Tauke senjata api paling untung di USA

- Advertisement -

BARU-baru ini dunia dikejutkan dengan pembunuhan seorang lelaki kulit hitam bernama George Flyod di bandar Minneapolis negeri Minnesota, Amerika Syarikat. Flyod meninggal dunia setelah lehernya ditekan oleh lutut seorang anggota polis kulit putih yang menahannya tanpa sebab yang jelas, ketika mangsa sedang ditiarapkan oleh polis tersebut di jalan raya.

Ini merupakan antara siri keganasan polis di negara kuasa besar tunggal dunia itu terhadap warganegaranya sendiri terutama kaum kulit hitam. Susulan dari pembunuhan itu, Amerika yang sedang menghadapi tsunami jangkitan COVID-19 yang menggila kini diancam rusuhan rakyatnya di bandar-bandar tertentu sekitar negara tersebut. Rakyat Amerika Syarikat telah mula bangkit!

Ketika pentadbiran Trump gelabah hingga memutuskan hubungan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana penularan COVID-19 di negaranya, Rumah Putih kini sedang meneliti perintah darurat untuk Los Angeles pula, metropolis utama di Pantai Barat negara tersebut. Kadar pengangguran yang tinggi serta liputan media yang terlampau bebas hanya memperparah situasi di negara tersebut.

- Advertisement -

Adakah Trump berjaya membuatkan Amerika Syarikat kembali hebat? Tepuk dada tanyalah majoriti warga negara tersebut. Ekonomi negara tersebut banyak bergantung kepada manipulasi kewangan Antarabangsa, dominasi ekonomi perang, dan eksploitasi tenaga buruh murah dari pendatang asing serta tahanan penjara. Semua ini perlu berterusan untuk menjaga kepentingan dasar luar negara tersebut yang pro Zionis.

Sistem kewangan dunia global yang diasaskan di Bretton Woods ketika akhir Perang Dunia Kedua merupakan enjin utama pengaruh Dollar US dalam transaksi perdagangan Antarabangsa yang secara efektifnya berjaya menundukkan beberapa negara-negara Arab berpengaruh di Timur Tengah yang menjual minyak. Lantas Amerika Syarikat berjaya melemahkan penentangan bangsa Arab terhadap Zionis yang sedang menjajah Baitulmaqdis.

Perang berterusan yang melibatkan tentera Amerika Syarikat di perantauan merupakan elemen penjanaan pendapatan utama negara itu. Dengan perang maka senjata akan terus dihasilkan oleh industri kompleks ketenteraan. Selagi ada perang selagi itu poket Kapitalis pembunuh akan terus makmur dan kononnya peluang kerja di Amerika Syarikat akan wujud berdasarkan permintaan senjata yang tidak putus. Para Kapitalis itu pula mendanai politik Rumah Putih terutamanya para pembuat dasar di Pentagon.

Dan apa pula kaitannya dengan kisah pembunuhan George Flyod di atas? Ia adalah rentetan kepada Pindaan Kedua Perlembagaan Amerika Syarikat 1791 yang merupakan sebahagian dari Usul Hak-hak warganegara itu yang membenarkan penjualan senjata api secara terbuka (walaupun kononnya dikawal), dan ia mengizinkan pembentukan pasukan militia (bersenjata) oleh rakyat negara itu atas alasan mempertahankan diri.

Dari prinsip ultra Liberalisme ‘terencat’ itulah maka kes-kes yang melibatkan senjata api adalah suatu kebiasaan di negara Pakcik Sam itu. Dari artis, pelajar, hingga ke ahli politik, sudah ramai mereka yang terkorban kerana pemilikan senjata api yang mudah didapati, sama ada secara sah atau haram. Yang untung adalah tauke-tauke Kapitalis pembuat senjata api tempatan itu tadi.

Peningkatan jenayah senjata api menjadi alasan pula untuk para anggota keselamatan di negara itu untuk terus melengkapi pasukan mereka dengan senjata api. Dari pengawal keselamatan hingga ke ejen-ejen penguatkuasa yang bukan polis, mereka semua boleh membawa senjata api dalam operasi rutin mereka. Maka ia meningkatkan lagi rasa paranoia ketika menjalankan tugas, ditambah pula oleh prejudis perkauman yang akhirnya menjurus kepada respon ganas anggota keselamatan.

Sepertimana hon kereta yang mudah dan sentiasa ditekan di negara-negara mundur, begitu jugalah mudahnya picu senjata ditarik dan keganasan digunakan untuk menyelesaikan masalah di Amerika Syarikat. Nyawa manusia menjadi begitu murah sekali untuk warganegara mereka, apatah lagi dengan nyawa manusia di negara luar yang berhadapan dengan penjajahan tentera serta proksi mereka seperti di Palestin, Afghanistan, Iraq dan lain-lain.

Artikel ini bukan mengajak anda untuk membenci warganegara Amerika Syarikat. Kerana di negara tersebut juga ada insan-insan yang hidup dengan jujur, cintakan keamanan serta takut dengan Tuhan. Malangnya mereka terbelenggu dalam satu sistem sosio-politik ciptaan Freemasonry para pengasas negara itu setelah berjaya menundukkan penduduk pribumi asal Amerika Syarikat, kaum Red Indians hampir 300 tahun yang lalu.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi BERSATU Malaysia – HARAKAHDAILY 2/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -