Rakyat Malaysia di Qatar dibantu kedutaan

- Advertisement -

KIRA-kira 5000 rakyat Malaysia yang tinggal di Qatar berada dalam keadaan selamat dan sentiasa mematuhi arahan pihak kedutaan dan juga pihak keselamatan negara ini bagi menghadapi ancaman Covid-19.

- Advertisement -

Charge de’ Affaires Kedutaan Malaysia, Mohamad Shahir Sabarudin ketika dihubungi, memuji rakyat Malaysia di Qatar kerana memberikan komitmen yang sangat baik bagi membantu kedutaan menguruskan krisis.

“Kita di sini sentiasa berhubung, kedutaan sudah memberi arahan supaya semua rakyat Malaysia yang merasa tidak sihat agar untuk segera ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan,” terang beliau.

Kata beliau lagi, pihak Kedutaan sejak dari awal berlakunya kes Covid-19 ini telah mengambil langkah segera yang serius seperti melantik seorang pegawai kedutaan khusus bagi memantau dan merekodkan keadaan sebilangan rakyat Malaysia yang didapati positif Covid-19.

Segala rekod ini kemudiannya dimaklumkan kepada Wisma Putra bagi tindakan dan arahan seterusnya.

Pihak Kedutaan pada masa yang sama telah mengambil inisiatif bagi menghubungi rakyat Malaysia yang dijangkiti positif covid-19 dan memaklumkan kepada ahli keluarga pesakit yang tinggal berjauhan termasuklah di Malaysia untuk memaklumkan perkembangan semasa pesakit.

Kesungguhan pihak Kedutaan termasuklah inisiatif yang telah di ambil oleh Mohamad Shahir bagi menghubungi rakyat Malaysia yang positif Covid-19, seharusnya dipuji memandangkan kedutaan Malaysia dikatakan satu-satunya yang sentiasa menghubungi rakyatnya sendiri yang positif Covid-19, serta ahli keluarga mereka terutamanya yang berada dalam keadaan kritikal.

“Pihak Kedutaan juga telah menghubungi syarikat-syarikat di Qatar yang mana rakyat Malaysia bekerja untuk memaklumkan pihak pengurusan mengenai keadaan rakyat Malaysia yang positif Covid-19 serta perkara-perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan pihak Syarikat mengambil serius kebajikan rakyat Malaysia di sini.

“Memandangkan Hari Raya Aidilfitri yang disambut baru-baru ini agak berbeza berbanding sambutan sebelum ini, pihak Kedutaan telah turut sama membekalkan kuih raya kepada rakyat Malaysia yang berada di kuarantin bagi sedikit sebanyak mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga yang berada jauh di tanahair,” tambah beliau lagi.

Mengulas kemudahan kesihatan di Qatar, Mohamad Shahir memaklumkan bahawa Qatar adalah antara negara yang terbaik di dunia dengan prasarana yang canggih dan doktor pakar professional dari luar negara yang berkhidmat di negara ini termasuklah beberapa Doktor pakar dari Malaysia.

Setakat ini, Qatar merupakan antara negara di dunia yang merekodkan kadar kematian akibat Covid-19 yang terendah.

Oleh itu nasihat beliau agar semua pihak tidak merasa bimbang dengan keadaan rakyat Malaysia di Qatar yang pada ketika ini boleh disifatkan amat baik, terkawal hasil dari sikap mereka sendiri yang mematuhi arahan dan berharap didoakan yang terbaik kepada semua.

Pihak Kedutaan juga berharap supaya seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa menyemak status terkini atau pengumuman penting Kedutaan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter.

Pada masa yang sama, Mohamad Shahir memaklumkan bahawa pihak Kedutaan Besar Malaysia di Qatar juga secara aktif membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara-negara lain yang menggunakan Doha sebagai transit.

Ini termasuklah berhubung dengan pihak berkuasa Qatar iaitu Kementerian Luar Negeri, Jabatan Penerbangan Awam, pihak Qatar Airways dan Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia yang terlibat dalam usaha membantu repatriasi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Ia adalah kerana Qatar Airways merupakan antara penerbangan yang masih aktif dan beroperasi bagi sektor Doha–Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Qatar adalah antara negara terkaya di dunia dengan pendapatan per kapita rakyatnya ialah kira-kira USD70,000.

Kerajaan Qatar mengenakan hukuman yang tegas bagi kesalahan melanggar perintah bagi membasmi Covid 19 ini.

Antaranya ialah mengenakan denda sehingga QR200,000 (RM240,000) atau tiga tahun penjara jika gagal memakai topeng muka yang diwajibkan sekarang, berkumpul dalam jumlah yang ramai di tempat-tempat awam termasuk solat berjemaah.

Qatar juga mewajibkan semua penduduk memuat turun aplikasi yang dinamakan ‘Ehteraz’ yang mana aplikasi ini akan menunjukkan rekod status kesihatan diri, bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan sesiapa yang positif tetapi berada di tempat awam.

Semua pasaraya diarahkan mengambil suhu badan pelanggan, menyediakan sarung tangan pakai buang, mengarahkan kedudukan dalam bas berselang, maksima tiga orang sahaja dalam kereta termasuk pemandu.

Sehingga kini seramai lebih 250,000 telah disaring, 61,000 telah didapati positif, dengan 51 kematian. – HARAKAHDAILY 7/6/2020

- Advertisement -