Cukup-cukuplah berspekulasi kosong

- Advertisement -

SETELAH diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 1 Mac lalu iaitu kira-kira 3 bulan lepas dan kemudiannya membentuk Kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan. Ianya bagi menggantikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang roboh sebelumnya apabila Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir meletak jawatan atas pilihannya sendiri.

Pada Persidangan Parlimen 18 Mei lalu, bangku Kerajaan di Dewan Rakyat dipenuhi dengan 113 orang wakil dan dengan itu mengabsahkan Kerajaan Perikatan Nasional sedangkan bangku pembangkang diwakili 108 wakil. Wakil dari Selangau memilih menjadi wakil tunggal Bebas ketika itu.

- Advertisement -

Blok Kerajaan diketuai Tan Sri Muhyiddin diwakili:

Umno (BN) – 39
BERSATU – 32
PAS – 18
PBB (GPS) – 13
PRS (GPS) – 2
PDP (GPS) – 2
MCA – 2
MIC – 1
SUPP (GPS) – 1
PBS – 1
STAR – 1
PBRS – 1

Jumlah – 113 kerusi

Jika tiada aral melintang, dan parti-parti di bawah PN pula kekal kukuh, adalah dijangka dengan dukungan dan kepercayaan rakyat, Kerajaan PN akan memerintah sehinggalah tamat penggal Parlimen ke-14 ini.

Namun demikian kem pembangkang yang kecewa dan tidak dapat menerima kehilangan kuasa mereka terus meniupkan desas-desus yang kononnya mereka berupaya menamatkan penguasaan Kerajaan dalam tempoh terdekat. Ada yang mendakwa telah punya 129 kerusi sekali gus berhak dinobatkan sebagai Kerajaan baru. Ada yang mendakwa bertukar Kerajaan sebelum persidangan Parlimen Julai nanti.

Dakwaan dan spekulasi kosong seumpama ini ternyata tidak sihat buat rakyat dan negara. Sampai bilakah kita mahu dipaksa berada dalam situasi ketidaktentuan sedangkan tugas besar di hadapan kita adalah membina kembali negara pasca COVID-19 dan bersama mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan negara.

Dakwaan sebegini jika dibiarkan berlarutan hanya akan merugikan negara dan malah mampu mencetuskan pula kebimbangan dan ketegangan di kalangan rakyat. Jika benarlah PH punya bilangan yang cukup bagi membentuk Kerajaan, nyatakanlah secara terbuka, dan jangan bersandiwara.

Pada 18 Mei lalu mereka cuma ada 108 kerusi, dan jika benar mereka kini punya 129 kerusi bermakna 21 wakil PN telah melompat ke pangkuan mereka. 21 itu angka yang besar dan PH bertanggungjawab mengisytiharkan pada rakyat dan negara siapa dan dari parti manakah datangnya 21 itu?

Kalau sekadar gertak dan angan-angan kosong, lebih baik tumpu pada tugas-tugas sebagai pembangkang dan nantikan dengan penuh sabar PRU ke-15 nanti.

Dengan kemampuan Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan PN memimpin negara dan rakyat 3 bulan kebelakangan ini, pandemik COVID-19 berjaya dikawal, pasaran saham kembali rancak, pasaran komoditi semakin memberangsangkan, ekonomi negara beransur pulih, rakyat makin bersatu-padu, jika pun berlaku peralihan sokongan dari satu blok ke blok yang lain, lebih munasabah tokoh dan kelompok dari PH-lah yang dijangka melompat meneguhkan lagi Kerajaan PN dari tokoh dan kelompok PN mahu berpaling tadah menyokong PH.

Rakyat sebelumnya cemas dan tidak selesa di bawah PH, jawatan Perdana Menteri (PM) menjadi rebutan, PH gagal menepati janji-janji pilihan raya, hubungan antara kaum menjadi tegang, isu-isu sensitif khususnya melibatkan orang Melayu Islam mencetuskan kebimbangan, soalnya mahukah rakyat kembali menaikkan PH?

Hentikanlah berlagak bagai kisah si pengembala kambing dan serigala. Bimbang nanti sampai bila-bila pun rakyat tidak akan percaya lagi.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/6/2020

- Advertisement -