Kesihatan mental: Sayangi diri dan insan sekeliling

- Advertisement -

CERIA, tenang dan terasa dihargai adalah warna-warna kehidupan, sebagaimana perasaan sedih, sunyi dan marah. Kebiasaannya, perasaan tersebut dapat dikawal dan reda dalam tempoh kurang dari beberapa hari. Namun, perasaan sedih, celaru, rendah diri, putus asa dan kebimbangan yang berpanjangan, boleh mengganggu kesejahteraan kesihatan mental kita. Kesan penularan jangkitan COVID-19 turut menyumbang kepada peningkatan masalah gangguan kesihatan mental di dalam masyarakat. 

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), gangguan kesihatan mental berada di antara tangga teratas di dalam senarai beban kesihatan sedunia. Satu dari setiap empat orang di antara kita mungkin mengalami gangguan kesihatan mental. Gejala yang boleh bermula dari kemurungan dan kecelaruan berpanjangan yang adakalanya dianggap remeh, boleh mengakibatkan kesan yang parah. Ia termasuk gangguan tidur dan kelesuan kronik, mudah jatuh sakit akibat sistem pertahanan badan yang lemah serta hilang keyakinan diri di dalam interaksi sosial. Selain itu, ia juga dapat mendorong kepada penyalahgunaan dadah dan alkohol, sikap pemarah yang berlebihan, tindakan agresif seperti penderaan, mencederakan diri sendiri dan orang lain serta keinginan membunuh diri. 

Gangguan kesihatan mental boleh berlaku disebabkan faktor kesihatan termasuk genetik, penyakit kronik dan ketidakseimbangan hormon. Biarpun begitu, faktor-faktor sekeliling juga boleh menjadi penyumbang utama. Mengenal pasti punca gangguan kesihatan mental sangat penting, bagi memastikan rawatan dan sokongan yang diterima benar-benar berkesan.

- Advertisement -

Tidak semua masalah gangguan kesihatan mental perlu dirawat dengan ubat-ubatan. Sokongan emosi, selain menawarkan penyelesaian praktikal, turut membantu. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami kecelaruan panik (panic attack) akibat diberhentikan kerja, tidak cukup dengan diberi sokongan emosi, perlu juga dibantu dengan cara menawarkan peluang pekerjaan yang sesuai. Begitu juga dengan seseorang yang mengalami masalah trauma akibat penderaan, wajib diselamatkan dari punca masalah bagi membendung gejala dari berlarutan. 

Gangguan kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengenal batas usia. Di dalam menguruskan gangguan ini, selain mendapatkan nasihat pakar, kita juga boleh berusaha membantu diri sendiri. 

Meningkatkan kebergantungan kepada Allah, membantu kita untuk berbaik sangka terhadap ketetapan takdir dan mengurangkan rasa kesunyian ekstrem. Berkongsi masalah dengan seseorang yang dipercayai, dapat meringankan beban emosi yang dipikul. Selain itu, mendapatkan maklumat yang tepat juga dapat membantu menghilangkan tekanan perasaan melampau, timbul dari kurangnya pengetahuan. 

Aktiviti fizikal seperti bersenam, berbasikal dan berjalan menikmati keindahan alam, menggalakkan rembesan hormon endorphin yang dapat meningkatkan rasa gembira, seterusnya membantu mengembalikan keseimbangan emosi kita. Begitu juga dengan luahan perasaan melalui aktiviti kreatif seperti penulisan dan melukis, dapat membantu mengalihkan tumpuan kita dari gejala yang dideritai. 

Selain menjaga diri sendiri, kepedulian kita terhadap kesihatan mental insan sekeliling juga sangat penting. Mereka yang bergejala tidak wajar dipandang rendah, apatah lagi dilabelkan sebagai gila, pemalas, lemah iman dan sebagainya. Perlulah kita menginsafi bahawa mereka yang bergejala, dalam diam merintih minta dibantu. Jika mampu, tawarkan diri untuk menjadi pendengar yang ikhlas dan amanah, tidak bersikap mengadili (judgemental) dan berusaha sebaiknya untuk memahami perasaan insan lain. Galakkan mereka untuk mendapatkan nasihat atau rawatan pakar. Jika bersesuaian, tawarkan juga penyelesaian praktikal. InsyaAllah, sokongan awal dan berterusan yang kita berikan kepada seseorang yang bergejala, dapat mempercepatkan proses permulihan. 

Namun, di dalam kesungguhan kita membantu insan sekeliling,  pastikan keseimbangan emosi kita terkawal dan tidak terbeban. Mendalami ilmu kesihatan mental dan kemahiran mengawal keseimbangan emosi bukan sahaja memberikan manfaat kepada diri, tetapi juga insan sekeliling kita. 

Sayangilah diri dengan memelihara kesejahteraan kesihatan mental kita dan sebarkan kasih sayang dengan cara menunjukkan kepedulian kita terhadap kesihatan mental insan lain. Pesan Rasulullah S.A.W:

“Sebaik-baik manusia, adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.”

(HR. Ahmad)
 
الله اعلم

DR. HANI’AH ABDULLAH
Alderley Park
Sukarelawati pertubuhan amal yang menawarkan sokongan emosi kepada masyarakat

Rujukan utama;
Adult Mental Health First Aid Manual, MHFA England, 2016.
WHO – Mental Health 
Kesihatan Mental dan Fizikal – KKM – HARAKAHDAILY 2/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -