Pemandu mabuk: Pemuda kemuka penyelesaian holistik

Serah kertas cadangan kepada Menteri Pengangkutan

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Hari ini Dewan Pemuda PAS Malaysia – DPPM telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong di pejabat beliau di Putrajaya. Pertemuan ini merupakan kunjungan hormat Pemuda PAS sekali gus menyerahkan Kertas Cadangan Penyelesaian Holistik isu Pemandu Mabuk dan telah disambut baik oleh YB Menteri.

Pemuda PAS juga telah menyerahkan Kertas Cadangan Pembangunan Polisi Penyalahgunaan Alkohol Kebangsaan. Selain itu, Kertas Cadangan Pelan Tindakan Holistik Kementerian Pengangkutan dalam Membanteras Kesan Penyalahgunaan Alkohol di Jalan Raya juga telah diserah untuk pertimbangan kementerian.

Rombongan Pemuda PAS diketuai oleh Ketua Pemuda Ir. Khairil Nizam Khirudin, Timbalan YB Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari, Naib Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, Bendahari Ustaz Roslan Md Esa, Ketua Sektor Pendidikan Muhtar Suhaili As-Sarawaki, Ketua Pengarah Institut Polisi Studi (IPS) Prof. Dr. Ir. Hairul Azhar Abdul-Rashid dan Ketua Pengarah Perbendaharaan Ustaz Kamal Ashaari Al-Kerdawi. Ketua Pemuda MCA Nicole Wong turut hadir bersama.

- Advertisement -

Penggunaan alkohol, walaupun sejak sekian lama telah menjadi sebahagian kecil daripada struktur sosial dan budaya masyarakat kita, telah membebankan sistem kesihatan, sosial dan ekonomi negara. Kecederaan dan kematian yang disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol berkait dengan kemalangan jalan raya tidak dapat dinafikan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mencadangkan beberapa pelan tindakan yang sejajar dengan Polisi Penyalahgunaan Alkohol Kebangsaan (PPAK) yang juga kami cadangkan. Cadangan pelan tindakan ini berkait dengan program kesedaran, pemindaan peruntukan undang-undang, cukai jalan, insurans kenderaan, kesediaan pengangkutan awam, penggunaan teknologi dan data raya. Pelaksanaan baik pelan tindakan ini memberi kita peluang untuk membendung bahaya penyalahgunaan alkohol khususnya di jalan raya.

Berkaitan dengan isu “Pemandu Mabuk” ini, YB Menteri Pengangkutan turut memaklumkan beliau sebagaimana kita, kita setuju agar peraturan sedia ada perlu segera dipinda untuk hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk. Ini sangat penting demi keadilan kepada mangsa dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya.

Sebagai Menteri yang mempunyai locus standi berkenaan isu ini, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee memaklumkan beliau juga telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) YB Dato’ Takiyuddin Haji Hassan berkenaan perkara ini.

Pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya Seksyen 41-45 berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah atau memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain akan dimuktamadkan sebelum pertengahan Jun ini.

Selepas itu, ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat. Kerajaan komited untuk membawa ke Parlimen dalam Persidangan Dewan Rakyat Julai ini untuk pindaan Akta.

Selain itu, Menteri turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan turut diberi kuasa selain Polis dalam usaha pembanterasan isu ini. Pendidikan berkaitan perkara ini juga akan diteruskan dan ditambahbaik kerana ini merupakan penyelesaian jangka panjang yang berkesan.

Doakan semoga dipermudahkan segala usaha kerajaan dalam menangani isu ini!

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI – HARAKAHDAILY 5/6/2020

- Advertisement -