Aplikasi kod QR digalakkan, tidak wajib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Keselamatan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aplikasi ‘QR Code’ tidak diwajibkan tetapi amat digalakkan kerana tidak tertakluk dalam Akta 342.

“Untuk memuat turun aplikasi ini memang kita galakkan, di peringkat pusat kita ada Apps MySejahtera. Di Selangor mungkin dia ada Apps dia, di negeri Pulau Pinang mungkin ada, di Johor pun ada, mungkin, setiap negeri ada.

- Advertisement -

“Sekiranya mempermudahkan urusan kita ia digalakkan, tetapi bukan sesuatu yang diwajibkan sebab kalau sesuatu yang diwajibkan mesti ia terdapat dalam peraturan Akta 342, yang ini tidak ada. Seperti juga memakai topeng muka, dan sebagainya (hanya) digalakkan.

“Macam Apps ini hanya untuk mempermudahkan mungkin ramai yang tidak bersetuju dan tidak berapa suka kalau data peribadinya seperti nombor telefon dan nama penuh diambil jadi dia tidak berapa suka.

“Jadi untuk mengelakkannya memberikan nama penuh dan tulis nombor telefon, gunakan Qr Code menggunakan apps yang telah kita perkenalkan,” ujarnya dalam sidang media harian PKP, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media yang meminta penjelasan mengenai SOP premis perniagaan di Negeri Selangor yang mewajibkan pelanggan memuat naik aplikasi Selangkah sebelum dibenarkan masuk ke premis.

Selain itu, Ismail Sabri berharap pelaksanaan peraturan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di peringkat negeri dapat diseragamkan dengan pelaksanaan di peringkat Pusat.

“Wajib itu tidak boleh, ini mungkin peraturan yang diperkenalkan oleh negeri dan ianya bertentangan dengan peraturan SOP Akta 342 yang telah diperkenalkan dan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

“Kalau boleh eloklah diselaraskan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.- HARAKAHDAILY 3/6/2020

- Advertisement -