Ops Air Raya: 200 tindakan diambil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan sebanyak 200 tindakan penguatkuasaan telah diambil sepanjang Operasi Air Raya 2020 yang dilaksanakan dari 14 Mei hingga 29 Mei 2020.

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Antara tindakan yang dikenakan ialah kompaun sebanyak 71 kes, notis arahan 113 kes, penahanan operasi kelengkapan 8 kes, premis yang digantung lesen 1 kes dan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah 7 kes.

“Operasi ini bertujuan untuk mencegah kejadian pencemaran air sungai sehingga boleh mengakibatkan gangguan kepada loji rawatan air.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan bekalan air terawat kepada pengguna tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut Tuan Ibrahim, penguatkuasaan telah dijalankan ke atas 576 kilang atau punca pencemaran di seluruh negara termasuk 39 kilang yang dilesenkan oleh JAS iaitu kilang kelapa sawit, kilang getah asli mentah dan kemudahan pengolahan atau pelupusan buangan terjadual.

“Operasi ini melibatkan 478 anggota daripada pelbagai agensi seperti JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Badan Kawal Selia Air Negeri, Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, kata beliau, susulan keberkesanan Ops Air Raya ini, Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) mengambil keputusan melanjutkan operasi untuk tempoh 2 minggu lagi sehingga 13 Jun 2020.

Mengulas lanjut katanya, pelanjutan ini dilaksanakan setelah mengambil kira potensi pencemaran terhadap sumber air dan saluran pembetungan yang akan berlaku apabila industri kecil dan perniagaan kembali beroperasi selepas cuti perayaan.

Dalam pada itu, pihak kementerian mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi peringkat persekutuan dan negeri yang telah memberikan kerjasama padu dalam menjayakan operasi ini.

Seterusnya, beliau menasihatkan untuk semua pihak termasuk pihak industri dan masyarakat awam perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kualiti alam sekitar sentiasa dilestarikan. – HARAKAHDAILY 6/6/2020

- Advertisement -