PDRM buka 572 kertas siasatan kes ‘facemask’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 572 kertas siasatan berkenaan kes penipuan penjualan topeng muka (facemask) yang melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM5.5 juta, dari 18 Mac sehingga 3 Jun 2020.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebanyakan kes penipuan ini melibatkan urusan jual beli (atas talian) melalui platform Facebook dan WhatsApp.

- Advertisement -

Katanya, negeri-negeri yang mencatatkan kertas siasatan yang paling tinggi adalah di Selangor sebanyak 122, manakala Johor dan Pulau Pinang masing-masing adalah 68 kes.

“Daripada jumlah tersebut, PDRM telah menangkap seramai 181 individu, sementara 53 individu lagi telah dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila membuat pembelian melalui platform atas talian.

“Elakkanlah berurusan di laman web yang mencurigakan dan semak ulasan serta komen daripada pembeli lain. Jangan sesekali terpedaya dengan tawaran murah.

“Kalau diikutkan topeng muka sudah boleh didapati dengan mudah di merata-rata termasuk kedai farmasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2020

- Advertisement -