Arak: Untung secupak rugi segantang

arak
- Advertisement -

MUTAKHIR ini, perbincangan mengenai kesan arak semakin diperbincangkan dalam masyarakat, khususnya selepas jumlah kematian akibat dilanggar oleh pemandu mabuk semakin meningkat dan membarah dalam masyarakat. Pelbagai pandangan yang dikeluarkan untuk menangani isu ini, antaranya pandangan yang diutarakan seperti mengetatkan undang-undang bagi pemandu mabuk yang mengakibatkan kecederaan atau kematian, atau mengharamkan arak secara keseluruhannya. Ada juga pandangan yang menekankan kepada perlukan penekanan pendidikan kepada mereka yang minum arak supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk yang memungkinkan berlakunya kemalangan.

Asasnya, kesan daripada pengambilan arak bukan sahaja menyebabkan risiko kemalangan dan menyebabkan orang yang tidak bersalah terkorban sahaja, bahkan kesan pengambilan arak itu sendiri boleh menyebabkan produktiviti seorang pekerja menurun, masalah kesihatan fizikal dan mental, isu rumah tangga sehinggalah mengheret kepada isu jenayah dan masalah sosial. Dalam masa yang sama, antara manfaat arak ialah hasil daripada keuntungan jualannya. Termasuk cukai yang diperolehi oleh pihak kerajaan.

- Advertisement -

Dalam hal ini, Islam telah menjelaskan dengan terperinci bahawa mudarat arak lebih besar daripada manfaat arak, menerusi firman Allah S.W.T:

‎ يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ

“Mereka bertanya kepada (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi, katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

(al-Baqarah: 219)

Ayat ini merupakan permulaan pertama ke arah pengharaman arak kepada orang Islam. Imam at-Tabari R.A menukilkan pandangan daripada Imam Suddi R.A yang menerangkan mengenai ‘dosa (minum arak) melebihi daripada manfaatnya’ dengan menyatakan “Dosa arak ialah apabila seorang lelaki meminum sehingga mabuk, kemudian dia akan menyakiti manusia”. Antara lain juga, Imam Tabari R.A menyebut apabila seseorang itu mabuk, mereka akan saling merendah-rendahkan antara satu sama lain sehingga boleh menyebabkan berlaku pergaduhan yang boleh mengakibatkan pembunuhan.

Fakta keburukan arak

Kesan arak bukan sahaja kepada peminumnya sahaja, tetapi memberi kesan kepada ekonomi dan sosial sesebuah negara, antaranya:

(1) Mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumlah mangsa kematian atau kecederaan parah atau ringan disebabkan pemandu mabuk antara tahun 2010 sehingga 2018 ialah seramai 2,391 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,196 orang telah mati.

(2) Di US, kerugian yang ditanggung oleh kerajaan dan rakyat pembayar cukai disebabkan oleh arak ialah sebanyak USD429 bilion. Daripada jumlah kerugian tersebut, 72 peratus kos ialah hasil daripada hilangnya produktiviti kerja, 10 peratus kos tindakan terhadap penjenayah, 11 peratus kos perubatan, 5 peratus kos daripada kemalangan jalan raya. Kajian ini dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di bawah Kementerian Kesihatan US pada tahun 2010. Kos terpaksa ditanggung oleh kerajaan menerusi cukai yang dibayar oleh rakyat. Manakala di Australia, kerugian kos disebabkan arak ialah USD36 bilion setahun. Kos ini meningkat sekali ganda daripada tahun-tahun sebelumnya. Kajian ini dikeluarkan oleh Yayasan Pendidikan dan Pemulihan Alkohol, Australia pada tahun 2010.

(3) Di Australia juga, nisbah 1 daripada 4 orang rakyatnya berdepan dengan ketagihan arak yang berisiko, 10-15 peratus kes kecemasan berkaitan dengan alkohol, 25 peratus kes jenayah yang ditangani oleh polis barisan hadapan berkaitan dengan alkohol, 1 dari 4 kematian di jalan raya adalah disebabkan alkohol dan 29 peratus keganasan rumah tangga disebabkan alkohol. Kajian ini dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Australia pada tahun 2019.

(4) Menurut Dr Johari Yap, dalam Jurnal Lancet (Volume 392, Isu 10152, muka surat 987–988, 2018), artikel ‘No Level of Alcohol Consumption Improves Health’ membincangkan hasil kajian melibatkan 195 negara dari tahun 1990 sehingga 2016. Dapatan daripada kajian yang dijalankan, menunjukkan alkohol adalah penyumbang besar kepada masalah kesihatan sejagat, tidak kira besar atau kecil kadar pengambilannya. Daripada 100,000 peserta kajian yang tidak mengambil alkohol, seramai 914 orang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser dan ada yang mengalami kecederaan.

Jumlah itu bertambah lima kali ganda bagi mereka yang minum satu gelas minuman beralkohol sehari. Menurut kajian itu lagi, untuk mengurangkan risiko penyakit berkaitan alkohol seperti penyakit jantung, kencing manis dan kanser, kadar dibenarkan untuk diambil dalam masa seminggu adalah ‘kosong’ gram, bermakna alkohol tidak dibenarkan sama sekali. Garis panduan Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom pada tahun 2016 juga menyatakan tidak terdapat kadar selamat untuk pengambilan alkohol (no safe level of alcohol consumption).

(5) Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kemudaratan alkohol kepada sistem saraf dan otak (neuropsychiatry) merupakan kesan jangka panjang alkohol yang paling kerap dilaporkan di kalangan orang dewasa. Antara kesan alkohol kepada kesihatan mental ialah;

(a) Kecelaruan tingkah laku dan fikiran.
(b) Keresahan dan kebingungan.
(c) Kekeliruan.
(d) Kebergantungan kepada alkohol.
(e) Hilang ingatan sementara atau kekal.
(f) Kemurungan.
(g) Kecenderungan untuk membunuh diri.
(h) Psikosis.

Selain itu, pengambilan minuman beralkohol yang berterusan terutamanya jika diambil dalam jumlah yang banyak, boleh memberikan kesan toksik dalam organ badan. Kesan toksik alkohol kepada otak boleh menyebabkan gangguan mental seperti kemurungan dan psikosis. Selain itu, alkohol boleh menyebabkan sirosis hati dan kegagalan fungsi hati, kegagalan jantung, gastritis, ulser, radang pankreas dan kanser saluran oro-farink (mulut dan tekak). Semua ini merupakan antara komplikasi atau kesan jangka panjang kemudaratan terhadap kesihatan disebabkan alkohol. Bahkan kematian pra-matang boleh berlaku akibat kegagalan fungsi organ badan ini.

Kesimpulan daripada fakta di atas, kesan pengambilan atau ketagihan arak ialah:

(a) Kesan ekonomi dari sudut kerugian yang ditanggung oleh kerajaan yang mana salah satu sumbernya daripada duit pembayar cukai.
(b) Kesan terhadap kesihatan rakyat sama ada fizikal atau mental.
(c) Kesan terhadap sosial dan keselamatan masyarakat sama ada kes jenayah, keganasan dan sebagainya.

Ini antara fakta keburukan dan kemudharatan daripada arak. Manakala dari sudut manfaatnya ialah dari sudut ekonomi, iaitu keuntungan perniagaan arak dan cukai yang diperolehi oleh kerajaan. Menurut Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 8 Oktober 2019, hasil cukai langsung pada tahun 2019 ialah sebanyak RM137 bilion. RM7 bilion daripadanya ialah daripada hasil cukai haram (sin Tax), RM1.99 bilion daripada cukai haram itu diperolehi daripada arak.

Namun jika dilihat pada kesan yang berlaku daripada arak ini, perbelanjaan yang terpaksa ditanggung kesan daripada arak lebih tinggi daripada pendapatan yang diperolehi daripada arak.

Pandangan Islam terhadap arak

Di dalam al-Quran menceritakan dengan jelas pengharaman arak yang disyariatkan di zaman Nabi S.A.W. Antara ayat yang diturunkan sebagai peringkat terakhir iaitu pengharamannya:

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ*إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(al-Maidah: 90)

Dalam masa yang sama, Allah S.W.T menggambarkan bagaimana keburukan arak di dalam al-Quran;

‎إنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

(al-Maidah: 91)

Manakala dalam feqah Islam, jenayah meminum arak ialah 40 hingga 80 kali sebatan mengikut kaedah sebatan dalam Islam, dan bilangannya itu terdapat perselisihan di antara mazhab. Bahkan pecahan-pecahan hukumannya juga ada perinciannya.

Antara lain Nabi S.A.W bersabda;

‎أن النبي صلى الله عليه وسلم أتاه جبريل فقال‏:‏ يا محمد إن الله لعن الخمر وعاصرها ومعتصرها‏،‏ وحاملها والمحمولة إليه وشاربها وبائعها‏،‏ ومبتاعها وساقيها‏

“Sesungguhnya Nabi S.A.W didatangi oleh Jibril lalu berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah melaknat arak dan pemerahnya, orang yang meminta memerahnya, pembawanya, yang dibawa kepadanya, peminumnya, penjualnya, pembelinya dan penuangnya.”

Di dalam Islam maqasid pengharaman arak lebih kepada penjagaan akal dan nyawa. Arak merosakkan akal, dan orang yang mabuk membahayakan nyawanya sendiri dan nyawa orang lain, khususnya apabila memandu sambil mabuk.

Mereka yang memandu sambil mabuk bukan sahaja dihukum 40 hingga 80 sebatan mengikut cara Islam, akan tetapi perlu didakwa atas kesalahan ‘membunuh’. Dalam Islam, ‘bunuh’ terbahagi kepada 3 jenis, bunuh sengaja قتل عمد, bunuh tidak sengaja قتل بغير عمد, bunuh seolah-olah sengaja قتل شبه عمد.

Hari ini kita berhadapan dengan isu kemalangan disebabkan mabuk. Kemalangan yang membunuh seperti ini termasuk dalam قتل شبه عمد iaitu bunuh seolah-olah sengaja. Bunuh dengan sengaja terbahagi kepada dua jenis, sekiranya dimaafkan oleh waris mangsa maka pembunuh tadi perlu membayar pampasan (diyat) kepada keluarga si mati.

Bunuh seolah-olah sengaja dan juga bunuh tidak sengaja, perlu bayar pampasan sebagai hukuman. Nilai pampasan kedua-duanya berbeza. Andaikan orang bukan-Islam di Malaysia ini dianggap sebagai Zimmi, maka mereka perlu dijatuhkan hukuman pampasan yang sama sekiranya tidak sengaja atau seolah-olah sengaja bunuh orang Islam.

Dalam kitab العلاقات الدولية في الشريعة الاسلامية karangan Dr Abbas Syuman, dari al-Azhar;

‎إذا قتل المسلم الذمى أو الذمى المسلم خطأ أو شبه عمد عوقب المعتدى بالدية المقررة في القتل شبه العمد أو الخطأ لأنه قتل نفسا معصومة بالإسلام أو الأمان فوجب عليه الضمان

“Apabila seseorang Muslim itu membunuh seorang Zimmi atau seorang Zimmi membunuh seorang Muslim tanpa sengaja atau seolah-olah sengaja, akan dijatuhkan hukuman dengan diyat yang ditetapkan dalam pembunuhan seolah-olah sengaja atau tidak sengaja, kerana ia membunuh satu jiwa yang dipelihara atas nama Islam, ataupun diberi keamanan. Maka wajib ke atasnya jaminan.”

Dalam perbincangan feqah mengenai pendakwaan bagi kes ‘bunuh seolah-olah sengaja’ ini terdapat perselisihan. Maka hal perselisihan itu diserah kepada jawatankuasa fatwa yang dilantik oleh kerajaan untuk memilihnya. Cumanya hukuman diyat yang dikenakan bersifat الدية المغلظة boleh dibayar secara ansuran selama 3 tahun kepada keluarga si mati, berbeza dengan bunuh secara sengaja

Perselisihan dalam kes ini agak panjang dan ada perinciannya. Kes ini boleh dikenakan denda kepada pelakunya senilai dengan 100 ekor unta. Kalau hari ini harga seekor unta RM4,000, maka kos yang perlu dibayar kepada ‘keluarga si mati’ sebanyak RM400,000. Bayaran pula dibuat kepada ‘keluarga si mati’. Perincian mengenai diyat (pampasan) akan dihurai selepas ini.

Solusi dan cadangan untuk mengekang keburukan arak

Oleh kerana isu yang diperkatakan oleh masyarakat di Malaysia ialah isu pemandu mabuk, saya amat bersetuju dengan saranan YAB Perdana Menteri untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya dikenakan hukuman yang lebih berat terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol. Khususnya kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain. Konsep Qisas (bunuh balas jika tidak dimaafkan oleh keluarga si mati) juga boleh dikaji sebagai panduan.

Selain daripada itu, konsep diyat atau bayaran ganti rugi atau pampasan kepada pihak mangsa juga boleh diperkenalkan sebagai pembelaan terhadap keluarga mangsa yang mungkin kehilangan pendapatan disebabkan kematian ketua keluarga sepertimana yang saya huraikan tadi. Dalam Islam, diyat bermaksud sejumlah harta atau wang yang wajib dibayar oleh penjenayah kepada wali atau ahli waris mangsanya sebagai pampasan disebabkan melakukan sesuatu jenayah yang melibatkan nyawa (kematian) atau kehilangan akal atau kecederaan anggota-anggota badan atau kehilangan fungsi anggota-anggota tersebut.

Secara umum kiraan diyat dikira berdasarkan kes kecederaan yang dialami oleh mangsa. Jika anggota itu terputus terus atau hilang fungsinya dan anggota itu hanya ada satu sahaja seperti lidah di tubuh manusia maka diyatnya 100 ekor unta atau sama nilai dengannya. Jika anggota itu ada sepasang maka dikira separuh diyat bagi sebelah anggota yang cedera atau hilang fungsi. Jika kecederaan selain dari itu maka hakim akan memutuskan diyat atau pampasan yang munasabah.

Beberapa skop yang mungkin boleh dijadikan langkah awal dalam penyelesaian masalah ini ialah;

(a) Pendidikan dan pemahaman masyarakat mengenai bahaya arak.
(b) Kajian berkenaan kelulusan dan permit penjualan arak khususnya di tempat majoriti orang Islam.
(c) Keterlibatan pekerja Islam dalam kedai yang menjual arak khususnya di Kedai Serbaneka.
(d) Sambutan Pesta Arak seperti Oktoberfest dan sebagainya.

Semua ini dibuat bagi mengekang ketagihan kepada arak yang boleh menyebabkan negara berdepan dengan kerugian sama ada ekonomi, sosial dan keselamatan.

Kesimpulan

Perkara paling penting yang perlu difahami oleh umat Islam adalah dari sudut keberkatan. Sekiranya kita mahu negara aman makmur, kita wajib percaya dan yakin bahawa ia tidak akan berlaku tanpa izin daripada Tuhan.

Untuk memperolehi keizinanNya, sudah tentulah kita perlu menjaga diri dan negara agar tidak melakukan perkara yang mengundang murkaNya. Jika murkaNya menimpa, apa jua yang kita rancang tidak akan menjadi atau tiada keberkatan.

Justeru kawalan arak secara telus perlu dilakukan agar kita tidak terjebak dengan kemurkaan Ilahi, hilang keberkatan dan seterusnya membawa kepada pelbagai implikasi, masalah politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

Antara tindakan awal yang boleh dipuji ialah langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membekukan semua permohonan baharu dan pembaharuan lesen penjualan minuman keras di pusat bandar yang berkuat kuasa beberapa hari yang lepas. Hal ini berdasarkan pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa

Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras tanpa lesen. Arahan ini akan menyaksikan pengurangan bilangan premis yang menjual minuman keras secara sah. Ia dibuat bagi mengekang kejadian kes kemalangan akibat pemandu mabuk.

Walau bagaimanapun, kita harus memahami bahawa kepercayaan agama Islam tidak wajib dipaksakan terhadap penganut agama lain. Justeru mekanisme terbaik dalam mengimbangi hak orang Islam dalam mempraktikkan cara hidup mereka yang tidak melanggar hak agama lain perlu diterapkan supaya solusi terbaik dapat dicapai dalam menangani gejala ketagihan dan kerosakan akibat arak yang semakin meruncing mutakhir ini.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 8/6/2020

- Advertisement -