TGNA: Permulaan surah at-Taubah vs Sekularism

- Advertisement -

BUKU tegas terhadap musuh

(1) Saya tertarik dengan karya Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang bertajuk ‘Tegas Terhadap Musuh’ yang merupakan Siri Pertama Aqidah dan Daulah yang diterbitkan pada 1996. Buku ini juga disalin daripada kuliah Tafsir Surah at-Taubah yang disampaikan oleh Almarhum.

Buku ini dimulakan dengan permulaan surah at-Taubah yang diletakkan tajuk ‘Surah Politik Islam’. Surah at-Taubah diambil daripada perkataan ‘Taubat’ atau ‘Kembali’. Penulis menyatakan;

- Advertisement -

“Iaitu orang yang bertaubat itu bererti kembali atau undur semula, setelah seseorang itu melepasi batas sempadan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Di dalam sebuah Hadis Nabi S.A.W mengingatkan bahawa manusia perlu berhati-hati, kerana walaupun dunia ini diciptakan untuk manusia, namun ia tetap milik Allah. Oleh itu jangan menganggap dunia seperti milik manusia sendiri.”

(2) Di sini kita boleh faham bahawa penulis ingin menegaskan bahawa dunia yang diciptakan untuk manusia bukan menjadi hujah bahawa manusia itu boleh bebas melakukan apa sahaja tanpa batas.

Setiap manusia mesti dibatasi dengan syara’. Syara’ adalah batas-batas (hudud) kebebasan manusia. Maka mereka yang menyeru ke arah kebebasan (Liberalism) hakikatnya mereka menyeru ke arah menghapuskan batas (syariat).

(3) Realiti kejatuhan Liberalism kita boleh lihat pada hari ini apabila rakyat Amerika yang diacuankan dengan pemikiran seperti ini menyebabkan suburnya budaya protest. Masing-masing diberi kebebasan untuk sesat.

Sebab itulah manusia itu perlu hidup dalam suasana dibatasi dengan sesuatu; firman Allah S.W.T;

وَتِلْكَ حُدُودُ اللهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ

“Itulah hudud (hukum-hukum) Allah dan barangsiapa yang melampaui hudud Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.”

(at-Talaaq: 1)

Campur tangan musuh

(1) Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menyatakan bahawa surah ini juga dinamakan ‘surah al-Baraah’ yang bermaksud ‘pengisytiharan’. Beliau menyatakan;

“Maka surah ini juga dianggap surah politik atau siasah Islam. Ia merupakan deklarasi Allah S.W.T dan RasulNya terhadap orang kafir Musyrikin yang berada di Kota Makkah atau Tanah Haram. Sama ada manusia yang seratus peratus syirik terhadap Allah, atau yang masih berbelah bahagi setia mereka kepada Allah S.W.T dan separuh lagi kepada nafsu mereka sendiri. Mereka adalah tergolong Musyrikin belaka.”

(2) Penulis menyatakan lagi mengenai beberapa deklarasi atau perjanjian yang dilakukan oleh Nabi S.A.W, iaitu perjanjian keamanan, masalah keselamatan dan sebagainya. Perjanjian ini tidak dibatasi dengan waktu-waktu tertentu (العهد العام).

Penulis menyatakan mengenai huraian awal surah at-Taubah;

“Apabila Islam Berjaya menguasai kota suci Makkah, sedangkan perjanjian antara Rasulullah S.A.W dengan orang-orang kafir Makkah itu masih wujud, maka Allah S.W.T telah menurunkan ayat 1-2 surah at-Taubah itu bagi menjelaskan kedudukan Musyrikin Makkah. Sekiranya perjanjian itu tidak mempunyai had waktu tertentu maka berilah tempoh kepada mereka selama empat bulan sahaja. Selepas empat bulan, Kafir Musyrikin tidak lagi dibenarkan berada di kota suci Makkah itu. Mereka diberi pilihan sama ada selepas tempoh itu mereka akan berperang dengan kaum Muslimin atau mereka meninggalkan kota suci tersebut.”

(3) Penulis menegaskan kenapa Rasulullah S.A.W berbuat demikian, ini kerana;

“Dalam pejabat yang mengendalikan hal ehwal Islam tidak boleh sekali-kali adanya orang yang tidak setia dengan aqidah Islam berada di dalamnya.”

Di sini kita boleh lihat bagaimana perkara ini dititik beratkan oleh Nabi S.A.W dari sudut campur tangan orang bukan-Islam terhadap institusi Islam dan perjalanannya.

Politik sebahagian daripada Islam

(1) Permulaan surah at-Taubah ini menggambarkan bagaimana Tuan Guru Nik Abdul Aziz cuba membawa kepada larangan memisahkan urusan politik daripada agama yang menjadi ramuan golongan Sekularism.

Perjanjian antara Rasulullah S.A.W dengan Kafir Musyrikin, menggambarkan bahawa Rasulullah S.A.W itu membawa politik Islam itu ke tengah masyarakat. Beliau menyatakan;

“Ayat tersebut menjadi dalil bahawa urusan politik itu adalah sebahagian dari urusan agama dan tuntutan aqidah yang suci.”

(2) Beliau menyatakan lagi;

“Islam mengajar umatnya supaya bermasyarakat, mengambil tanggungjawab terhadap negara berasaskan aqidah. Sesungguhnya manusia itu berperanan sebagai Khalifah Allah di muka bumi, mereka diberi amanah untuk melakukan islah, mengurus masyarakat dan mentadbir negara menurut garis panduan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.”

(3) Permulaan surah at-Taubah menggambarkan prinsip Islam dalam mengadakan sebarang perjanjian atau deklarasi termasuk perjanjian dengan orang kafir. Walaupun tempoh yang dipersetujui antara kedua-dua pihak itu lama, tetap tidak boleh khianati perjanjian itu.

Penulis menyatakan;

“Perjanjian bukanlah satu tipu muslihat yang hanya dipatuhi ketika lemah, kemudian dikhianati apabila sudah kuat. Tidak boleh dengan sewenangnya untuk dicabuli dalam kedudukan bagaimana sekalipun.”

Pentadbiran yang terpisah daripada agama

(1) Seterusnya, penulis mula menghuraikan bagaimana bentuk campur tangan orang kafir terhadap pemerintahan Islam yang boleh mengundang kepada permasalahan agama;

“Dalam sistem pendidikan moden, di mana-mana jua pusat pengajian sejak dari sekolah rendah hingga ke universiti yang dikendalikan oleh golongan bukan-Islam, mereka tidak akan mengajar mengenai syirik atau matapelajaran tauhid. Mereka mengajar pendidikan akademik dengan berbagai-bagai mata pelajaran, hingga kepada kajian sains yang menghasilkan berbagai-bagai hasil ciptaan canggih. Penerokaan angkasa lepas sehingga menyingkap berbagai rahsia alam, namun kajian itu tidak menemukan mereka dengan ilmu tauhid.”

(2) Penulis mengaitkan situasi sistem pendidikan yang terpisah daripada elemen agama, yang mengheret kepada racun Sekularism. Racun ini perlu difahami dengan dimensi yang besar;

“Syirik itu bukan sekadar membina berhala atau tok kong dan patung-patung di dalam kuil sahaja. Tetapi syirik yang amat merbahaya, tetapi dipandang kecil oleh umat akhir zaman ini, ialah apabila mereka menganggap politik tidak ada kaitan dengan agama. Atau mereka mendakwa politik tidak boleh dicampuradukkan dengan agama. Ertinya mereka memisahkan urusan mentadbir negara dan juga ummah dari ajaran agama. Hingga ada saranan supaya politik ditinggalkan di luar masjid. Inilah yang dimaksudkan dengan fahaman Sekular, fahaman yang dibawa oleh gereja Eropah yang sudah lapuk.”

(3) Realiti yang kita lihat hari ini, mereka yang berpolitik seolah-olah tidak fikirkan hukum-hakam. Mereka melanggar batas-batas agama atas alasan ingin mencapai kemenangan dalam dunia politik.

Mereka menganggap kemenangan dalam politik itu adalah segala-galanya. Dengan beralaskan alasan untuk tegakkan Islam perlu ada kuasa politik. Maka, semuanya dilanggar, semata-mata untuk mengejar alasan itu.

Mengapa ‘failure political Islam’?

(1) Dalam artikel-artikel lalu, saya ada menukilkan tulisan-tulisan Barat terhadap ‘failure political Islam’ dan aliran-alirannya [1]. Walaupun tulisan itu dikemukakan oleh Barat dengan teori-teori mereka, namun kita perlu bermuhasabah.

Kita perlu menilai sama ada setiap gerak kerja kita benar-benar mengikut batas agama, atau main langgar sahaja. Tuan Guru Nik Abdul Aziz hidup dalam suasana yang sarat dengan kepincangan Umat Islam disebabkan Sekularism.

(2) Beliau meletakkan prinsip-prinsip yang jelas supaya umat Islam memahami ideologi ini. Mereka yang tidak mahu berbincang mengenai isu Sekularism ini bimbang terperangkap dalam kandang ini.

Mereka yang enggan untuk membedah al-Quran untuk dineracakan atas neraca ideologi, bimbang akan terjerat dengan jerat Barat yang memasarkan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan Islam.

(3) Permulaan surah at-Taubah menggariskan salah satu daripada prinsip Islam dalam perjanjian. Menggambarkan politik itu perlu diselaraskan dengan Islam. Mereka yang memimpin politik perlu celik hukum.

Realiti yang dilontarkan oleh penulis-penulis Barat mengenai kegagalan politik Islam bukan semata-mata disebabkan serangan luar, akan tetapi menggambarkan kegagalan umat Islam untuk benar-benar mengikut prinsip agamanya.

(4) Sebab itulah untuk menjayakan politik Islam, perlu teguh berpegang dengan prinsip Islam. Berprinsip sebelum mendapat jawatan, ataupun selepas memegang amanah. Sebab itulah pentingnya bekalan ilmu.

Kata-kata Sayidina Umar R.A (Hadis Mauquf):

تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا

“Hendaklah kamu faqih atau belajar sebelum kamu dilantik menjadi ketua.”

[1] https://www.facebook.com/ibnu.irfadzil/posts/3830907783617620

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 8/6/2020

- Advertisement -