Politik era baru

- Advertisement -

PERGOLAKAN politik yang berlaku di Putrajaya pada 2008 akibat kekalahan BN di banyak negeri seperti Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, serta kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, telah menyebabkan Umno mencari PAS untuk membina semula kekuatan politik mereka. Umno mempunyai alasan bahawa jangan sampai negara ini jatuh ke tangan DAP. Sedangkan PAS masih merasai kepedihan dikhianati oleh Umno pada 1978. Amat berat bagi PAS untuk menerima semula Umno kerana PAS sedar bahawa Umno boleh mengulangi semula perbuatan mereka pada 1978 jika parti Kebangsaan Sekular itu kuat kembali.

Di Perak dan Selangor khususnya, para pemimpin Umno membuat pelbagai tawaran kepada PAS jika sudi membentuk Kerajaan Campuran dengan mereka. Rundingan-rundingan yang berlaku, bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga di Putrajaya. PAS mengambil sikap bukan untuk berunding, tetapi untuk mendengar dahulu apa tawaran atau cadangan Umno. Tiada sebarang pendirian untuk bekerjasama dengan Umno. Tetapi, sesetengah pemimpin PAS telah mengambil sikap keras, supaya jangan menghampiri langsung Umno kerana parti itu terpalit dengan ‘penyakit-penyakit politik.’ Bagi sesetengah ulamak PAS, mereka meletakkan isu politik ini di tepi, sebaliknya melihat ruang ini sebagai peluang berdakwah kepada Umno.

- Advertisement -

“Ini peluang terbaik kalau kita nak ajak Umno kepada Islam. Umno ini kalau dia kuat, tak dengar cakap. Masa dia lemah ini lah, dia dengar kata,” Ustaz Hassan memberi komentar kepada saya mengenai perkembangan politik ketika itu.

“Boleh ke kita kerjasama dengan Umno ini, Ustaz? Umno itu kan dah banyak buat jenayah politik di negara kita…” saya cuba memberikan pandangan mengikut pendapat popular pada masa itu.

“Kita ini bawa politik Islam, bukan penganut demokrasi. Ertinya kita ini pendakwah, bukan ahli politik semata-mata. Allah hantar kita ini untuk tarik sebanyak mungkin manusia ke syurga. Bukannya nak humban mereka ke dalam neraka,” tegas pandangan Ustaz kali ini.

“Orang demokrasi hanya fikir macam mana nak jatuhkan musuh politik dia dan nak ambil kuasa. Islam ajar macam mana nak bagi hukum Allah berkuasa, sape yang memerintah tak jadi masalah, asal mereka laksana Islam,” tambah Ustaz lagi.

“Tapi Umno itu dah 50 tahun memerintah, keburukan je mereka buat. Islam pun kosmetik je,” saya terus menongkah.

“Saidina Umar dulu pun samseng. Kalau Nabi S.A.W berfikir macam enta, tak masuk syurga Saidina Umar,” jawapan Ustaz lebih keras lagi. Kali ini hujah Ustaz mematikan semua fikiran benci saya kepada Umno, sebaliknya mula terfikir bahawa Umno adalah sasaran dakwah kita.

“Kalau kita nak memerintah, kita perlukan orang Umno. Kalau orang Umno tak undi PAS, agak-agak demokrasi boleh beri kita kuasa tak? Ini peluang kita buka minda orang Umno untuk melihat kebaikan Islam, kalau pun pemimpin mereka tak nak. Apatah lagi kalau pemimpin mereka nak, mudah dakwah kita,” Ustaz terus membawa saya kepada pemikiran politik Islam yang kefahaman saya sangat cetek itu.

“Dulu Nabi S.A.W jumpa pemimpin Quraisy depan Kaabah sampai tak peduli kat orang buta, sebab apa? Sebab Nabi tahu, kalau pemimpin Quraisy terima Islam, habis orang Makkah masuk Islam,” Ustaz memulakan kuliah Fiqh Sirah kepada saya. Banyak lagi saya tak faham daripada Sirah Nabi rupanya.

“Bukan ke PAS pernah kerjasama dengan Umno?” saya mengalihkan perbualan kami kepada pengalaman lama PAS.

“Itulah pengorbanan dan kebijaksanaan pemimpin dulu. Mereka letak tepi semua fikiran sempit, sebab melihat maslahat yang lebih besar. Dalam agama, menolak keburukan lebih utama daripada mengambil kebaikan. Keburukan masa ini ialah kejatuhan kuasa politik orang Melayu Islam dan perpecahan orang Melayu.

“Enta ingat PAS tak sakit hati ke dengan Umno? Sape yang tangkap tok-tok guru dalam ISA? Sape yang culik wakil rakyat PAS di Terengganu dan Kelantan untuk guling Kerajaan PAS? Sape yang gi curah duit (RM) 500-600 juta nak pujuk orang Kelantan tolak PAS? Sape yang bunuh (Abdul) Samad Ghul (Ahmad Mianji)? Sape yang jual negeri ini ke Cina?

“Ingat orang PAS tak marah ke? Sampai ada orang kafirkan Umno itu kenapa? Sebab dosa Umno terlalu banyak. Semua pemimpin PAS sedar dan tahu benda ini.

“Tapi kenapa mereka pergi, bila Tun (Abdul) Razak (Hussein) ajak berunding? Sebab pemimpin PAS fikir benda yang lebih besar. Mereka lihat ini peluang dakwah, peluang untuk betulkan Umno dan kita mesti selamatkan negara melalui penguasaan politik orang Melayu,” Ustaz terus menghuraikan satu-persatu kepada saya. Ia betul-betul membuatkan saya berfikir panjang, bahawa PAS memang bukan semata-mata parti politik, tetapi PAS adalah sebuah gerakan Islam.

“Apa langkah politik yang kita ambil masa itu, Ustaz?” saya bertanya pula mengenai pendekatan politik PAS.

“Masa politik tengah gawat akibat rusuhan kaum, Tun Razak tubuh Jawatankuasa Muhibbah dan Majlis Perunding di bawah MAGERAN. PAS hantar wakil, kita tak boikot. Bahkan, kita buat keputusan sokong dasar-dasar MAGERAN untuk mengembalikan kestabilan politik negara. Kita pun terlibat untuk gubal Rukun Negara,” Ustaz menyebut peranan awal PAS sebaik sahaja kegiatan politik digantung.

“Siapa wakil PAS dalam Jawatankuasa semua itu?” saya bertanya lagi kepada Ustaz.

“Majlis Perunding itu, PAS hantar dua wakil. Ustaz Hassan Adli sebagai Pemangku Timbalan Yang Dipertua dan (Abdul) Aziz Abdullah, peguam PAS. Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) masuk sebagai Menteri Besar Kelantan. Haji Taha Kalu pula wakil PAS dalam Jawatankuasa Muhibbah,” Ustaz menjelaskan lebih detail.

“Dari situlah, bermulanya langkah-langkah kerjasama yang membawa kepada terbentuknya Kerajaan Campuran pada 1973,” Ustaz terus bercerita mengenai ‘origin’ kerjasama PAS-Perikatan.

Saya berfikir panjang mengenai teori-teori baru dalam pemikiran politik-dakwah Islam yang Ustaz ajarkan saya pada hari ini. Semoga Allah mengampunkan Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 2/6/2020

- Advertisement -