Pemimpin De Facto Pemuda PAS

- Advertisement -

SEPANJANG tahun antara 2001 hingga 2002, saya banyak berdamping dengan Ustaz Hassan kerana ketika itu saya sedang membuat kajian mengenai perkembangan organisasi Dewan Pemuda PAS, khususnya pada era 1970-an. Banyak sekali kisah yang berlaku sejak Ustaz balik dari Baghdad sehingga PAS berada dalam kerajaan sepanjang 1970-an itu, Ustaz ceritakan kepada saya. Bukan cerita sahaja yang banyak, pengajaran pun sangat banyak. Sayang sekali, ketika PAS mengulangi sejarahnya ini dengan berada dalam Kerajaan Pusat, Ustaz telah tiada untuk memberikan nasihat.

Antara kisah yang Ustaz ceritakan ialah keadaan Dewan Pemuda PAS setelah Ustaz Jaiz Anwar meletak jawatan pada 26 September 1970 dan berlepas ke London untuk menyambung pelajaran di sana. Setelah lebih setahun (16 Mei 1969 hingga 31 Ogos 1970) seluruh kegiatan politik digantung, hampir seluruh organisasi Dewan Pemuda PAS di peringkat cawangan (kini kawasan) telah lumpuh. Inilah cabaran terbesar yang dihadapi dalam membangunkan semula organisasi sayap pemuda PAS itu.

“Macam mana proses peralihan itu berlaku?” saya bertanya Ustaz mengenai perubahan kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat ekoran pengunduran Ustaz Jaiz Anwar.

- Advertisement -

“Seminggu sebelum Ustaz Jaiz berhenti, dia buat mesyuarat untuk peralihan kuasa. Jadi, dalam mesyuarat itu dia umum lepaskan jawatan minggu depan. Maka dilantiklah pengganti. Wakil (Naib) Ketua ini (Datuk) Tengku Zaid (Tengku Ahmad). Secara automatik, dialah kena pangku jawatan ketua itu. Masa ini Tengku Zaid juga Ahli Jawatankuasa Agung PAS.

“Ana ini Ustaz Jaiz lantik sebagai Ketua Jabatan Pelajaran dan Tabligh, macam Lajnah Tarbiyah sekarang ini. Boleh jadi kerana kejayaan Gerakan Insaf dan Gerakan Syuhada, ataupun boleh jadi kerana ana ini mengaji di Iraq, ada ijazah, dia orang tunjukkan ana untuk pangku jawatan Wakil Ketua. Jadi, tiba-tiba ana jadi orang nombor dua (Dewan) Pemuda PAS,” Ustaz menyebutkan mengenai proses peralihan kepemimpinan yang berlaku pada 20 September 1970 itu.

“Macam mana tiba-tiba nama Tengku Zaid naik dalam Pemuda PAS. Sebelum ini nama Tengku Zaid takde dalam kepemimpinan PAS?” saya mula mengusul.

“Tengku Zaid ini anak raja Kelantan. Ayah dia, Tengku Ahmad Panglima Raja. Dia abang Tengku Iskandar Pasir Mas yang terkenal itu. Seorang lagi adik dia, Tengku Nor Asiah, pernah jadi wakil rakyat Umno. Tengku Zaid ini ngaji di England, maktab pegawai tentera (Sandhurst Military College). Dia berpangkat Mejar. Dulu pernah jadi pemerintah markaz tentera di Kota Bharu.

“Masa (Abdul) Samad Ghul (Ahmad Mianji) kena bunuh, PAS pilih dia jadi calon Pilihan Raya Kecil. Samad Ghul ini terkenal. Dia pernah ganti Ustaz Amaluddin Darus jadi Ketua Pemuda PAS (Pusat). Bila Tengku Zaid menang pilihan raya tahun ’67 itu, lepas itu Tok Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) pula menang ganti Haji Ahmad Perai mati eksiden… jadi kedua-dua tokoh ini terkenal pada masa. Masa Mesyuarat Agung (Tahunan) PAS di Perlis (1968), Tok Guru Nik Aziz dipilih jadi Ketua Ulamak (PAS Pusat), Tengku Zaid pula jadi Wakil Ketua Pemuda,” Ustaz menjelaskan kenapa nama Tengku Zaid tiba-tiba melonjak naik dalam PAS.

“Macam mana bentuk kepemimpinan Tengku Zaid dalam Pemuda, Ustaz,” saya terus menggali.

“Sebenarnya, Tengku Zaid ini atas kertas je. Masa itu kan politik masih tegang. Pergerakan masih terhad. Dia duk Kelantan, ana dah pindah Kuala Lumpur. Dia pula wakil rakyat Parlimen. Jadi, banyak masa dia habis di Kelantan, jarang sangat ke Kuala Lumpur.

“Boleh kata, semua urusan Dewan Pemuda dia serah kat ana. Ana hanya report je kat dia. Semua urusan, pentadbiran, organisasi, politik.. Ana semua yang buat,” jelas Ustaz lagi.

“Kira Ustaz lah Ketua Pemuda de facto. Sebab Ustaz sebenarnya yang kawal semua urusan Dewan Pemuda. Betullah Tengku Zaid ini atas kertas je,” saya cuba merumuskan kedudukan sebenar kepemimpinan Dewan Pemuda PAS ketika itu.

“Begitulah. Lagi pun, tempoh ini sekejap je. Masa kami ambil alih itu, hujung bulan Sembilan (September 1970), bulan Enam (Jun 1971) dah mesyuarat agung. Kan last mesyuarat agung itu tahun ’68, lepas itu darurat,” Ustaz mengakui realiti politik pada ketika itu.

“Apa yang sempat buat dalam masa tujuh lapan bulan itu, Ustaz?” saya beralih kepada organisasi Pemuda PAS pula.

“Tak banyak. Pertama, kita fokus nak hidupkan semula Cawangan-cawangan Pemuda PAS yang hampir mati di seluruh negara. Isu-isu besar masa ini ialah politik samseng Pemuda Tahan Lasak Umno, lepas itu timbul pula puak-puak Komunis yang guna nama Islam. Dia buat parti PARPERI (Parti Persaudaraan Islam). Kira ideologi Komunis ini merasap semula dalam pemuda-pemuda di Malaya. Muzik pop yeh-yeh pun tengah terkenal masa ini, selain menular dadah di tanah rancangan Felda. Jadi, ini fokus yang kita fikir dalam Pemuda (PAS).

“Kedua, politik masa itu. Masalah kaum belum selesai. Pimpinan PAS tengah berunding dengan Perikatan untuk selesaikan masalah politik. Sebelum ini, kita (PAS) masuk dalam Majlis Perunding dan Jawatankuasa Muhibbah. Tun (Abdul) Razak (Hussein) tengah susun langkah nak stabilkan politik negara. Kita pun, tidak banyak main politik masa ini. Kurang serang Umno. Jadi, perundingan itu mudah sikit,” Ustaz mula menyebut pendekatan politik PAS ketika itu dalam menyelesaikan pergolakan politik.

“Apa yang Tun Razak buat, Ustaz?” saya cuba melihat strategi Umno pula.

“Tun Razak ini guna serampang dua mata. Pertama, dia nak stabilkan politik negara. Kedua, dia nak kukuhkan Perikatan, sebab depa dah hilang dua pertiga masa Pilihan Raya 1969 itu, lagi pula, Pulau Pinang depa kalah, Perak dan Selangor takleh bentuk kerajaan.

“Sebenarnya, Pilihan Raya 10 Mei itu tidak melibatkan Sabah dan Sarawak. Semenanjung saja. Perikatan masih ada peluang untuk dapat dua pertiga kalau boleh kuasai Sabah dan Sarawak. Jadi masa darurat, semua parti tak boleh aktif, tapi Perikatan guna kuasa mereka dalam MAGERAN untuk perkukuh politik mereka. Mereka buat rundingan senyap-senyap, pujuk wakil rakyat lawan dan macam-macam. Bila politik dah boleh, mereka terus bertindak,” Ustaz memberikan latar belakang umum mengenai gerakan politik Perikatan zaman darurat itu.

“Perikatan beli wakil rakyat untuk bentuk kerajaan?” saya panasaran.

“Ya, di Perak, Perikatan ada 19 kerusi dari 40. Dia orang beli dua wakil rakyat PPP dan seorang DAP, boleh bentuk semula kerajaan. Di Selangor, seri 14-14. Perikatan beli seorang wakil Bebas dan seorang Gerakan, boleh buat kerajaan. Jadi, Perikatan dah selamat di Selangor dan Perak. Dua orang wakil rakyat PAS di Terengganu, Ibrahim Noh dan Wan Mohamad (Wan Ngah) pun kena beli dengan Umno juga.

“Kedua, Perikatan nak cari dua pertiga di Parlimen. Dalam bulan Jun ’70, pilihan raya yang tertangguh di Sabah dan Sarawak telah dijalankan semula selama sebulan. Sekutu Perikatan dapat 25 kerusi. Dalam awal tahun ’71, Perikatan menang pula Pilihan Raya Kecil di Melaka. Jadi, kerusi Perikatan bertambah dari 92 jadi 144. Lepas pilihan raya di Sarawak, Perikatan cuba atur kerjasama dengan Parti Cina, SUPP. SUPP ada lima kerusi Parlimen, bila SUPP bersekutu dengan Perikatan, terus cukup dua pertiga. Perikatan dah stabil.

“Tun Razak tau, Kerajaan dia orang Melayu tak sokong. Perikatan kena kuat lagi. Jadi, Tun Razak berunding dengan parti-parti pembangkang untuk wujudkan perpaduan nasional. Masuk tahun ’72, Perikatan berjaya tubuh Kerajaan Campuran Perikatan-Gerakan di Pulau Pinang. Sebab itu sampai la ini (2002), Gerakan kuasai Pulau Pinang. Lepas itu Kerajaan Campuran Perikatan-PPP dibentuk di Perak pula.

“Lepas itu lah timbul cadangan (Datuk Abdul) Samad Idris dan (Tun) Ghafar Baba supaya Kerajaan Campuran dibuat juga dengan PAS,” panjang lebar Ustaz menyebut perubahan-perubahan politik pasca MAGERAN itu.

Ternyata pengalaman menghadapi pergolakan dan perubahan politik pada 1970-1973 ini lebih dramatik daripada krisis politik pasca kejatuhan PH sekarang ini. Pasti banyak pengalaman yang perlu ditelusuri dan dipelajari oleh pemimpin PAS sekarang.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 3/6/2020

Wajah Ustaz Hassan muda, ketika menjadi pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat antara 1968-1973.
Tengku Zaid Ahmad, putera raja Kelantan yang mendukung perjuangan PAS. Beliau menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu sejak 1967 kerana menggantikan Abdul Samad Ghul yang dibunuh oleh samseng politik selepas ceramah Maulid Nabi di Kota Bharu.
- Advertisement -