Pemuda PAS kunjung hormat MB Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Pemuda PAS telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdi Wan Ismail, di Pejabat Menteri Besar Pahang, Wima Sri Pahang, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Kunjungan ini dipimpin sendiri Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin bersama Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin serta pimpinan Pemuda yang lain.

Rombongan disambut sendiri Dato’ Sri Wan Rosdi yang sangat mengalu-alukan kerjasama dan perbincangan dua hala sebagai proses semak dan imbang positif buat kebaikan rakyat di negeri ini.

Dalam pertemuan ini pelbagai perkara dibincangkan khususnya berkaitan pendemik COVID-19 yang memberi impak besar terutamanya kepada sektor pendidikan, sosial dan politik rakyat di negeri ini.

Menurut Ir Khairil, lawatan seperti ini sebagai usaha semak dan imbang serta pertukaran maklumat dan idea antara pihak eksekutif pentadbiran dan Pemuda PAS yang mewakili suara generasi muda.

Selain itu katanya, ia menjadi usaha memperkukuhkan hubungan Muafakat Nasional dan juga Kerajaan Perikatan Nasional yang didukung kedua pihak bersama dengan lainnya.

“Pihak Pemuda PAS akan terus optimis bagi membina jambatan generasi muda untuk berhubung dengan pihak eksekutif pentadbiran dalam menyuarakan isi hati dan idea mereka.

“Kami juga positif bagi menjadi tali penguat kepada semua pihak dan parti yang bersama dalam Muafakat Nasional dan Kerajaan Perikatan Nasional,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 6/6/2020

- Advertisement -