Menteri Felda

- Advertisement -

DALAM tahun 2004, timbul isu besar berkaitan penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Ia adalah berkaitan isu peneroka Felda Sendayan yang mahu menjadi jutawan dengan mendapat wang pampasan seperti mana peneroka di Felda LB Jonshon. Yang digembarkan-gemburkan oleh media ialah dakwaan penyelewengan kerajaan. Ketika ini, Felda dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Yusof Nor.

Isu Felda menjadi hangat kerana asalnya tanah-tanah Felda dibuka kepada peneroka dengan tujuan untuk membolehkan orang Melayu yang termiskin dapat keluar dari kemiskinan mereka. Tetapi, sejak 2004 timbul isu apabila Felda dipindahkan dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah ke Jabatan Perdana Menteri, di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Selain penjualan tanah-tanah Felda, ada juga desas-desus yang timbul mengenai kemungkinan berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap kekayaan yang dimiliki oleh Felda.

“Dulu Tun (Abdul) Razak (Hussein) bawa Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) masuk Kabinet untuk selesaikan isu Felda,” cerita Ustaz Hassan mengenai sejarah pembangunan Felda peringkat awal, setelah melihat isu-isu yang timbul dalam pengurusan Felda.

- Advertisement -

“Apa kaitan Felda dengan Datuk Asri, Ustaz?” saya mula bertanya.

“Felda ini zaman dulu kita sebut, LKTP (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan). Belum merdeka dah ada. Tanah rancangan LKTP yang pertama ini di Kelantan, Ayer Lanas, tempat (Datuk) Mustafa Mohamad itu. Lepas merdeka, hal-hal tanah ini menjadi bidang kuasa kerajaan negeri. Tahun ’59, bila kita (PAS) menang di Kelantan, maka LKTP Ayer Lanas (kerajaan) negeri ambil. Tubuh LKTN (Lembaga Kemajuan Tanah Negeri) Kelantan. Lepas itu baru LKTP buka rancangan Lurah Bilut (Pahang) dan LB Jonshon (Negeri Sembilan).

“Bila Datuk Asri menjadi Menteri Besar (1964), antara perhatian Datuk Asri adalah buka tanah baru di Hulu Kelantan untuk letakkan orang-orang miskin, bagi mereka buka tanah. Yang ini dipanggil RKT (Rancangan Kemajuan Tanah). Idea ini, Datuk Asri kembangkan jadi rancangan pembangunan wilayah macam Segi Tiga Jengka, KEJORA, KETENGAH dan KESEDAR. Ana difahamkan yang awal sekali di Chenulang, belah Gua Musang,” Ustaz memberi gambaran umum mengenai isu asal tanah rancangan.

“Kira OK juga lah idea Datuk Asri ini. Maknanya Kerajaan PAS Kelantan ada buat sesuatu untuk rakyat keluar dari kemiskinan,” saya mendukung rancangan Datuk Mohd Asri Haji Muda.

“Itulah yang menjadi isu. Tun Razak sebagai Menteri Luar Bandar nak kuasai semua tanah rancangan, kira letak di bawah Kerajaan Pusat. Kelantan kata, tanah ini kuasa kerajaan negeri. Bila Kelantan ambil Ayer Lanas, buka Kemahang, Manek Urai, lepas itu buat RKT di Gua Musang, Tun Razak tak suka. Tapi dia takleh buat apa, sebab itu hak kerajaan negeri,” Ustaz mula membawa perbincangan kepada konflik yang timbul.

“Kenapa pula tak suka? Kan itu bagus untuk rakyat,” saya mempersoalkan sikap Tun Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

“Isunya begini. Tanah rancangan ini untuk letakkan orang-orang Melayu yang termiskin dari pelbagai negeri sebagai peneroka. Politik Tun Razak ialah dia cari orang Umno di kampung-kampung dari Kedah, Perak, rata-ratalah. Tapi (orang) Umno. Dijadikan peneroka di Pahang, Negeri Sembilan, Johor. Tun Razak jadi tersohor dan disukai oleh orang Melayu sebab ini lah. Tunku (Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri) rakyat lihat banyak tolong Cina.

“Datuk Asri buat benda sama. Orang-orang PAS yang miskin diberikan tanah di Kemahang, Manek Urai dan belah hulu. Sebab itu, di Manek Urai ada kampung nama Sungai Pas. Sebab situ boleh kata semua orang PAS. Masa kita kalah di Kelantan tahun ’78, salah satu dari dua ADUN kita yang menang ialah Wan Dollah (Wan Abdullah Wan Su) di Manek Urai. Sebab apa… Sebab peneroka situ semua orang PAS,” Ustaz mula membawa saya ke daerah ilmu yang baru, ekonomi politik. Saya belajar ekonomi politik ini dengan Arwah Ustaz Wan Abdul Rahman Latiff di UKM bersama Ustaz Riduan Mohd Nor. Tesis PhD Ustaz Wan Rahman di Oxford University ialah mengenai politik pembangunan tanah rancangan.

“Bila kita bentuk Kerajaan Campuran, Tun Razak target nak selesaikan isu ini. LKTP sebelum ini diletak di bawah macam-macam kementerian. Mula-mula di Kementerian Pembangunan (Negara dan) Luar Bandar, lepas itu gi ke Kementerian Pertanian (dan Pembangunan Ekonomi Desa). Bila berunding untuk bawa PAS masuk Kabinet pada 1972, kita boleh baca strategi Tun Razak,” Ustaz mula membuka skill politiknya.

“Strategi apa, Ustaz?” saya tertarik dengan apa yang dikatakan sebagai strategi Tun Razak itu.

“Tun Razak nak isu tanah rancangan ini diletak di bawah Pusat, bukan negeri. Oleh kerana semua negeri lain bawah Perikatan, tak jadi masalah, kecuali Kelantan bawah PAS. Maka, Datuk Asri dicadangkan sebagai Menteri Kemajuan Tanah supaya Datuk Asri sendiri yang bawa semua tanah rancangan di Kelantan masuk bawah LKTP. Dengan cara macam ini, Kelantan terpaksa serah LKTN dan RKT kepada Pusat,” dedah Ustaz me strategi Tun Razak.

“Licik juga. Habis itu, kita buat apa?” saya cuba mengorek tindak balas PAS.

“Datuk Asri kata tak apa. Sebab bila kita jadi menteri, kita boleh bawa masuk pegawai-pegawai kita, boleh buat program dan boleh bawa orang PAS jadi peneroka di tanah-tanah rancangan. 30 tahun lagi Tanah rancangan akan jadi kubu PAS.

“(Datuk Seri) Dr Mahathir (Mohamed) sampai sekarang tak puas hati pasal ini. Dia kata, sebab utama kita menang di Felda-felda (dalam Pilihan Raya Umum) tahun ’99 kerana ‘pengkhianatan’ Datuk Asri. Dr Mahathir kata PAS guna jawatan menteri itu untuk biakkan pengaruh PAS dalam kawasan Felda,” Ustaz mendedahkan pula tindak balas jangka panjang PAS.

“Apa yang kita buat di Felda itu, Ustaz?” tanya saya pula.

“Banyak. Yang awal, kita bawa masuk ustaz-ustaz kita jadi pegawai agama Felda. Termasuklah Ustaz Hashim (Jasin) dan Ustaz Halim Yahya yang belajar sekali dengan ana di Iraq. Mereka ini menjadi pendakwah dalam Felda. Kita bawa kumpulan nasyid dari Medan, Orkestra al-Watan untuk lawan pop yeh yeh. Tanah-tanah Felda yang baru buka di Jengka, Keratong, Bera, Neram di belah Pahang, banyak orang Kelantan masuk. Datuk Asri bawa orang Kelantan yang miskin jadi peneroka di Pahang. Kita target, yang pertama, orang Melayu yang miskin boleh keluar dari kemiskinan, dan kedua, mereka diberi (ilmu) agama,” panjang lebar Ustaz menerangkan peranan Kementerian Kemajuan Tanah di bawah Datuk Mohd Asri ketika itu.

“Masa kita mula-mula masuk (Kerajaan) Campuran, kementerian apa yang kita pegang, Ustaz?” saya bertanya lagi.

“Awal itu dua kementerian saja. Pertama, Kementerian Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas, Datuk Asri sebagai Menteri. Wan Ismail (Ibrahim) jadi Setiausaha Politik. Kedua, Kementerian (Pembangunan Negara dan) Luar Bandar, Ustaz Abu Bakar Hamzah sebagai Setiausaha Parlimen, dilantik Senator. Kedua-dua kementerian yang kita ambil ini berhubung secara langsung dengan rakyat, terutama orang Melayu. Ini strategi kita, supaya orang Melayu boleh terima PAS dan kita mudah berdakwah.

“Datuk Asri berapa lama jadi ‘Menteri Felda’ ini, Ustaz?” saya mencari kepastian.

“Sepanjang jadi menteri dari 1973 sampai hujung 1977, semua jaga Felda. Cuma nama beza-beza. Mula-mula, masa Campuran disebut Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas, masa BN disebut Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas. Bila (Datuk) Hussein Onn jadi Perdana Menteri, dipanggil Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah. Fungsi dia sama je, jaga tanah rancangan,” terang Ustaz pula.

“Tugas-tugas Khas itu apa dia,” saya beralih kepada tugas yang tidak diketahui itu.

“Tugas-tugas Khas itu Tun Razak buat dengan maksud ‘Agama’. Ertinya menteri yang jaga agama, tapi kita tak sebut agama. Lepas Datuk Asri, tugas ini diambil oleh Datuk Mat (Mohamad) Nasir (Presiden BERJASA), tapi disebut sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Fungsi Datuk Asri yang paling besar ialah jaga Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama, hari ini kita panggil JAKIM. Datuk Asri jadi Timbalan Pengerusi, Tun Razak jadi Pengerusi. Pahtu, agensi yang kita jaga termasuklah YADIM (Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia) dan Tabung Haji. Ustaz Hassan Adli jadi Timbalan Pengerusi YADIM, ana jadi Ahli Lembaga LUTH (Lembaga Urusan dan Tabung Haji). Belum banyak agensi masa ini. Zaman kita ini lah baru berkembang,” terang Ustaz lagi.

“Banyak juga ruang yang kita ada untuk berdakwah masa ini, kan?” saya begitu optimis.

“Ruang memang banyak. Sebab Tun Razak bagi peluang kepada PAS untuk berdakwah, terapkan peraturan Islam dan beri kata putus dalam benda-benda berkait dengan agama.

“Tapi bergaduh juga sikit-sikit…” Ustaz cuba membuka sisi negatif.

“Gaduh macam mana itu?” saya mula keliru.

“Masa peringkat awal, di Pusat kita dah buat agihan jawatan. Tapi di peringkat negeri dan daerah ada yang tercicir dan ada yang belum serasi. Jadi ada orang PAS yang tak puas hati. Lepas itu di Parlimen, Pak Yusof Rawa gaduh ngan Peguam Negara. Pak Yusof kata, dah sampai masa kerajaan kena terapkan Undang-undang Islam dalam pentadbiran negara, tapi Peguam Negara (Tan Sri Abdul Kadir Yusof) tak setuju sebab dia kata ini negara Sekular, bukan Negara Islam. Tapi lepas itu, selesai lah,” Ustaz menyebut beberapa pengalaman awal PAS ketika baru menyertai kerajaan.

Semoga pengalaman dakwah baru ini bukan sahaja menjadi pelajaran, tetapi menjadi panduan kepada pemimpin PAS yang berada di dalam kerajaan hari ini.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 8/6/2020

Lawatan Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Menteri Besar Kelantan ke Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Chenulang, Hulu Kelantan pada 1966. RKT yang diperkenal oleh Kelantan ini turut menjadi model pembangunan tanah wilayah, yang akhirnya dikenali sebagai KESEDAR pada 1978.
Evolusi Felda. Ia ditubuhkan pada 1 Julai 1956. Rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) yang pertama dibuat di Ayer Lanas, Kelantan mulai Oktober 1956. Selepas merdeka, tanah-tanah rancangan ini menjadi bidang kuasa negeri dan Kerajaan PAS Kelantan menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTNK) pada 1959 untuk membangunkan ekonomi rakyat melalui rancangan tanah ini. Pada zaman Dato’ Mohd Asri, LKTP dikenali sebagai FELDA.
Ayer Lanas dahulunya adalah sebahagian daripada negeri Legeh. Pada 1909, melalui Perjanjian Bangkok ia dimasukkan ke dalam wilayah Kelantan. Pada 1956, Ayer Lanas telah dipilih menjadi perintis rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP). Di bawah wilayah LKTP ia meluputi kawasan Kg Rahmat, Sungai Satan, Air Chanal, Kg Legeh dan Ayer Lanas sendiri. Selepas LKTP Ayer Lanas dikuasai Kerajaan Kelantan, barulah LKTP Lurah Bilut, Pahang dibuka.
- Advertisement -