Bil naik, boleh adu kepada SPAN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar utiliti seperti elektrik dan air adalah disebabkan oleh peningkatan penggunaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ia berikutan lebih banyak aktiviti tertumpu di rumah kediaman dan keadaan ini menyumbang kepada peningkatan bil-bil utiliti.

- Advertisement -

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan menasihati orang ramai supaya menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan kepada [email protected] sekiranya merasakan caj yang dikenakan adalah tidak munasabah.

“Maklum balas rakyat adalah penting khususnya pada waktu pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi dunia.

“Rakyat juga dialu-alukan untuk mengemukakan aduan sekiranya mereka mahukan penjelasan lebih terperinci berhubung bil air mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengeluarkan ketetapan berhubung kaedah pengiraan bil air sepanjang tempoh pelaksaan PKP untuk dipatuhi oleh semua operator agihan air.

Ketetapan ini adalah penting agar hak rakyat sebagai pengguna air dijaga dan tidak dimanipulasi mana-mana pihak.

Menurutnya, berikutan tiada bacaan meter diambil sepanjang tempoh PKP, maka bil air pada bulan mulanya PKP (Mac) akan digabungkan atau dikeluarkan secara berasingan mengikut anggaran purata penggunaan air sejak 3 bulan atau 6 bulan sebelum ini.

“Manakala bacaan meter akan dibuat pada bulan Mei, di mana bil air bagi bulan Mac dan April akan diselaraskan di dalam bulan Mei. Maka, jika ada lebihan pembayaran sebelum ini, bil air akan berkurang pada bulan Mei.

“Rakyat tidak dibebankan dengan sebarang kenaikan tarif air. Komponen tarif kategori domestik, bukan domestik dan khas adalah kekal sepanjang tempoh PKP. Ini adalah komitmen Kerajaan Perikatan Nasional,” ujarnya.

Namun begitu, katanya adalah tanggunjawab SPAN untuk meneliti aduan-aduan agar tiada penindasan berlaku ke atas sumber asas air terhadap rakyat semua.

Jelas Shahir lagi, SPAN tetap komited sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk memastikan matlamat pembangunan negara berkenaan dengan liputan, pembekalan dan akses kepada perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembentungan tercapai.- HARAKAHDAILY 4/6/2020

- Advertisement -