Kerajaan Perikatan Nasional?

Dari sudut ekonomi, Kerajaan Perikatan Nasional telah meringankan beban rakyat di saat kemelesetan ekonomi. Bantuan-bantuan sara hidup diberikan kepada golongan B40 dan M40 sebanyak RM1,600 dan RM1,000 mengikut kategori masing-masing. Anak-anak muda di universiti turut menerima bantuan sebanyak RM200 agar mereka tidak terbeban dengan situasi hari ini. Jika dahulu, baucar buku RM100 turut dihapuskan, kini anak-anak muda boleh senyum apabila diberikan bantuan. Kerajaan Perikatan Nasional turut memberikan elaun khas RM600 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan yang bertungkus lumus melawan wabak COVID-19. Jika dahulu, elaun kritikal kepada penjawat awam mahu dihapuskan seolah-olah berkira dengan pengorbanan mereka.

Dari sudut ekonomi juga, bantuan menyeluruh diberikan kepada industri kecil, sederhana dan besar demi mengekang kejatuhan ekonomi negara ke tahap terendah. Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sejumlah RM250 bilion disalurkan untuk rakyat. Daripada jumlah itu, RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan, termasuklah industri perusahaan kecil dan sederhana, manakala RM2 bilion untuk industri lain dan memperkukuh ekonomi negara. Usahawan anak muda turut mendapat bantuan apabila Skim Kredit Mikro ditingkatkan daripada RM50 ribu kepada RM75 ribu.

Dari sudut keselamatan negara, Kerajaan Perikatan Nasional diakui oleh dunia sebagai antara negara terbaik dalam mengurus dan menangani wabak COVID-19. Pengurusan Kesihatan Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Situasi wabak COVID-19 di negara kita memang menunjukkan graf (COVID-19) yang sudah menurun dan mendatar, di kala negara maju lain seperti Amerika Syarikat masih menunjukkan peningkatan mendadak melangkaui jutaan orang dan kematian mencecah ribuan nyawa. Inisiatif dan dasar !Kerajaan Perikatan Nasional dilihat sangat berkesan dan tepat ketika menghadapi krisis. Jika dahulu, tiada langkah proaktif untuk menutup pintu sempadan dan pelancong asing ketika wabak mula merebak.

Dari sudut keselamatan negara juga, Kerajaan Perikatan Nasional menunjukkan kesungguhan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan menghantar balik PATI dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Langkah yang dibuat untuk menawarkan pekerjaan kepada golongan gelandangan bukan sahaja mengubah nasib rakyat yang terkesan, tetapi juga memulihkan ekonomi negara. Dengan penghantaran besar-besaran PATI ke negara asal mereka telah memberikan keyakinan kepada rakyat kita bahawa kerajaan tegas dalam membabitkan isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Dari sudut politik, Kerajaan Perikatan Nasional telah menstabilkan kemelut perebutan kuasa Perdana Menteri antara pemimpin tertinggi Pakatan Harapan. Benar, walaupun berbekalkan majoriti yang sedikit di Dewan Rakyat, tetapi Kerajaan Perikatan Nasional lebih fokus kepada isu rakyat berbanding isu kerakusan kuasa pemimpin untuk memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri. Kerajaan Perikatan Nasional mempunyai visi dan misi yang jelas dengan sokongan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Perikatan Nasional bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri kelapan dan tiada isu berbangkit berkenaan tarikh peralihan kuasa.

Dari sudut politik dunia pula, Kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya memulihkan kembali hubungan diplomatik yang tegang antara Malaysia dan negara lain seperti China, India, Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Perselisihan hubungan diplomatik merugikan negara kita. Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Perikatan Nasional telah membuahkan hasil apabila China menghulurkan bantuan kepakaran dan logistik dalam menangani wabak COVID-19 di negara kita. India pula telah mengimport kembali sawit dari negara kita. Amerika Syarikat dan Arab Saudi pula merapatkan kembali hubungan dua hala antara kerajaan.

Sebagai rangkuman untuk tinta kali ini, berikut merupakan rangkuman 10 pencapaian Kerajaan Perikatan Nasional dalam tempoh 100 hari walaupun berdepan pelbagai krisis:

(I) Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada golongan B40 dan M40.
(II) Anak muda diberikan bantuan dan perhatian.
(III) Elaun khas kepada wira dan wirawati di barisan hadapan.
(IV) Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion.
(V) Negara terbaik mengurus dan menangani wabak COVID-19.
(VI) Mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia.
(VII) Membuka peluang pekerjaan pada waktu krisis.
(VIII) Menstabilkan kemelut politik negara. Tiada lagi tarikh peralihan kuasa.
(IX) Hubungan diplomatik antara negara dipulihkan.
(X) Rakyat lebih gembira berada di bawah Kerajaan Perikatan Nasional berbanding Pakatan Harapan.

“Malaysia Sejahtera”

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Naib Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 9/6/2020

- Advertisement -