KASA ambil tindakan isu pelupusan enapcemar haram

- Advertisement -

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) telah mengambil tindakan segera ke atas aduan berhubung aktiviti pelupusan enapcemar kumbahan secara haram di Bukit Damar, Cyberjaya Selangor yang diterima pada sekitar jam 4.30 petang kelmarin (6 Jun 2020). Pegawai penguatkuasa JAS dan IWK telah tiba di lokasi kejadian dalam tempoh setengah jam kemudian dan telah menjalankan siasatan susulan.

Setibanya di lokasi, penguatkuasa telah berjaya menahan sebuah lori tangki berserta pemandu dan kelindan yang disyaki melakukan kerja-kerja pembuangan sisa tersebut. Hasil siasatan mendapati terdapat longgokan besar enapcemar kumbahan berwarna kehitaman dan berbau busuk yang dihumban ke dalam sebuah lombong terbiar di Bukit Damar, Cyberjaya, Selangor.  Lokasi kawasan terlibat yang tersorok dan terpencil dipercayai telah mendorong pihak-pihak tertentu menjalankan aktiviti pelupusan secara haram termasuk menjadikan kawasan tersebut sebagai tapak pelupusan sampah haram. Berdasarkan semakan awal SPAN, lokasi insiden bukanlah lokasi berdaftar untuk pelupusan sisa kumbahan. Kontraktor tersebut juga dipercayai telah beroperasi tanpa permit yang sah daripada SPAN.

Selain itu, sampel enapcemar kumbahan telah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis. Manakala pihak IWK akan meneliti sampel bagi memastikan sisa kumbahan yang dibuang itu bukan berasal daripada loji IWK.

- Advertisement -

Tindakan segera

• Pihak JAS telah mengeluarkan arahan di lapangan (Field Citation) kepada syarikat pembetungan dan pengurusan sisa kumbahan supaya menjalankan kerja-kerja pembersihan tapak dengan serta merta dan melupuskan enapcemar tersebut ke tapak yang diluluskan oleh JAS.

• Setakat tengah hari ini, kerja-kerja membersihkan sisa di tapak pelupusan haram tersebut sedang dijalankan kontraktor pembersihan yang diselia oleh JAS dan IWK dan dijangka mengambil masa beberapa hari untuk dibersihkan sepenuhnya.

• Kawasan tersebut telah diletakkan pita penghadang bagi mencegah pencerobohan dan gangguan bahan bukti. Dalam pada itu, penjejakan syarikat lori pengangkut yang terlibat diteruskan dan tindakan sitaan ke atas lori sedang dijalankan.

Tindakan susulan

JAS dan SPAN dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sepang akan membuka Kertas Siasatan bagi mendakwa pihak-pihak yang terlibat di bawah:

• Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan lain-lain Seksyen yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda maksimum sebanyak RM100,000 atau kedua-duanya;

• Seksyen 50 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 50 (2) dalam Akta yang sama.

• Undang-undang dan peraturan di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah Sepang.

KASA memandang serius kes pencemaran alam sekitar yang masih berlaku terutamanya dalam situasi negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa. Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan terus diambil bagi memastikan alam sekitar dan sumber air terus terpelihara daripada  pencemaran.     

KASA ingin memberi penghargaan kepada pengadu kerana membantu kerajaan dalam usaha menangani pencemaran dengan membuat laporan awal. KASA juga memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran melalui talian aduan seperti berikut:

Whatsapp atau telefon 019-9863247;
• talian bebas tol 1-800-88-2727;
• e-mel ke [email protected] atau [email protected]
• Portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my. – HARAKAHDAILY 8/6/2020

- Advertisement -