Membenih generasi baru Islam

Islam
- Advertisement -

SAYA sebenarnya sangat tertarik dengan ‘revolusi tarbiyah’ yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS sejak akhir 1968. Ia adalah satu tindakan radikal yang memberi kesan kepada perubahan struktural Dewan Pemuda PAS. Pada tahun 2002, dalam perbualan saya dengan Ustaz Hassan, bermacam-macam isu telah saya bangkitkan untuk mengkaji, memahami dan mengetahui peranan Pemuda PAS terhadap kebangkitan kesedaran Islam di Malaysia pada pertengahan dekad 1970-an itu.

Dalam satu perbualan kami, saya bertanya Ustaz, “Berapa lama Ustaz memangku kerja-kerja Ketua Dewan Pemuda PAS itu?”

“Dalam lapan bulan,” ringkas sahaja jawab Ustaz. Menurut Ustaz, Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat diadakan pada pertengahan tahun 1971, iaitu pada 18 Jun 1971. Ia adalah mesyuarat agung pertama sejak 1968. Pada 1969 tidak ada mesyuarat agung kerana sibuk dengan pilihan raya, kemudian sebaik sahaja pilihan raya selesai, politik telah digantung akibat rusuhan kaum sehingga 31 Ogos 1970. Jadi, pada 18 Jun 1971 baru diadakan semula Mesyuarat Agung Tahunan tersebut.

“Macam mana Ustaz boleh terpilih sebagai Ketua Pemuda (PAS)?” saya cuba mencari sebab mengenai kedudukan Ustaz yang cepat melonjak naik dalam kepemimpinan PAS.

- Advertisement -

“Ini semua sebab Ustaz Jaiz (Anwar) tiba-tiba letak jawatan. (Datuk) Tengku Zaid (Tengku Ahmad) pula sibuk di Kelantan. Dah ana sebelum ini Pemangku Wakil Ketua,” jelas Ustaz dengan merendah diri.

“Adakah sebab kejayaan Gerakan Insaf dan Gerakan Syuhada? Atau Ustaz dah terkenal sebab selalu menulis dalam Bulan Bintang? Lagi pun Ustaz lulusan dari Iraq,” saya cuba memberi usulan kepada Ustaz.

“Boleh jadi je semua itu. Tapi ana rasa masa ini, banyak Cawangan PAS yang kenal ana. Sebab ana ganti Ustaz Jaiz sebagai Setiausaha Kerja PAS Pusat. Ana yang setiap hari duk berurusan dengan mereka. Sebab nama ana mereka mudah terima. Kadang-kadang dia orang yang datang jauh, tidur kat rumah ana di Datuk Keramat itu.

“Tapi yang membuatkan mereka puas hati, bila ana berucap masa mesyuarat agung itu, ana sebut slogan ‘Allahu ghayatuna,’ (Allah matlamat kami) style Ikhwanul Muslimin, berapi-api. Orang muda kan darah panas, mudah terbakar. Bila kita kata ‘al-mautu fi sabilillah asma amanina,’ (mati di jalan Allah cita-cita kami) mereka tertarik betul,” terang Ustaz mengenai pemilihan beliau sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS. Dato’ Mohamad Daud al-Iraqi (Ustaz Mat Iraq) pernah menyebutkan, bahawa ucapan berapi-api Ustaz itulah yang mendorong para Pemuda PAS memberikan kepercayaan kepada beliau.

“Bila jadi pemimpin sebenar (Dewan) Pemuda PAS, apa rancangan terbesar yang Ustaz buat?” saya mula beralih kepada organisasi Dewan Pemuda PAS yang dipimpinnya.

“Langkah pertama ana ialah kukuhkan organisasi. Ana bawa masuk dua kawan yang mengaji sekali di Iraq, (Dato’) Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Ishomuddin Ahmad untuk bantu kukuhkan tarbiyah. Masa ini, Wan Hassan (Wan Daud) wakil rakyat Kelantan jadi Wakil (Naib) Ketua. Ustaz Yunus Yatimi sebagai Setiausaha dan Ustaz (Abdul) Wahab Yunus jadi Bendahari. Kawan ana di Taiping, Dr Dali (Moin) kekal sebagai Pengarah Gerakan SPEM.

“Kedua, kita teruskan Gerakan SPEM ini ke seluruh negara. Ketiga, kita tumpu untuk perkemaskan Cawangan-cawangan Dewan Pemuda (PAS). Lepas itu, kita turut terlibat dalam proses pembentukan kerajaan apabila PAS masuk (Kerajaan) Campuran pada awal ’73,” Ustaz memberikan gambaran umum mengenai tumpuan pergerakan Dewan Pemuda PAS.

“Gerakan SPEM itu apa, Ustaz?” saya bertanya lebih detail.

“Gerakan SPEM itu kira-kira sambungan kepada Gerakan Insaf dan Gerakan Syuhada. Kita lancar Gerakan SPEM ini selepas Ustaz Jaiz berundur, dan ana baru pangku Wakil Ketua Pemuda. Kita terus lantik Dr Dali jadi pengarah” Ustaz mula menjelaskan kedudukan Gerakan SPEM yang ditubuhkan pada 22 September 1970 itu.

Menurut Ustaz, Gerakan SPEM ini bertujuan untuk membentuk Pemuda PAS menjadi pendukung politik Islam (siyasah syari’ah) yang faham politik Islam, berjiwa sufi, berani berjuang untuk tegakkan Islam, bersifat dinamis dan serba boleh. Besar sasaran yang diletakkan dan program berterusan disusun melibatkan semua peringkat parti.

“SPEM itu maksud dia apa, Ustaz?” saya masih belum jelas.

“Idea SPEM bermula daripada kesedaran kita terhadap masalah fikrah pemuda-pemuda Islam yang bercampur-baur dengan ideologi Sosialis, Sekular, Kebangsaan dan macam-macam masa itu. Ada orang mari jaja Sosialis Islam, ada orang jual Kebangsaan Melayu, ada yang nak ikut Sekular. Lepas itu, mari pula budaya kuning, hiburan macam pop yeh yeh. Dadah pun mula jadi isu, terutama di Felda-felda. Jadi, kita rasa fikrah mereka kena dibersihkan.

“Kebetulan masa ini, (Datuk) Senu (Abdul Rahman, Ketua Pemuda Umno) buat Revolusi Mental Pemuda Umno. Jadi, kita pun guna perkataan yang sama, Seksi (section) Pembinaan Mental, kita ringkas jadi SPEM.

“Ana kata kat mereka, SPEM ini ertinya benih (sperm). Gerakan SPEM ini kita nak lahirkan benih-benih pejuang Islam yang bersih fikrah. Hanya nak Islam sahaja. Kita nak lahirkan hardcore (ahli-ahli teras) Pemuda PAS,” Ustaz menjelaskan mengenai maksud di sebalik perkataan SPEM.

“Melalui Gerakan SPEM inilah ana perkenalkan rukun perjuangan Dewan Pemuda PAS mengikut model Ikhwan. Ini pertama kali dalam PAS kita sebut secara jelas lima dasar. Allahu ghayatuna (Allah matlamat kami), ar-Rasul zaimuna (Rasul pimpinan kami), al-Quran dusturuna (al-Quran perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-mautu fi sabilillah asma amanina (mati di jalan Allah cita-cita kami). Yang lagu Unit Amal duk nyanyi sekarang itu, kami yang mula bawa masuk dalam PAS,” terang Ustaz lagi.

Berdasarkan dokumen-dokumen Dewan Pemuda PAS, dicatatkan bahawa Gerakan SPEM bertujuan untuk melahir pemuda-pemuda Islam yang berjuang untuk mewujudkan pemerintahan Islam demokratik yang berjalan di dalamnya hukum-hukum dan undang-undang Islam; membentuk sebuah Negara Islam yang bercorak Persekutuan yang mengamalkan sistem ekonomi dan sosial Islam; dan mewujudkan persaudaraan Islam untuk membentuk tenaga bersama bagi menentang penjajahan, perbudakan, kezaliman dan pemerasan di mana-mana berdasarkan Falsafah Islam.

“Apa kesan besar Gerakan SPEM ini, Ustaz?” saya bertanya lagi.

“Kesedaran Islam yang orang sebut zaman kebangkitan Islam itu lah. Kita dapat berperanan untuk menerapkan Islam dalam kerajaan. Dengan tapak yang kita bina ini, bila Ustaz (Abdul) Hadi (Awang) dan Ustaz Yahya (Othman) balik, dia orang mulakan tarbiyah haraki pada ’75 dalam keadaan Pemuda PAS sudah bersedia untuk menerima, sebab itu proses tarbiyah haraki itu lancar.

“Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) itu dilihat tidak senang dengan ustaz-ustaz ini sebab kesedaran Islam yang berlaku dalam Pemuda PAS boleh dikatakan mengancam juga kedudukan dia. Akhirnya berlaku kepemimpinan ulamak tahun ’82,” panjang Ustaz menghuraikan kesan-kesan besar gerakan-gerakan tarbiyah yang dibuat sepanjang beliau memimpin Dewan Pemuda PAS sejak 1968 itu.

Dalam bulan April 2001, saya bercakap dengan Ustaz Abdul Wahab Yunus, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat selepas Ustaz (1973-1975) mengenai Gerakan SPEM, “Gerakan SPEM ini berlanjutan pada zaman ana. Kita teruskan kerana ia banyak memberi kesedaran agama kepada pemuda kita,” kata Ustaz Yunus kepada saya.

Pendek kata, era ketika Ustaz memimpin Dewan Pemuda PAS (1971-1973), telah menjadi tempoh penting ke arah pembenihan generasi muda Islam yang melakukan kebangkitan pada dekad 1980-an. Semoga Allah menerima amal Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 4/6/2020

Ustaz Hassan mengiringi Dato’ Mohd Asri Haji Muda dalam satu lawatan Yang Dipertua Agung PAS itu pada awal 1970-an.
Pasukan bola sepak yang ditubuhkan oleh Dewan Pemuda PAS dalam usaha mendekati dan menarik golongan muda untuk bersama perjuangan Islam.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Ustaz Yunus Yatimi selepas mengadakan kursus Gerakan Insaf kepada Dewan Pemuda PAS Kuang (sekarang Selayang). PAS Kuang adalah merupakan antara cawangan PAS terawal di Selangor. Pentarbiyah melalui Gerakan Insaf disambung kemudiannya Gerakan SPEM.
- Advertisement -