Rakyat desak lantik pengerusi KADA baharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun sudah lebih tiga bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, namun masih ada pemimpin pakatan itu dalam senarai pengerusi agensi kerajaan.

Antaranya Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) apabila hasil semakan di laman web KADA masih lagi terdapat nama Naib Presiden PAN (AMANAH) Dato’ Husam Musa sebagai pengerusi agensi terbabit.

Sebaliknya beberapa pemimpin PAN yang pernah disenaraikan sebagai ahli lembaga KADA sebelum ini antara Dr Yazid Abdullah tidak lagi kelihatan.

- Advertisement -

Keadaan itu mengundang pelbagai reaksi rakyat, malah orang ramai yang ditemui memberitahu sebarang pelantikan yang dilakukan kerajaan PH sepatutnya terbatal secara moral.

Kata mereka mana-mana pemimpin yang dilantik sebagai pengerusi agensi atau syarikat milik kerajaan wajar meletak jawatan secara terhormat bagi memberi laluan kerajaan baharu melantik pengerusi lain.

Penghulu Mukim Gong Kedak Mat Kilau Husin berkata, tidak sepatutnya Naib Presiden PAN mempertahankan kedudukan di KADA dengan alasan pelantikan dibuat Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, biarpun pelantikan dibuat kerajaan PH sebelum ini ada tempoh tertentu, namun dari segi moral sepatutnya pemimpin terbabit perlu berundur.

“Sekiranya keadaan itu masih berterusan tentunya ia boleh merencatkan lagi pembangunan sektor pertanian di Kelantan.

“Kita minta kerajaan menyelesaikan masalah tersebut dengan membuat pelantikan pengerusi baharu Kada secepat mungkin,” katanya di sini.

Penghulu Mukim Tualang, Awang Adek Mat Yasin berkata, tidak sepatutnya pemimpin PH enggan berganjak daripada kedudukan di agensi kerajaan.

“Sudah beberapa bulan kerajaan PH jatuh, namun masih ada pemimpin PH kekal di situ,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Mohd Zai Mustafa menasihat pemegang jawatan lantikan politik kerajaan PH melepaskan jawatan secara terhormat dan berjiwa besar.– HARAKAHDAILY 3/6/2020

- Advertisement -