Mengasaskan WAMY

- Advertisement -

PADA 7 Mei 2001, satu persidangan pemuda-pemuda Islam seluruh Asia Tenggara telah diadakan di Shah Alam. 18 buah gerakan belia Islam telah hadir dalam perjumpaan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu. Antara yang hadir adalah mewakili Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand dan Kemboja. Dalam perjumpaan inilah, Sekretariat Pemuda Islam ASEAN (AMSEC) telah berjaya ditubuhkan, hasil inisiatif Dewan Pemuda PAS Pusat. Selepas itu, AMSEC berjaya meluaskan rangkaiannya apabila menyertai Persekutuan Belia Islam Asia (AFMY). Antara pemimpin AFMY ialah Ustaz Abu Bakar Chik, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS.

Penubuhan AMSEC berjaya direalisasikan setelah beberapa siri lawatan ke negara terbabit dibuat sejak akhir 1999. Indonesia yang mempunyai banyak parti Islam merupakan delegasi terbesar dalam AMSEC. Pemuda Bulan Bintang dan Pemuda Kaabah adalah antara yang aktif ketika itu. Dari Singapura, Fateha, sebuah gerakan sivil yang dipimpin oleh Zulfikar M Sharif, yang di’ban’ oleh rejim PAP turut menyertai. Angkatan Belia Islam Thailand (YMAT) dan Angkatan Belia Islam Kemboja (CMYA) adalah wakil minoriti Muslim dari Utara. Sedangkan Moro Islamic Liberation Front (MILF) hadir mewakili Filipina. Brunei tidak menghantar wakil.

Ketika asyik bersembang mengenai kejayaan penubuhan AMSEC yang dipengerusikan oleh (Dato’) Haji Mahfuz Omar itu, tiba-tiba Ustaz Hassan membuka cerita.

- Advertisement -

“Dulu kami berjaya mengatur pergerakan belia Islam yang lebih besar, bertaraf dunia,” Ustaz membuka cerita.

“Pergerakan yang mana, Ustaz?” saya bertanya.

“WAMY (World Assembly Muslim Youth),” ringkas sahaja jawapan Ustaz.

“Ustaz terlibat ke dengan WAMY?” saya cepat bertanya, sebab dalam pengetahuan kami, yang aktif dalam WAMY ialah Ustaz Yahya Othman, Anwar Ibrahim dan Kamaruddin Mohd Noor.

“Sebelum Ustaz Yahya (Othman) masuk dalam WAMY, ana yang pertama. WAMY itu ana yang mengasaskannya,” jelas Ustaz lagi.

“Wah! Hebat ini,” saya mula teruja. “Cuba Ustaz cerita sikit macam mana Ustaz boleh terlibat,” saya terus mengorek cerita. Saya tidak terfikir Ustaz telah berada di satu barisan yang sangat terkehadapan dalam pergerakan belia Islam Antarabangsa.

“Panjang kisah ini,” jawab Ustaz sambil merenung panjang untuk ‘memanggil semula’ ingatannya terhadap penglibatan dalam WAMY.

“Takpe lah Ustaz. Ustaz cerita je. Kalau panjang sangat, pendekkan,” saya cuba berseloroh dengan Ustaz.

“Masa kami di Baghdad dulu…” Ustaz membawa kami ke era 1960-an. “Di Iraq, pergerakan Ikhwanul Muslimin sebenarnya disertai juga oleh beberapa pemuda yang sebaya dengan ana. Tetapi kami bukan selalu berjumpa kerana faktor keselamatan. Tapi ana tahu penglibatan mereka. Sebelum ana balik, mereka berhijrah ke Amerika (Syarikat),” Ustaz membuka cerita.

“Siapa mereka itu, Ustaz?” saya terus bertanya.

“Tiga orang yang paling terkenal dari Iraq pada zaman kami itu (Dr Ahmad) Totonji, (Jamal) Barzinji dan Hisham (al-Talib). Mereka ini orang Kurdis. Dah lah Kurdis, lepas itu Ikhwan pula. Memang puak Ba’ath cari lah. Jadi mereka berhijrah ke Amerika pada tahun ’60-an itu.

“Di Mesir, lain pulak ceritanya. Akhir ’60-an (1970) itu Presiden Gamal (Abdul) Naseer kena tembak. Jadi orang Ikhwan kena kejar lagi. Masa Hassan al-Banna dulu, dia berusaha bawa rangkaian Ikhwan ini negara-negara Arab dan Afrika. Bukan di Iraq saja, sampai ke Nigeria. Yang kuat Islam di Nigeria ini di negeri Sakoto. Masa kami duk di Baghdad di tengah tahun ’60-an itu, anak-anak Ikhwan di Nigeria tubuh IIFSO (International Islamic Federation of Student Organisations), tapi masa akhir ’60-an itu baru lancar secara rasmi di Jerman. Kira IIFSO di persatuan pelajar Islam Antarabangsa, lepas itu depa buat pejabat di Kuwait.

“Bila Gamal Naseer kena bunuh, orang Ikhwan jadi sasaran. Depa terpaksa lari. Antaranya, (Dr) Kamal Helbawy. Dia lari ke Nigeria dan bergabung dengan Ikhwan di Sakoto. Di Amerika, geng Kurdis (Totonji, Barzinji dan Hisham) tubuh rangkaian Ikhwan di sana. Yang awal itu MSA (Muslim Student Association), lepas itu muncul pula NAIT (North American Islamic Trust) pada awal ’70-an. Lepas itu ISNA (Islamic Society of North America),” Ustaz mula membuka asal-usul pergerakan mereka.

“Macam mana WAMY boleh terbentuk?” saya muka panasaran.

“Ana rasa ini idea Kamal Helbawy. Dia yang ikut Ikhwan secara langsung di Mesir, sebelum pergi ke Nigeria. Dia berhubung dengan rangkaian Ikhwan seluruh dunia, termasuk IIFSO. Kira-kira, masa tengah ’60-an itu, kami semua pelajar, bergerak dalam IIFSO lah. Bila dah habis belajar, nak pergi mana. Itulah puncanya.

“Di Malaysia pun sama. Dulu itu, PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) itu bawah (Dewan) Pemuda (PAS), lanjutan KPAS. Bila habis belajar, terus aktif dalam PAS. Bila PAS berunding nak buat (Kerajaan) Campuran, mereka tak setuju. Sebab itu timbul idea buat ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) zaman (Prof Dr) Razali Nawawi dan (Tan Sri) Sanusi Junid dulu.

“Sebab itu lah, Kamal Helbawy dan kawan-kawan dari negeri Arab rancang nak buat badan belia Islam dunia. Dia guna nama IIFSO. Dia aturkan satu Forum Belia Islam Dunia di Jeddah. Dia panggil semua badan pelajar yang berkait dengan Ikhwan untuk join forum ini. Jadi, ana pun terlibat sama,” terang Ustaz mengenai strategi Dr Kamal Halbawy itu.

“Macam mana Ustaz boleh dilibatkan sama?” saya menggali lagi.

“Kami yang belajar di Iraq ini semuanya Ikhwan, sama macam Totonji, Barzinji dan Hisham. Tapi yang paling aktif dalam pergerakan Islam, ana. Ustaz Hashim (Jasin) dan Ustaz Halim (Yahya) masuk Felda, jadi pegawai kerajaan. Sheikh Azmi (Ahmad) jadi qadhi di Kedah. Ustaz Ghani (Kasa) jadi ustaz sekolah di Kedah. Ustaz Ishomuddin Tok Guru Mat Keplu jadi wakil rakyat tahun ’69 itu. Ustaz Hasbullah (Kasban), Ustaz Rahim (Mohd Zain), Ustaz Mat Iraq (Mohamad Daud) masuk universiti jadi pensyarah. Ustaz Dahlan (Mohd Zain) terlibat dengan ABIM bersama Mat Iraq dan Sheikh Azmi. Ustaz Hashim ini Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) lantik jadi Pesuruhjaya PAS Perlis, tapi bila masuk Felda, kena berenti. Ustaz Isomuddin pula jadi YB. Dua-dua ini ana lantik jadi AJK (Dewan) Pemuda (PAS Pusat).

“Ana sendiri dari awal kerja dengan PAS Perak, lepas itu jadi calon. Pindah ke KL jadi Setiausaha Kerja PAS, lepas itu jadi Ketua Pemuda (PAS Pusat). Jadi, ana yang paling menonjol. Tapi, wakil Malaysia, bukan ana seorang,” bukan terus bercerita panjang.

“Sape lagi wakil Malaysia, Ustaz. Berapa orang?” saya tidak berpuas hati.

“Dia minta wakil belia dan pelajar Islam. Jadi, ana tunjuk (Ustaz) Ramli Ibrahim. Wakil rakyat Kota Bharu itu (wakil PKN – Parti Keadilan Nasional),” Ustaz cuba memuaskan hati saya. Ketika itu (2001), Ustaz Ramli Ibrahim adalah Ahli Parlimen Kota Bharu mewakili PKN. Beliau adalah Bendahari PKN ketika ini dan pernah menjadi pensyarah UiTM.

“Kenapa dia?” saya semakin tidak berpuas hati.

“Ustaz Ramli ini Presiden PKPIM masa ini. Dia ganti Kamarudin Mat Nor. Sebelum Kamaruddin, Anwar (Ibrahim). Jadi, Ustaz Ramli kira pemimpin tertinggi lah untuk pelajar Islam di Malaysia masa ini. Dia ini dulu ngaji di UKM PJ (Petaling Jaya). Atas sikit daripada Ustaz Halim (Arshat, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat).

“Masa ini, kami nasihat (Ustaz) Ramli supaya buat badan pelajar Islam serantau, macam yang ada di sebelah Arab, macam IIFSO itu. Jadi, melalui PKPIM, dia buat perjumpaan pemimpin pelajar Islam serantau. Dia orang tubuh PEMIAT (Persatuan Mahasiswa Islam Asia Tenggara). Ramli jadi Setiausaha Agung. Jadi, Ramli ini bawa dua jawatan, Presiden PKPIM dan Setiausaha Agung PEMIAT,” terang Ustaz lagi, membuatkan saya mula berpuas hati.

“Jadi, Ustaz dengan Ustaz Ramli ini kira pengasas WAMY lah?” saya mula membuat kesimpulan.

“Ana bukan pengasas je, ana dilantik sebagai AJK Penaja WAMY. Kira ini… pimpinan WAMY generasi pertama. Ana AJK mewakili kawasan Asia Pasifik,” terang Ustaz lagi.

“Macam mana proses penubuhan WAMY itu, Ustaz?” semakin banyak soalan yang bersarang dalam fikiran saya.

“Asalnya, dia orang buat forum belia atas isu pendidikan. Bila boleh kumpul pimpinan belia Islam seluruh dunia, dibuat usul supaya ada badan belia dunia. Masa ini dah ada Liga Islam Dunia (WML). Persatuan belia Islam belum ada. Jadi, semua setuju kita buat Persatuan Belia Islam ini. Kita panggil ‘an-Nadwah al-Alamiyah as-Syabab al-Islamiyah’ atau dalam bahasa Inggeris kita sebut WAMY.

“Bila forum ini dibuat, Ustaz?” saya terus bertanya.

“Hujung tahun 1972. Masa itu ana Ketua Pemuda. Dah terima jemputan dari Kamal Helbawy. Siap beli tiket. Dalam PAS pula, pimpinan tengah sibuk duk bincang dan runding untuk buat Kerajaan Campuran. Tiba-tiba pimpinan buat keputusan kita kena buat Mesyuarat Agung Khas, sebelum tahun baru. Sebab Tun (Abdul) Razak (Hussein) nak mula Campuran ini 1 Januari ’73, kalau PAS dah setuju. Mesyuarat Agung Khas itu buat dalam bulan Disember ’72 (21 Disember 1972).

“Ana tak hadir Mesyuarat Agung Khas ini, sebab ana ada di Jeddah kerana hadir penubuhan WAMY ini. Kira-kira serentaklah, lebih kurang gitu,” terang Ustaz lagi. Setelah saya meneliti sumber-sumber WAMY, tiada catatan mengenai tarikh tepat penubuhannya, cuma dicatatkan sebagai ‘was founded in 1972.’

“Sape pemimpin utama WAMY masa ini, Ustaz?” saya terus bertanya.

“Yang jadi kepala ini Helbawy sendiri. Yang lain itu termasuk lah Totonji, Hamid Abu Sulaiman Rekor UIA, (Taha Jabir) Alwani. Kebanyakan yang mengasas WAMY yang duk di Amerika ini terlibat dalam IIIT (International Institute of Islamic Thought). Salah seorang tokoh penting ialah Abdullah Laden, sepupu Osama Laden, dia orang kaya. Ana ini kira wakil untuk Asia Pasifik,” cerita Ustaz lagi.

“Kenapa dia orang pilih Ustaz, bukan wakil Indonesia?” semakin jauh saya bertanya.

“Boleh jadi sebab Helbawy dan Totonji tahu ana ini keluaran tarbiyah Ikhwan Iraq. Ketua Pemuda PAS. Malaysia pun ada nama dalam dunia Islam masa ini. Lagi pula Indonesia agak perlahan selepas Suharto ambil alih kerajaan dari Orde Lama. Banyak gerakan Islam disekat, yang politik semua kena masuk P3 (Partai Persatuan Pembangunan – PPP).

“Tapi ana tak lama dalam WAMY ini. Sebab tengah tahun ’73 ana pun dah tak jadi Ketua Pemuda (PAS). Sibuk dengan urusan Pejabat Agung. Kelam-kabut dengan Kerajaan Campuran lagi. Lepas itu, Datuk Asri suruh ana jadi Setiausaha Agung (PAS) pula,” Ustaz mula menyebut mengenai pengundurannya dari WAMY.

“Sape yang ganti Ustaz?” saya bertanya lagi.

“Bila kita buat Mesyuarat Agung WAMY yang pertama, kita cadangkan Ustaz Yahya Othman jadi wakil Asia Pasifik. Ustaz Yahya ini terkenal, bahasa Arab bagus. Dia dulu lama mengaji di Makkah, pernah belajar di Iraq sekejap. Lepas itu dia pergi ke Mesir. Di Mesir dia jadi pemimpin talabah wafidin (pelajar asing). Balik Malaysia jadi pensyarah di Nilam Puri. Ramai pemimpin pelajar Islam kenal dia. Jadi, pada hari itu, kita buat forum, suruh dia jadi ahli panel. Jadi, perwakilan dah kenal dia, bila kita calon, terus menang. Lepas Ustaz Yahya, baru Anwar (Ibrahim) masuk, lepas itu Kamaruddin (Mohd Noor),” Ustaz terus bercerita mengenai pemimpin WAMY dari Malaysia.

“WAMY sekarang ini macam mana hala tuju dia, Ustaz. Masih bawa fikrah Ikhwan?” saya mula beralih arah.

“Ana nampak, WAMY pecah tiga kumpulan besar. Pertama, yang kekal dengan fikrah asal Ikhwan macam Ustaz Yahya, ana, Prof Najmuddin Erbakan. Yang kedua, yang jadi Liberal, kebanyakannya yang duduk di Amerika dan terlibat dengan IIIT termasuk Anwar, Taha Jabir, Totonji. Yang ketiga, group yang agak keras sebab tekanan kerajaan, mereka bergerak dengan bersenjata, termasuk Osama Laden, Abdullah Azzam. Ana tak kata mereka salah, masing-masing bergerak ikut waqi’ masing-masing. Tapi, bila orang kaitan WAMY dengan keganasan, orang sebut nama orang yang berjuang di Afghanistan. Bila orang kata WAMY ini Liberal, orang sebut IIIT,” tajam ulasan Ustaz terhadap alumni WAMY yang bergerak dalam dakwah di seluruh dunia selepas era beliau.

Baru saya tahu, bahawa Ustaz sebenarnya bukan orang Sabak Bernam, tetapi dia adalah tokoh gerakan Islam Antarabangsa. Patutlah kumpulan yang mengakui mereka wakil Ikhwan di Malaysia tak suka Ustaz. Seluruh kisah pergerakan Ikhwan ini, di dalam poket Ustaz. Semoga Allah menerima amal Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 6/6/2020

WAMY adalah sebuah pertubuhan belia Islam sedunia yang mengumpulkan anak-anak harakah dari seluruh dunia.
Dr Kamal Helbawy, tokoh Ikhwanul Muslimin Mesir yang menjadi penggerak utama rangkaian belia Islam antarabangsa. Beliau memimpin WAMY sehingga 1982.
Dr Ahmad Totonji, menerima tarbiyah Ikhwanul Muslimin di Iraq bersama Ustaz Hassan. Beliau berhijrah ke Amerika Syarikat kerana tekanan politik Parti Ba’ath. Beliau membentuk rangkaian Ikhwanul Muslimin di Amerika Syarikat dan menjadi tokoh penting WAMY. Beliau juga adalah pengasas IIIT.
- Advertisement -