Dibenar kuarantin di rumah mulai 10 Jun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan dibenarkan menjalani proses kuarantin selama 14 hari di kediaman masing-masing bermula 10 Jun ini.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Ismail Sabri Yaakob berkata sejurus tiba di lapangan terbang mereka akan menjalani ujian swab.

“Bagi mereka yang positif akan dihantar ke hospital untuk rawatan dan bagi yang negatif dibenarkan pulang untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing dan tidak lagi di pusat kuarantin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan memakai gelang tangan (wristband) bagi memudahkan proses pengenalan dan pemantauan.

“Walaupun mereka dibenarkan pulang ke rumah untuk buat kuarantin sendiri di rumah masing-masing tetapi mereka akan dipantau melalui apps MySejahtera dan tidak dibenarkan keluar kerana mereka akan dipantau melalui gelang tangan (wristband),” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan akan mewartakan dalam akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi mereka yang ingkar arahan kuarantin akan dikompaun RM1,000 atau dihadap ke mahkamah, di mana mereka boleh didenda atau dipenjara, atau kedua-dua sekali.- HARAKAHDAILY 7/6/2020

- Advertisement -