Bercampur atau Berikat?

- Advertisement -

SELEPAS Pilihan Raya Umum 2008, Barisan Nasional (BN) tidak dapat membentuk kerajaan di Perak dan Selangor. Beberapa usaha dibuat oleh Umno untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan PAS bagi mengelakkan kerajaan di negeri-negeri tersebut jatuh ke tangan DAP. Walau bagaimanapun usaha Umno tersebut gagal apabila PAS akhirnya mengambil keputusan menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) bersama PKR dan DAP bagi membolehkan Kerajaan Negeri Perak dan Selangor dibentuk. Akhirnya, BN tidak dapat memerintah di lima buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, selain turut hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Oleh kerana BN yang mempunyai 140 kerusi Dewan Rakyat tewas pula dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009, timbul cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan (UG) daripada Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu interview yang disiarkan oleh akhbar Siasah pada 1 Mac 2009. Idea kerajaan tanpa pembangkang ini menimbulkan konflik yang besar dalam PAS. Sebelum ini, sekumpulan pemimpin PAS mendukung rancangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk Kerajaan 16 September melalui Undi Tidak Percaya terhadap Kerajaan BN, tetapi rencana ini gagal. Pada 4 Februari 2009, keadaan politik menjadi tegang kerana Kerajaan PR Perak tumbang ekoran beberapa wakil rakyat PKR dan DAP melompat parti. Bagi menyelesaikan konflik politik inilah, gagasan UG diangkat oleh Presiden PAS.

- Advertisement -

Idea Presiden PAS inilah telah menyebabkan pemimpin PAS berpecah menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan mendukung gagasan Presiden PAS, satu kumpulan lagi mendukung Kerajaan 16 September Anwar Ibrahim. Ketika konflik ini sedang hangat diperbahaskan, Ustaz Hassan memberitahu saya:

“Politik ini ada seni dan ada hukum,” kata Ustaz yang mengulas pendirian sesetengah pemimpin PAS yang hanya bersandarkan kepada strategi dan analisis politik semata-mata.

“Kita ada pengalaman berunding dan bekerjasama dengan parti lain, termasuk dengan BN,” kata Ustaz lagi.

“Dulu masa kita dalam BN, macam mana cara kita buat kerjasama, Ustaz?” saya mula bertanya.

“Proses ini banyak peringkat. Kita sangat hati-hati. Walaupun tawaran untuk join Kerajaan Pusat ini menarik.

“Ana suka cara Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda). Dia suruh kita buat kajian dari sudut politik dan ekonomi, dalam masa yang sama dia suruh Dewan Ulamak (PAS Pusat) buat kajian hukum syarak, boleh ke tak kita kerjasama dengan Perikatan dari sudut hukum,” terang Ustaz.

“Kita nampak orang sekarang ini (sesetengah pimpinan PAS) tak peduli sangat hukum, kira langkah politik je. Bahaya cara gini, sebab kita ini parti Islam. Kita ada dasar, ada rujukan hukum, ada Majlis Syura (Ulamak PAS). Kita tak boleh bergerak cara politik Sekular,” ulas Ustaz lagi dengan merujuk kepada kegelojohan politik sesetengah pimpinan PAS yang terlalu taksub kepada PR sehingga membelakangi hukum syarak dalam tindakan politik.

“Cuba Ustaz cerita sikit macam mana Kerajaan Campuran PAS-Perikatan terbentuk,” saya mula mendorong Ustaz untuk membuka cerita sebenar pengalaman PAS itu.

“Masa tahun ’70 lepas MAGERAN dah tamat, ana jadi Setiausaha Kerja di Pejabat Agung (PAS). Lepas itu jadi Ketua Pemuda (PAS Pusat). Jadi, semua proses pembentukan Kerajaan Campuran ini ana tahu dan terlibat. Cuma, Mesyuarat Agung Khas untuk putuskan kita setuju ke tidak buat kerajaan campuran je ana tak hadir, sebab gi Sidang WAMY di Jeddah.

“Proses bentuk Kerajaan Campuran ini ada beberapa peringkat. Yang terawal itu, penyertaan kita dalam Jawatankuasa MAGERAN. Kita masuk Majlis Perunding Negara. Orang kita, Datuk Asri sebagai Menteri Besar wakil Kelantan, Ustaz Hassan Adli sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS wakil parti bersama (Abdul) Aziz Abdullah, peguam kita. Hasil berunding ini, kita dapat tamatkan darurat, Parlimen bergungsi semula. Kita pun masuk juga Jawatankuasa Muhibbah Negara, wakil kita Haji Taha Kalu. Lepas itu kita terlibat gubal Rukun Negara. Ini kira kerjasama awal, kita terbuka.

“Bila politik dah dibolehkan lepas 1 September ’70, Perikatan dah mula buat gerakan politik. Depa buat Kerajaan Campuran di Perak, Pulau Pinang dan Sarawak pada awal ’72. Dipinda Akta Hasutan dan Perlembagaan (Persekutuan) untuk sekat isu-isu sensitif dari dijadikan isu politik. Masa ini, Tun (Abdul) Razak (Hussein) dah jadi Perdana Menteri lepas Tunku (Abdul Rahman Putra) letak jawatan dia bila darurat tamat. PAS tak setuju sebenarnya pinda Perlembagaan itu, sebab kita tahu Perikatan akan ambil manfaat. Tapi PAS terpaksa sokong, supaya demokrasi hidup semula, kalau tak, keadaan politik lagi susah,” panjang lebar Ustaz bercerita mengenai permulaan hubungan PAS dengan Kerajaan Pusat.

“Macam mana pula idea (Kerajaan) Campuran ini timbul?” saya bertanya lagi.

“Yang mula-mula cadang ini (Datuk Abdul) Samad Idris, menteri muda (Timbalan Menteri) masa itu. PAS tak bersungguh sangat. Lepas itu, bila Tun Razak dapat buat Campuran di tiga negeri, (Tun) Ghafar Baba pula cadang supaya PAS pun buat Campuran juga sebab PAS ada kerajaan. Setiausaha Agung (PAS), Ustaz Abu Bakar Hamzah jawab, PAS boleh timbang kalau untuk kepentingan negara. Tapi ramai je pimpinan PAS yang tak setuju. Sebab Umno ini musuh PAS, banyak benda tak baik Umno buat kat PAS. Lagi pula kita kuat di Kelantan, tak perlu kepada Campuran.

“Dah tengah tahun ’72 barulah Tun Razak sendiri sebut benda ini. Itu pun masa Perhimpunan Agung Umno, dalam ucapan dasar dia. Tun Razak kata, kerjasama dengan PAS penting untuk stabilkan politik negara, untuk jaga keselamatan dari Komunis dan kemajuan negara.

“Datuk Asri ada di Siam (Thailand) masa ini. Jadi Ustaz Abu Bakar Hamzah jawab, kata boleh bincang. Lepas itu, isu ini dibawa masuk dalam Mesyuarat Agung (Tahunan PAS) tahun ’72. Datuk Asri sebut dalam ucapan dasar. Mudahnya, Datuk Asri bayangkan, Campuran ini ada kebaikan untuk PAS, terutama untuk lawan isu Komunis dan keselamatan negara. Masa ini kan berlaku Perang Vietnam.

“Asalnya (Muktamar) Dewan Muslimat (PAS Pusat) dah setuju tolak Campuran ini, (Muktamar) Dewan Ulamak (PAS Pusat) pun suruh tangguh dulu untuk kaji. Tapi bila dengar penjelasan Datuk Asri, semua orang dah rasa macam OK.

“Mula-mula Datuk Asri kata, Umno perlukan penyatuan politik Melayu untuk imbang desakan orang Cina MCA dalam kerajaan. Cina DAP dan Gerakan tekan kerajaan dari luar. PAS kena tolong Umno untuk jamin kestabilan politik. Kalau orang Melayu jatuh, habis kuasa politik kita.

“Lepas itu, timbul isu hukum pula. Pak Yazid (Jaafar) yang tanya, apa hukum kita bercampur dengan Umno. Sebelum ini, kita kata Umno sesat sebab duk sekali dengan MCA. Isu ini Tok Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) jawab, sebab dia Ketua Ulamak (PAS Pusat). Hukum tahaluf siyasi tak bincang lagi masa ini.

“Kata Tok Guru, ada dua benda yang berbeza. ‘Berikat’ dan ‘bercampur’. Berikat ini ertinya kita masuk dalam ikatan politik depa, hilang identiti kita, nama kita, simbol kita, dasar kita lebur sebab ikatan politik itu. Maka hukum Berikat itu haram. Macam Umno Berikat dengan MCA dan MIC, lalu Islam tak tahu ke mana, Melayu tak tahu ke mana. Arak jadi halal, judi jadi halal, riba jadi halal. Yang macam ini haram.

“Bercampur ini pula kata Tok Guru ialah kita ada kerjasama dengan sebab kepentingan tertentu, tapi kita tidak terikat. Identiti kita kekal. Dasar kita tak berubah. Kita guna simbol kita. Kita tak setuju kita bantah, kita keluar dari Bercampur dengan depa. Bercampur macam ini hukumnya harus, tapi dengan syarat-syarat.

“Bila perwakilan dengar penjelasan hukum dari Tok Guru Nik Aziz, dan dia orang faham beza Bercampur dan Berikat ini, maka Mesyuarat Agung itu pun setuju untuk benarkan PAS berunding dengan Perikatan untuk buat Campuran,” semakin melebar huraian Ustaz mengenai proses percampuran tersebut.

“Kira ini keputusan PAS setuju buat Campuran lah, Ustaz?” saya cuba mengambil rumusan awal.

“Eh! Belum. Ini hanya persetujuan untuk PAS berunding. Bukan setuju untuk buat Campuran lagi,” tegas Ustaz untuk menolak sangkaan saya.

“Habis itu, yang setuju Bercampur itu macam mana pula,” saya dah hilang sabar untuk tahu lebih mendalam.

“Bila dah habis Mesyuarat Agung, Jawatankuasa (Kerja) Agung (PAS) bincang kedudukan ini. Jadi, dalam mesyuarat itu, timbul macam-macam perkara berkait rundingan ini. Antara yang paling penting, berkait butir-butir syarat perjanjian dan kerjasama untuk Bercampur. Ustaz Hassan Adli kata, kita kena letak syarat-syarat umum berdasarkan ucapan dasar, supaya kita tidak terikat terlalu ketat dengan syarat. Tapi (Ustaz) Amaluddin (Darus) kata kita kena buat syarat secara jelas dan terperinci, supaya Umno tak boleh main kita.

“Ana pula kata, kita bentuk asas rundingan berdasarkan ucapan dasar, lepas itu kita buat syarat-syarat lain. Antaranya, kita mesti letak syarat Perikatan mesti terima Syariat Islam dalam Undang-undang Negara. Kerajaan tak boleh tindas rakyat dan Parlimen tak boleh bubar mendadak sehingga penggal tamat. Cadangan ana ini disetujui oleh mesyuarat.

“Lepas itu, kita lantik Datuk Asri, Ustaz Hassan Adli dan Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk wakil PAS berunding. Tapi, Hassan Adli tak setuju dua tiga perkara lepas jumpa Tun Razak kali pertama, dia tak masuk mesyuarat dah lepas itu. Tun Razak dan Tun Dr Ismail (Abdul Rahman) jadi wakil Perikatan masa berunding ini,” Ustaz melanjutkan penjelasannya.

“Macam mana proses rundingan ini, Ustaz. Berhasil tak?” saya bertalu-talu bertanya.

“Rundingan ini berlaku tiga kali. Kali pertama, kita gi dengar je cadangan Umno. Menarik juga, sebab Umno cadang supaya kedudukan Melayu dan Islam dikukuhkan, jawatan-jawatan Kabinet untuk PAS. Yang penting, Umno cadang PAS dibenarkan untuk cadang undang-undang dan peraturan Islam dalam kerajaan, PAS boleh berdakwah dan (YPTIK) Nilam Puri naik taraf universiti.

“Rundingan kedua, dalam bulan sembilan (September 1972), kita masih perhaluskan syarat-syarat ini. Belum ada persetujuan. Hassan Adli dia tak datang, tapi dia buat minority report kepada Jawatankuasa Agung (PAS). Tiba-tiba Tun Razak umum kata kita dah setuju untuk buat Campuran. Kecoh sekejap dalam PAS, sebab kita belum bersetuju, Tun Razak pula umum dah setuju kepada media.

“Masuk bulan 12 (Disember 1972), baru rundingan ketiga. Di sini kita dah tulis secara detail butir-butir persetujuan dan syarat-syarat. Syarat-syarat ini kita umum lah kepada ahli-ahli dan media. Datuk Asri ada tulis syarat-syarat ini dalam buku dia di UKM (Memoir Politik Asri: Meniti Arus, 1993. Penerbit UKM, Bangi).

“Lepas saja rundingan ketiga ini, Datuk Asri arah Tok Guru Nik Aziz supaya Dewan Ulamak buat kajian hukum. Yang kita setuju baru dari segi politik, hukum belum lagi. Dewan Ulamak (PAS Pusat) pun tubuh Jawatankuasa Tarjih. Selepas beberapa kali berunding, Ustaz Abu Bakar Hamzah buat kertas panjang pasal hukum. Habis dia tulis segala dalil haram, harus. Bawa habis ayat Quran, Hadis, Sirah. Akhirnya, Jawatankuasa Tarjih tak dapat buat keputusan sebab separuh kata haram, separuh kata harus. Sama ramai. Last sekali bawa kepada Jawatankuasa Dewan Ulamak untuk putuskan. Depa kata harus dengan majoriti,” jelas Ustaz berkait dengan kedudukan hukum pula. Kata Ustaz, masa ini dia sudah bertolak je Jeddah untuk hadiri penubuhan WAMY.

“Kalau hukum dah harus, kira boleh kerjasama lah kan?” saya membuat kesimpulan sekali lagi.

“Belum. Keputusan Dewan Ulamak dan butir-butir syarat ini dibawa ke Mesyuarat Agung Khas PAS dalam bulan Disember (21 Disember 1972) itu juga. Ana difahamkan panas juga perbincangan, tapi ana tak hadir. Ada di Jeddah. Akhirnya majoriti setuju kita Bercampur dengan Perikatan.

“28 Disember (1972), Datuk Asri dan Tun Razak sign agreement berdasarkan syarat-syarat yang kita setuju itu lah. 1 Januari ’73, perjanjian berkuat kuasa. Datuk Asri jadi Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas, Ustaz Abu Bakar Hamzah jadi Setiausaha Parlimen. Bila Datuk Asri letak jawatan Menteri Besar, Datuk Ishak Lotfi (Omar) jadi Menteri Besar semula,” cerita Ustaz mengenai bagaimana terbentuknya Kerajaan Campuran.

“Kira rumit juga proses ini, Ustaz. Banyak tahap kita lalu. Tahap awal, berunding untuk stabilkan politik. Tahap kedua, idea-idea Campuran. Tahap ketiga, perbincangan mengenai kedudukan politik. Tahap keempat, kedudukan hukum. Tahap kelima, syarat-syarat kerjasama. Tahap keenam, baru Campuran terbentuk,” saya cuba meringkaskan perbincangan kami mengenai proses yang dilalui dalam kerjasama ini.

“Begitu lah lebih kurang,” kali ini Ustaz sepakat dengan saya.

Semoga Allah merahmati seluruh usaha Ustaz dan pimpinan PAS untuk meluaskan medan dakwah ini.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 8/6/2020

Mesyuarat Majlis Perpaduan Negara yang melibatkan semua parti politik pada 1971. Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda dan timbalannya, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad mewakili PAS.
Dato’ Mohd Asri dan Ustaz Hassan Adli ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Perpaduan Negara. Majlis ini merupakan langkahan awal menuju kepada kerjasama PAS-Perikatan.
Dato’ Mohd Asri bersama Tun Abdul Razak Hussein dalam satu perundingan pada Jun 1972. Rundingan ini adalah yang pertama ke arah pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan.
- Advertisement -