Islam dan kewartawanan

- Advertisement -

SAMPAIKAN berita yang benar, jauhi penipuan

Perkataan ‘warta’ bermaksud ‘dihebahkan’ dan ‘wan’ membawa maksud ‘ahli’. Sehubungan itu, wartawan pada hari ini merupakan satu kerjaya dalam industri media massa, yang merangkumi surat khabar, majalah, televisyen, radio dan internet. Tugasan bagi wartawan ialah mengumpul dan menyebarkan maklumat mengenai berita terkini, orang ternama, trend dan isu-isu yang relevan. Wartawan juga termasuklah kalangan pengarang, editor, pemberita, penyiar, pembaca berita dan lain-lain.

Dalam menyampaikan dan menghebahkan berita, Islam menitik beratkan soal kesahihan maklumat, kebenaran dan manfaat hasil dari sebaran itu. Wartawan yang berpemikiran Islam tidak boleh sama karakter dengan wartawan konvensional yang Liberal iaitu bebas tanpa disiplin agama yang hanya mahukan raih populariti tanpa fikir dosa dan pahala.

- Advertisement -

Kerjaya wartawan termasuklah juga mereka yang menyampaikan seruan dakwah sekiranya info dan maklumat yang diberikan adalah menepati kehendak syarak. Maka setiap hebahan dan penyampaian akan beroleh pahala di sisi Allah.

Firman Allah S.W.T:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلࣰا مِّمَّن دَعَاۤ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحࣰا وَقَالَ إِنَّنِی مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِینَ

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

[Fussilat: 33]

Dalam Islam kebenaran dan kebatilan adalah berbeza dan bertentangan, ia tidak boleh duduk berhimpun sekali. Justeru, sesuatu perkhabaran atau informasi itu sama ada benar atau palsu. Bagi manusia biasa selain kalangan Rasul yang maksum, setiap khabar terdedah kepada benar atau penipuan.

Disebutkan bahawa:

الخبر يحتمل إلى الصدق أو الكذب

“Setiap perkhabaran itu berkemungkinan kepada benar (jujur) atau penipuan.”

Justeru, menjadi kewajipan kita untuk menerapkan kefahaman dalam jiwa agar membangkitkan kekuatan iman bagi membentengi diri dari menyebarkan perkara penipuan atau dusta. Ini kerana jujur membawa kita ke ganjaran meraih syurga manakala penipuan atau dusta mengheret kita ke jurang neraka.

Firman Allah S.W.T:

لِلۡفُقَرَاۤءِ ٱلۡمُهَـٰجِرِینَ ٱلَّذِینَ أُخۡرِجُوا۟ مِن دِیَـٰرِهِمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ یَبۡتَغُونَ فَضۡلࣰا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَ ٰ⁠نࣰا وَیَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ

“(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).”

[al-Hasyr: 8]

Elak propaganda jahat, sebaran bawa kerosakan

Tujuan kewartawanan di dalam Islam adalah menanam nilai yang baik terhadap individu, menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran serta menyebarkan dakwah Islamiah berteraskan pegangan tauhid yang kukuh dengan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Inilah asas yang membezakan antara kewartawanan Islam dengan kewartawanan konvensional.

Oleh yang demikian profesion kewartawanan Islam menuntut pengamalnya menunaikan tanggungjawab sosial serta turut berperanan penting dalam membentuk kehidupan masyarakat melalui penulisan berita, rencana, laporan dan sebagainya.

Antara watak ‘wartawan atau paparazi yang jahat’ ialah sebagaimana karakter Dhamdham dalam peranannya membangkitkan dendam masyarakat Musyrikin untuk memerangi Rasulullah dan umat Islam di Madinah dengan berita jahat sehingga tercetuslah peperangan Badar al-Kubra. Perkara ini ada ditulis sebelum ini, boleh rujuk di pautan:
https://bit.ly/2WHcY9i

Malahan kejadian yang dahsyat apabila tersebar sesuatu propaganda jahat sebagaimana kisah fitnah yang terjadi ke atas diri Sayidatina Aisyah yang digosipkan mempunyai hubungan sulit dengan Safwan bin Muattal sehingga gegak gempitanya masyarakat Islam di Madinah. Ini kerja jahat bapa munafik, Abdullah bin Ubay bin Salul. Pengajaran dari kisah ini juga ada ditulis, boleh rujuk di pautan:
https://bit.ly/3bHPGWy

Peringatan berbentuk ancaman keras dari Allah menerusi firman-Nya:

إِنَّ ٱلَّذِینَ یُحِبُّونَ أَن تَشِیعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِی ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمࣱ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

[an-Nur: 19]

Memenuhi etika kewartawanan agar terpelihara kredibiliti

Wartawan adalah penting kerana apa sahaja yang dilaporkan, disampaikan dan dihebahkan akan membentuk minda manusia ke arah tersebut. Wartawan membentuk naratif sesuatu suasana dan isu. Jika wartawan tidak bertanggungjawab atas apa yang disampaikan dengan tidak mematuhi etika kewartawanan maka hakikatnya dia sedang melakukan kerosakan dengan merosakkan minda masyarakat.

Di Malaysia, secara asasnya sudah terdapat Etika Kewartawanan Malaysia sebanyak 8 perkara. Kesemuanya baik dan tidak bercanggah dengan syariat. Jika diperhatikan etika tersebut, sewajarnya tidak berlakunya perkara-perkara serta informasi yang:

(1) Kurang masak dan kurang matang.
(2) Propaganda lebih dari fakta.
(3) Penipuan dan keraguan.

Ini kerana setiap sumber mestilah benar dan beretika dalam memperolehinya secara sah mengikut lunas perundangan dan batasan syariat.

8 Etika Kewartawanan Malaysia seperti berikut:

(1) Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat yang benar;

(2) Dalam melaksanakan tugas ini dia menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritik yang saksama;

(3) Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar atau filem dan dokumen;

(4) Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar hendaklah diperbetulkan;

(5) Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita;

(6) Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada Plagiarisme dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun;

(7) Wartawan hendaklah menghindari siaran berita rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia;

(8) Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.

Sebab itu, kredibiliti wartawan amat penting bagi memastikan masyarakat mendapat info yang benar lagi memberikan manfaat. Hilangnya moral dalam mematuhi etika kewartawanan adalah petanda tidak baik kerana merosakkan pemikiran.

Mesti berani, bawa naratif kepada kebenaran

Kebebasan media amat penting bagi memastikan keadilan penyebaran info dari mana-mana pihak tanpa bias kepada sesuatu atau pihak. Namun begitu, kebebasan bukanlah tiket untuk bebas tanpa pedoman sehingga soal dosa pahala tidak dihiraukan. Jika kebebasan begitu ia adalah kebebasan berasaskan doktrin Liberalisme atau hakikatnya ia bukanlah kebebasan tapi terbabas.

Wartawan mestilah bebas dari bias pengaruh sogokan kerana ia akan mempengaruhi maklumat yang disampaikan. Wartawan mestilah bebas dan berani membuka minda dan menyingkap sesuatu kebenaran. Tugas ini mestilah berpaksikan kebenaran bukan upahan murahan publisiti.

Disebabkan itu, perkara benar mesti dilaporkan benar manakala perkara salah mesti dilaporkan salah. Tidak boleh bercampur aduk antara keduanya.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَلۡبِسُوا۟ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُوا۟ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

[al-Baqarah: 42]

Lihat bagaimana kisah burung Hud Hud yang menjadi penyampai berita kepada Nabi Sulaiman mengenai kisah Ratu Balqis di Negeri Saba’. Ia menyampaikan berita yang benar mengenai kesesatan masyarakat di sana agar diambil tindakan oleh Nabi Sulaiman untuk langkah berdakwah.

Firman Allah S.W.T:

فَمَكَثَ غَیۡرَ بَعِیدࣲ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمۡ تُحِطۡ بِهِۦ وَجِئۡتُكَ مِن سَبَإِۭ بِنَبَإࣲ یَقِینٍ

“Burung belatuk itu (Hud Hud) tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari Negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.”

[an-Naml: 22]

Jadilah pengamal media dan wartawan yang membawa manusia memahami kebenaran dan melihat keindahan Islam. Di saat Yahudi Zionist menguasai dunia dengan menguasai media bagi mempengaruhi minda manusia, maka kita memerlukan wartawan-wartawan Islam untuk bangkit jihad menyingkap kebenaran dan membongkar kejahatan musuh.

Binalah naratif yang baik dan memimpin manusia ke jalan yang sebenarnya. Ini kerana musuh sentiasa mewujudkan naratif jahat dengan mengulang-ulang bagi memburukkan Islam seperti:

(1) Doktrin Islam itu pengganas atau terrorist.
(2) Doktrin Islam diskriminasi hak wanita.
(3) Doktrin cara hidup Islam itu jumud.

Dan banyak lagi. Semoga mereka yang terlibat dalam kerjaya kewartawanan secara rasmi atau sesiapa sahaja yang secara langsung dengan tugasan wartawan ini, menjadikan ia kerja jihad di saat manusia dikaburi dengan maklumat palsu dan kurang masak.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/6/2020

- Advertisement -