PAS sokong titah Sultan Johor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Johor memandang serius terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang memberi amaran bahawa akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika perebutan kuasa masih berlaku di negeri itu.

Dalam satu kenyataan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata pihaknya yakin titah Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar itu telah mengambil kira kepentingan rakyat.

- Advertisement -

“PAS Johor yakin bahawa titah DYMM Sultan Johor telah mengambil kira kepentingan rakyat yang perlu diberikan keutamaan berbanding kepentingan politik yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak.

“PAS Johor menzahirkan sokongan agar pentadbiran kerajaan Johor yang sedia ada berjalan dengan baik dan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat diteruskan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Semalam, Sultan Johor memberi amaran kepada wakil rakyat Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor jika masih berlaku perebutan kuasa.

Baginda menzahirkan kekecewa dengan kemelut politk yang berlaku di negerinya ekoran ada pemimpin masih berebut kuasa dan jawatan demi kepentingan masing-masing.

Menurut kenyataan itu juga, PAS Johor turut menyelar kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Pakatan Harapan (PH) Johor lewat petang semalam yang dilihat cuba mencabar titah Sultan Johor dan idak akur dengan amaran tersebut.

Dalam masa yang sama, Abdullah berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku pembubaran DUN dan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya pembubaran berlaku.- HARAKAHDAILY 4/6/2020

- Advertisement -