PAS WP kemuka memo sokongan, kertas polisi

Mahu isu pemandu mabuk sebabkan kematian ditangani menyeluruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan menzahirkan sokongan padu terhadap komitmen proaktif Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu-isu berkaitan pengaruh arak atau alkohol yang berlaku dalam masyarakat.
 
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya mengikrarkan kebersamaan pihaknya itu menerusi memorandum terhadap cadangan akan dilaksanakan kerajaan menerusi beberapa tindakan telah diumumkan.
 
Memorandum sokongan tersebut telah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Takiyuddin Hassan dan Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong.
 
Juga diserahkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bersama Kertas Cadangan Polisi “Tangani Isu Pemandu Mabuk Di Malaysia” disediakan Institut Penyelidikan dan Strategi PAS Wilayah Persekutuan.
 
Menurut Ustaz Azhar, pihaknya menyokong langkah kerajaan sebagaimana telah dinyatakan Dato’ Takiyuddin untuk memastikan pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan dibawa ke Parlimen secepat mungkin.
 
Perbincangan kerajaan bersama Jabatan Peguam Negara supaya kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan cadangan pihak keluarga mangsa dapat membuat tuntutan turut disokongnya.
 
“Kami merasakan tindakan ini amat sesuai dan patut dilakukan dengan mengambil kira keadaan terkini dalam negara di mana insiden kemalangan pemandu mabuk meningkat mendadak dan amat membimbangkan.
 
“Lebih menyedihkan sikap tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah dan keluarga kehilangan tempat bergantung. Ini mungkin disebabkan perundangan sedia ada tidak berkesan atau tidak bersifat mencegah.
 
“Oleh itu kami menyokong cadangan Dato’ agar pertuduhan lebih berat dikenakan atas pesalah berkenaan serta membela nasib mereka yang hilang tempat bergantung akibat kes ini,” ujar beliau.
 
Suara sama juga dinyatakan kepada Dato’ Dr Wee serta memuji kaji selidik Kementerian Pengangkutan mendapatkan maklum balas awam terhadap isu tersebut dan berharap peraturan lebih ketat dapat diadakan.
 
Sementara sokongan kepada Tan Sri Annuar diserlahkan atas pendirian pihaknya untuk membekukan lesen aktiviti pengeluaran dan penjualan arak yang dilihat PAS Wilayah sebagai tidak terkawal dan tidak terbendung.
 
Antara dikemukakan dalam kertas disertakan itu menunjukkan peningkatan ketara kes dalam dua tahun ini yang banyak berlaku di awal pagi dengan melibatkan kematian serta merta di lokasi kejadian (BID).
 
Kertas itu juga mengisukan kaitan kandungan alkohol dalam darah (BAC) yang tinggi dibenarkan perundangan negara ini berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana meningkatkan risiko punca kemalangan.
 
Juga memperhalusi masalah yang wujud berdasarkan rantaian kes antaranya melibatkan operasi pusat hiburan, akta sedia ada dan industri arak di negara ini dengan menyertakan cadangan penyelesaian berjangka.   
 
Antaranya melibatkan had operasi pusat hiburan; pindaan peraturan di bawah kerajaan negeri dan kerajaan tempatan serta akta Persekutuan berkaitan; selain menutup industri arak bersama perincian polisi dan rasionalnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -
- Advertisement -