Terengganu benarkan 231 Taska beroperasi

Exco Kerajaan Terengganu, Hanafiah Mat, 231 Taska akan dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ketat.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memulakan langkah membenarkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta yang berdaftar beroperasi semula.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sejumlah 231 buat Taska seluruh negeri ini dibenarkan beroperasi bermula Selasa ini.

Namun, katanya pengusaha Taska terbabit mesti mengikut peraturan yang ketat dan prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

- Advertisement -

“Hari Sabtu (6 Jun) kita akan buat ‘nyah’ kuman dan hari Selasa (9 Jun) kita akan buka Taska di Terengganu.

“Taska Permata Keluarga (TPK) ada 67 buah, Taska Kemas (27) buah, Taska Perpaduan (2) buah dan Taska Swasta ada 135 buah di seluruh negeri Terengganu.

“Pemantauan SOP Taska akan dilakukan oleh JKM disemua tempat supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh JKM sendiri,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Kata Hanafiah, keputusan itu dipersetujui Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri dengan mendapat rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, kebanyakan SOP yang ditetapkan sudah diguna pakai walau bagaimanapun ada beberapa penambahbaikan yang ditetapkan selaras dengan SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Memanglah amat sukar (SOP) untuk kawal kanak-kanak tetapi kita cuba mematuhinya. Mereka akan diambil suhu badan ketika dihantar dan bila masuk (Taska) kena tukar pakaian khas dan ketika hendak pulang pun begitu juga peraturannya.

“Kebanyakkan ibu bapa masih kurang menghantar anak-anak mereka ke Taska. Contohnya, Taska Permata Keluarga daripada lebih 4,000 kanak-kanak hanya 500 kanak-kanak yang didaftarkan oleh ibu bapa. Ibu bapa masih berwaspada,” jelasnya.

Ketika ditanya, jika ada pengusaha Taska yang tidak mematuhi SOP itu, tegas Hanafiah, Taska berkenaan akan ditutup serta merta.

“Jika ada (Taska) yang tidak dapat ikut SOP, kita minta dia (pengusaha) tutup. Tiada ‘amaran’ dan kita minta dia tutup serta merta.

“Sebab itu kita buat taklimat kepada semua pengusaha-pengusaha swasta. Jadi dia (pengusaha) tidak boleh kata (alasan) dia tidak tahu (maklumat). Taklimat dibuat disemua daerah seluruh negeri Terengganu,” tegasnya.

Menurutnya, seorang penjaga dibenarkan mengawal tiga orang budak tetapi mestilah ada penjarakan sosial antara satu sama lain mengikut SOP.- HARAKAHDAILY 5/5/2020

- Advertisement -