Jangan salahkan perkataan ‘ijtihad’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

RAMAI kawan-kawan dalam Pakatan Harapan (PH) menaikkan semula status Facebook saya pada tahun 2012 ketika saya menghasilkan buku ‘100 sebab kenapa UMNO wajib ditolak’ khususnya selepas saya menulis berhubung bekas Timbalan Menteri yang meletakkan jawatan semalam dengan alasan telah melakukan ‘ijtihad yang salah’.

Saya persoalkan dulu ketika menyertai kerajaan Tan Sri Muhyiddin apa kitab yang diguna dan sekarang kitab apa pula yang diguna?

Lalu, ditimbulkan persoalan, dulu ketika saya menulis buku ini, ijtihad apa yang diguna dan sekarang ijtihad apa pula yang diguna?

Sepatutnya saya merasakan persoalan ini tidak perlu dijawab tetapi memandangkan ia diulang tanya bahkan yang bertanya pula kelihatan belajar agama, datang juga simpati untuk saya ‘melayan’ sedikit sebanyak.

- Advertisement -

Saya tidak menggunakan perkataan ijtihad, dari dulu sehingga sekarang. Yang menggunakan perkataan ijtihad itu ialah yang meletakkan jawatan semalam. Jadi, tidak betul jika mengatakan saya berijtihad, apatah lagi saya merasakan saya tidak sampai ke peringkat layak untuk berijtihad.

Namun, banyak beza antara pendirian PAS yang dulu menentang UMNO dengan situasi individu yang semalam meletakkan jawatan di dalam kabinet. PAS menentang UMNO sebelum berlakunya PRU14. Buku yang saya tulis bahkan sebelum PRU13 lagi. Pelbagai perkembangan berlaku melalui kedua-dua pilihanraya ini. Yang jelasnya, UMNO telah tumbang dan PH mentadbir negara dengan kerosakan yang lebih banyak.

Adapun individu semalam hanya beberapa bulan lepas membuat keputusan berada di sebelah Tan Sri Muhyidin, kemudian menyatakan ijtihadnya salah. Silalah huraikan, apakah perkembangan yang berlaku antara kedua-dua ‘ijtihad’ ini yang menyebabkan beliau merubah ijtihad?

PAS berkali-kali menafikan bahawa akan bekerjasama dengan UMNO sebelum PRU14. Penafian itu benar-benar dibuat dan dilaksanakan di dalam PRU14 sehingga membolehkan PH berkuasa. Tetapi adakah ada di mana-mana penegasan bahawa PAS akan terus tidak bekerjasama dengan UMNO untuk selama-lamanya.

Yang membezakan antara kedua-dua situasi itu ialah kedudukan UMNO yang berubah daripada kerajaan sebagai pembangkang. PH muncul sebagai kerajaan yang telah melaksanakan dasar yang lebih teruk dan pendekatan yang jelas meresahkan rakyat khususnya berkait dengan kedudukan Islam itu sendiri.

Mereka yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan UMNO pada hari ini, jawab satu sahaja soalan, adakah DAP pada mereka lebih baik berbanding UMNO sebagai kerajaan? Jika ya, saya kira perbincangan ini perlu dibuka kepada dimensi baru. Jika jawapannya tidak, jadi apa masalahnya PAS bekerjasama dengan UMNO yang terbukti lebih dekat dengan Islam berbanding DAP?

Jika pendirian pada tahun 2012 diambil kira, saya kira pemimpin-pimpinan PH sendiri pada masa itu sedang meratib betapa Tun M kepala perompak dan lain-lain. Adakah itu ijtihad yang salah juga? Sudah tentu anda akan beralasan, Tun M sudah berubah, kan? Lantas, tidakkah perubahan situasi membawa kepada perubahan pendirian?

Soalan saya, apa yang berubahnya situasi dua bulan lepas dengan situasi hari ini yang membawa individu semalam meletakkan jawatan, itu sahaja. Jika dapat jawab, jawablah. Jika tidak, jangan letakkan kesalahan itu kepada ijtihad. Jangan cemarkan perkataan itu.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas- HARAKAHDAILY 5/6/2020

- Advertisement -