K’jaan Perak jaga kebajikan mahasiswa di Timur Tengah

- Advertisement -

SAYA mengikuti rapat perkembangan penularan pandemik COVID-19 yang berlaku di Timur Tengah khususnya mahasiswa yang teramai berada di Mesir. Malahan ramai pihak yang bertanya khususnya ibu bapa yang nyata bimbang dengan situasi yang dihadapi.

- Advertisement -

Jumlah mahasiswa di bawah seliaan Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak seramai 848 orang, kini seramai 466 pelajar yang masih berada di Mesir sehingga 30 Mei 2020.

Saya juga telah meneliti perkembangan sebilangan mahasiswa, persatuan dan pelbagai pihak yang memohon sumbangan orang ramai bagi membantu pengurusan pulang disebabkan tidak mampu menyediakan kos tinggi dalam urusan penerbangan, kuarantin dan lain-lain.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya bertarikh 7 Jun 2020 juga turut mengalu-alukan penglibatan mana-mana individu, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu memudahcara kepulangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak COVID-19 oleh kerajaan-kerajaan di benua Afrika ini.

Pihak Kerajaan Negeri Perak merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia dan barisan hadapan daripada agensi kesihatan dan keselamatan di atas bantuan kepada mahasiswa perak yang pulang  pada masa ini.

Perkembangan terkini di Mesir

Kerajaan Negeri Perak sentiasa mengemaskini maklumat terkini yang disalurkan oleh Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak yang merupakan salah satu agensi kerajaan di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang menyelia hal ehwal akademik, pembangunan modal insan serta kebajikan mahasiswa Negeri Perak di Mesir, Jordan dan Maghribi.

Melalui Encik Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi selaku Atase Pendidikan Perak, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK)  telah mewujudkan Jawatankuasa Task Force COVID-19 yang dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar.

Menurutnya, pihak kedutaan sentiasa berusaha menyusun langkah yang terbaik dalam memastikan para pegawai dan seluruh mahasiswa terjamin dari sudut keselamatan, kebajikan dan pengurusan rawatan di hospital.

Jelasnya lagi, bukanlah sesuatu yang sangat teruk untuk standard rawatan di Mesir seperti mana ditularkan dalam pelbagai sumber. Jika wujud sedikit kecacatan sekalipun tidaklah sehingga memadamkan usaha keras Kerajaan Mesir bagi membendung penularan wabak ini.

Wakil kepimpinan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) yang merupakan persatuan rasmi pelajar Perak di Mesir juga menjelaskan melalui pertemuan bersama saya pada 19 Mei 2020 lalu untuk memastikan seluruh mahasiswa Perak memberikan perhatian dalam menuruti SOP dan mengambil kira perkembangan COVID-19 semasa di Mesir.

Bahkan perbincangan dua hala antara Keluarga Pelajar pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dan Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak yang terbaru diadakan pada Hari Khamis 4 Jun 2020 baru baru ini sebagai langkah kerjasama untuk menjaga kebajikan mahasiswa di sana.

Inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

1.    Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak telah menyalurkan bantuan kepada mahasiswa di Mesir dan Jordan melalui Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak bagi tujuan pengurusan wabak COVID-19. Sebanyak RM50,000 untuk mahasiswa Perak di Mesir dan RM30,000 untuk mahasiswa Perak di Jordan. Perbelanjaan peruntukan khas tersebut digunakan meliputi pengagihan bekalan makanan asas, pengurusan kesihatan pelajar dan pengagihan bantuan berbuka puasa.

2.    Memandangkan jumlah yang ramai akan tamat tempoh kuarantin di pusat-pusat kuarantin Negeri Melaka pada tarikh 13 dan 14 Jun 2020. Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas bagi membawa pulang seramai 114 orang mahasiswa Perak (pelbagai jurusan) bagi meringankan bebanan yang ditanggung mahasiswa dan ibu bapa.

Saranan Kerajaan Negeri Perak

1.    Pihak keluarga tidak perlu panik dengan keadaan terkini yang dilaporkan. Kementerian Luar Negeri menyifatkan situasi negara-negara di benua Afrika masih terkawal. Tambahan pula, usaha pihak kedutaan yang sentiasa bertungkus lumus memastikan semua pihak akan berada dalam keadaan yang baik.

2.    Sekiranya terdapat pelajar yang masih ingin pulang ke Malaysia, mereka harus memaklumkan kepada wakil kedutaan di negara pengajian mereka.

3.    Mematuhi saranan yang dikeluarkan secara rasmi oleh pihak kedutaan supaya semua mahasiswa sentiasa mematuhi perintah berkurung, menjaga kebersihan diri dan sentiasa peka terhadap penjagaan diri seperti penjarakan sosial dan memakai pelitup mulut dan hidung.

4.    Jika berlaku sebarang masalah terutama kesihatan, diminta untuk merujuk kepada Pegawai bagi tindakan selanjutnya.

Kerajaan Negeri Perak akan terus memantau perkembangan pandemik ini melalui Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia.

Para Pegawai dan Mahasiswa Negeri Perak yang berada di Timur Tengah adalah tonggak penting bagi kerajaan negeri yang dijamin kesihatan, keselamatan dan kebajikan mereka oleh Kerajaan Negeri Perak.

Semoga Allah sentiasa melindungi kita semua, mengangkat wabak ini dengan segera serta memudahkan urusan kita di dunia dan akhirat.

Sekian, Terima Kasih.

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 7/6/2020

- Advertisement -