‘Ar-Raf’u wat Takmil fil Jarhi wat Ta’dil’

Ulasan buku

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, selesai membaca kitab ‘Ar-Raf’u wat Takmil fil Jarhi wat Ta’dil’ karangan al-Imam Abu Hasanaat Muhammad Abdul Hayyi al-Laknawi (wafat 1886 M), yang ditahqiqkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (wafat 1997 M) RahimahumaLlah.

Terlalu hebat kandungan kitab dan kandungan nota tahqiqnya. Membacanya seperti kita sedang menyelam dalam lautan dalam yang indah, penuh dengan batu karang besar, kecil dan bersaiz gergasi yang dihiasi dengan permata dan hidupan laut daripada pelbagai spesis. Kita menyelam perlahan-lahan sambil memerhatikan setiap flora dan fauna yang beraneka saiz dan warna itu bergerak tenang, sekejap pantas, sekejap tidak, dalam gerakan serba rawak, namun tersusun.

Ia sungguh memukau, seolah-olah kita tidak pernah melihat ketenteraman itu walaupun pada skrin televisyen.

Begitulah kedalaman dan kematangan ilmu yang luar biasa yang dimiliki oleh dua orang ulamak besar dalam bidang ilmu Hadis ini, terutamanya dalam bidang al-Jarhu wat Ta’dil yang menjadi fokus kitab ini. Ilmu yang serius, tetapi dibentangkan oleh kedua-dua penulis dan pentahqiq kitab ini dengan penuh kehalusan dan tertib yang tinggi. Terpukau kita dengan ulasan dan kupasan mereka pada setiap tajuk yang mereka bahaskan.

- Advertisement -

Bidang al-Jarhu wat Ta’dil ialah bidang mencederakan keperibadian seseorang rawi Hadis atau sebaliknya memperakui keadilan dan kekuatan peribadi rawi itu. Ia bertujuan menentukan kekuatan sanad atau rantaian rawi bagi sesuatu Hadis, sama ada rawinya mencukupi syarat adil, dhabit dan riwayatnya benar-benar bersambung atau tidak, yang nanti akan memberi implikasi penting kepada proses menghukum sesuatu Hadis itu sebagai sahih, hasan, dhoif, sangat dhoif ataupun mauduk.

Al-Imam al-Laknawi R.A tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penuntut pengajian Hadis. Saya banyak sekali mendengar nama kitab beliau ini ketika belajar ilmu Hadis daripada Dr. Hamzah an-Nu’aimi dan Dr. Muhammad Abul Laith ketika di UIA. Namun tidak berkesempatan untuk mencari dan membaca buku itu sendiri.

Ulamak besar daripada Benua India ini menulis kitab ini antaranya bertujuan untuk mengelakkan silap faham sebahagian penuntut ilmu apabila berhadapan komentar-komentar yang kurang elok dan menjatuhkan darjat ke atas rawi-rawi Hadis yang thiqah oleh ahli-ahli al-Jarhi wat Ta’dil yang thiqah juga. Ada juga yang sengaja menggunakan ilmu ini semata-mata untuk merendahkan golongan tertentu secara membuta tuli, tanpa memahami konsep keseluruhan disiplin ilmu ini dan cara mempraktikkannya secara objektif.

Maka dijelaskan caranya, antaranya dengan mengenal pasti lafaz yang digunakan oleh setiap ahli bidang ini, kadang-kadang tidak sama maksud lafaz ini di sisi huffaz Hadis yang tertentu. Kadang-kadang disebabkan oleh perbezaan mazhab, perbezaan iktikad, kecenderungan ilmiah yang berbeza, pertikaian peribadi, gurauan dan beberapa faktor lagi.

Jika faktor-faktor ini tidak diambil kira, penilaian kita kepada seseorang rawi akan jauh tersasar daripada kebenaran. Rawi yang thiqah akan menjadi dhoif disebabkan dia dijarahkan secara tidak adil. Dan ramai sekali rawi yang sebenarnya thiqah, tetapi dijarahkan dengan perkara yang pada hakikatnya tidak menghapuskan keadilan keperibadiannya. Jika semua jarah diterima tanpa ketelitian dan secara tidak objektif, maka hampir tidak ada rawi yang selamat daripada komentar berunsur jarah itu.

Yang menarik juga ialah Syeikh Abu Ghuddah RahimahulLah menulis nota tahqiq yang bukan saja sangat lengkap dan luas, bahkan beliau memenuhi tahqiqnya penuh dengan maklumat tambahan yang luar biasa. Seolah-olah nota tahqiqnya itu mampu berdiri sendiri seperti sebuah kitab yang tersendiri pula.

Beberapa catatan menarik yang saya kutip daripada kitab ini

Sebenarnya semua perkara berkaitan kitab ini adalah menarik semuanya. Bermula daripada kata aluan cetakan ke-enam oleh anakanda Syeikh Abu Ghuddah, Syeikh Salman Abu Ghuddah lagi, iaitu pada muka surat 4, sehinggalah satu demi satu perbahasan dibentangkan hingga tamat kitab ini pada muka surat 432.

Semuanya menarik, penting dan tidak ada yang tidak penting atau tidak menarik. Yang saya catatkan di sini hanyalah beberapa maklumat luar biasa yang jarang ditemui dalam kitab yang lain.

Antaranya;

(1) Imam Abu Hanifa an-Nu’man bin Thabit R.A dan kebanyakan murid dan ulamak besar mazhab Hanafi, ramai yang dicederakan keperibadian mereka atas sebab yang tidak adil. Antaranya sebagai ahli rakyi yang cenderung kepada menggunakan akal dalam memahami hukum. Antaranya tuduhan sebagai murjiah yang sesat, walhal tuduhan itu tidak betul. Yang betulnya ada murjiah firqah yang sesat, dan ada murjiah dalam persoalan khilaf di kalangan Sahabat dan murjiah dalam memberikan takrif iman, tanpa memasukkan unsur amal di dalam takrif.

Jarah jenis ini, ditolak oleh ahli bidang al-Jarhi wat Ta’dil atas dasar perbezaan mazhab dan perbezaan iktikad.

Tuduhan berbeza iktikad adalah kerana Imam Abu Hanifah dituduh murjiah, bukan ahlus Sunnah kerana mengatakan iman adalah akad kepercayaan di dalam hati dan ia tidak bertambah berkurang. Ini bertentangan dengan pendapat masyhur kebanyakan ahli Hadis yang berpegang kepada iman bertambah dan berkurang.

Setelah ditahqiqkan masalah ini, pendapat Imam Abu Hanifah tidak berbeza dengan pandangan Asyar’irah, Maturidiyyah dan ahli Hadis. Khilaf hanya dalam bentuk rupa ibarat, bukan dalam bentuk hakikat maksud. Kesemua maksudnya menepati adalah Ahlus Sunnah. Tidak menepati maksud yang dikehendaki oleh golongan murjiah, Khawarij atau Mu’tazilah dalam perbahasan perkaitan amal dengan tasdiq dan iqrar dalam menentukan maksud iman yang sahih.

Perbahasan panjang perkara ini sama-sama ditekankan oleh Imam Laknawi dan Syeikh Abu Ghuddah dalam nota tahqiqnya. Pembelaan terhadap Imam Abu Hanifah banyak juga dipetik daripada Syeikh Zahid al-Kawthari, seorang ulamak besar yang merupakan guru kepada Syeikh Abu Ghuddah.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami al-Makki asy-Syafi’i turut menulis buku membela Imam Abu Hanifah.

Perbicaraan mengenai Imam Abu Hanifah panjang, berulang dan disertakan dengan dalil-dalil dan perbahasan dalil yang banyak tetapi sangat menarik dan beradab.

Mungkin kerana Syeikh Abu Ghuddah sendiri bermazhab Hanafi dan kebanyakan ulamak Hadis di India bermazhab Syafie. Sementara kebanyakan ahli riwayah, ahli Hadis dan ahli al-Jarhu wat Ta’dil adalah daripada mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki.

Yang menariknya, mutakhir ini ulamak India dimuliakan oleh Allah S.W.T dengan memelihara ilmu Hadis, dan kebanyakan mereka adalah bermazhab Hanafi daripada segi fiqh dan bermazhab Maturidi daripada segi akidahnya. Mazhab akidah Imam Maturidi pula cenderung mengikut pendapat Imam Abu Hanifah dalam bab akidah.

(2) Jarah Imam Ahmad bin Hanbali R.A ke atas Imam al-Harith al-Muhasibi tidak diambil kira oleh Ahlul Jarhi wat Ta’dil kerana faktor perbezaan cara pembawaan diri. Sebenarnya, kedua-duanya adalah imam yang thiqah dan hidup sezaman.

Pembawaan diri Imam Ahmad adalah mengikut jalan ahli Hadis yang tidak gemar bidang tasawuf yang dikembangkan mengikut disiplin ilmu tasawuf yang lebih kompleks. Beliau lebih cenderung sekadar beramal dengan amalan yang disebutkan di dalam Hadis sebagai tazkiyatun Nafs, dan tidak gemar dengan pihak yang menentukan tahap-tahap perubahan hal, maqam dan beberapa istilah disiplin ilmu Tasawuf yang tidak disebutkan secara spesifik di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Imam al-Harith al-Muhasibi R.A pula adalah seorang ahli Tasawuf dan ahli ilmu Kalam.

Ini disebut jarah kerana perbezaan kecenderungan pembawaan diri seseorang rawi Hadis berdasarkan kecenderungannya dalam bidang pengajian ilmiahnya. Ada Asy’ari, ada Maturidi, ada Salafi, ada Mutakallim, ada Mutasawwif dan lain-lain.

Ia adalah bentuk jarah yang tidak diterima untuk ditolak riwayat Hadis daripada mereka.

(3) Imam az-Zahabi R.A, hampir disepakati keimamannya dalam bidang al-Jarhu wat Ta’dil. Kebanyakan hukum beliau ke atas rawi-rawi adalah diakui oleh majoriti besar ahli bidang ini.

Dalam kitab ini, perbahasan lebih ditumpukan kepada kitab beliau Mizan al-I’tida dan istilah-istilah yang digunakan oleh ahlul Jarhi wat Ta’dil yang disebut dalam kitab beliau.

Beliau mengajar orang yang mahu terlibat dalam disiplin al-Jarhu wat Ta’dil supaya tidak dikaburi dengan taasub mazhab fiqh, mazhab aqidah atau kecenderungan ilmiah yang bersifat peribadi. Beliau menerangkan kaedah yang membolehkan ahli bidang ini memberikan hukum ke atas rawi secara objektif dan adil.

Begitulah hukum beliau ke atas kebanyakan rawi secara praktikalnya.

Walaupun begitu, beliau tetap manusia biasa. Ada juga terkesan dengan sifat itu secara tidak langsung. Ini kerana kecenderungan beliau adalah kepada akidah Salafi, walaupun bermazhab Syafie daripada segi fiqhnya. Beliau tidak gemarkan perbahasan ilmu Kalam dan Tasawuf falsafi.

Ketika memberikan ulasan mengenai Imam Abul Hasan al-Asy’ari, beliau mentarjihkan bahawa pegangan akhir Imam Asy’ari adalah akidah Salaf iaitu tidak mentakwilkan nas mutasyabihaat, sebagaimana yang dipegang oleh Asya’irah dan Maturidiyyah.

Ini mencetuskan serangan ‘hebat’ daripada muridnya sendiri iaitu al-Imam as-Subki R.A yang membela Imam Asy’ari R.A dan Mazhab Asya’irah. Sambil mengakui kehebatan gurunya, ketinggian ilmu dan ketakwaannya, namun menganggap gurunya tetapi dalam bab ini terlalu taasub dengan mazhab Salafi dan terlalu keras dengan golongan Asya’irah.

Serangannya Tajuddin as-Subki R.A dalam bentuk yang keras dan agak kasar dalam kitab thobaqaat asy-Syafi’iyyah dikritik pula oleh Syeikh Abu Ghuddah sebagai terlalu melampau pula. Kata Syeikh Abu Ghuddah seorang murid yang menjadi hebat kerana bergurukan kepada gurunya yang hebat itu sepatutnya tidak sampai ‘menghentam’ gurunya sehingga melampau seperti itu. Ini kerana Imam az-Zahabi turut memuji dan mengakui kedudukan tinggi Imam Abul Hasan Asy’ari dalam mempertahankan akidah ahlus Sunnah ketika menulis biografi ringkas beliau.

Begitu juga Imam al-Laknawi menyebutkan ulasan az-Zahabi yang kurang mesra dengan ahli Tasawuf. Kerana Imam al-Laknawi juga seorang sufi. Namun Syeikh Abu Ghuddah mempertahankan Imam az-Zahabi pula dengan berpendapat Imam az-Zahabi tidak memberikan ulasan yang kurang baik kepada semua ahli Tasawuf, cuma kepada ahli Tasawuf yang tidak bersandar kuat kepada al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya beliau membawa banyak sekali biografi ahli Tasawuf yang dipuji oleh az-Zahabi dalam kitab al-Mizan. Tetapi tidaklah dipuji melangit seperti yang dibuat oleh al-Muarrikh al-Yafi’i ketika memberikan biografi seseorang ahli Tasawuf.

(3) Antaranya lagi ialah tidak dikira ulasan mencederakan oleh Imam Malik R.A ke atas Imam Muhammad bin Ishak R.A, ulasan mencederakan Imam an-Nasaie ke atas Imam Ahmad bin Soleh al-Misri, ulasan mencederakan Imam Sufyan ath-Thawri ke atas Imam Abu Hanifah, ulasan mencederakan Imam Yahya Ibnu Ma’in ke atas Imam asy-Syafi’i dan banyak lagi.

Semua mereka adalah imam yang thiqah dan masyhur keimaman mereka.

(4) Ketelitian dan kesungguhan Syeikh Abu Ghuddah dalam bidang bahasa Arab, antaranya boleh dilihat dalam nota tahqiqnya mengenai perkataan مشايخ. Itu yang betul mengikut kaedah Sorof dan ramai yang ambil mudah dengan menggunakan مشائخ. Perkataan الوهم, perbezaan makna dengan sebab perbezaan baris jika kita membaca wahamun atau wahmun. Penggunaan غير yang tidak patut di alif-lam kan.

(5) Hubungan Syeikh Abu Ghuddah dengan guru-gurunya dalam bidang Hadis terutamanya di Syria, Mesir, Maghribi dan India adalah sangat luar biasa. Hubungan ilmiah sentiasa ada, bertanya pendapat, memohon tasbih, membetulkan kesilapan dan lain-lain dengan cara dan adab yang sangat tinggi.

Antaranya hubungan berterusan dengan gurunya yang masih hidup ketika itu di India Maulana al-Allamah al-Muhaddith al-Faqih Habibur Rahman al-A’zomi (antaranya pada ms 248) dan al-Allamah al-Muhaddith al-Jihbiz Syeikh Abdullah bin as-Siddiq al-Ghumari daripada Maghribi (antaranya pada ms 247) dan yang selalu disebut oleh beliau al-Allamah al-Muhaddith asy-Syeikh Zhafar Ahmad al-Uthmani at-Tahanawi.

(6) Mengenal nama-nama ahli al-Jarhi wat Ta’dil yang terkenal, istilah yang mereka gunakan, terdiri dalam golongan keras, sederhana atau lembut dalam menjatuhkan hukum, terdiri daripada mutaqaddimin atau mutakhirin. Antara nama yang tidak boleh dilupa kerana mempunyai kitab yang khusus ialah Al-Hafiz al-Mizzi, Al-Hafiz Ibnu ‘Adi, Al-Hafiz Az-Zahabi, Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani. Antara imam-imam besar pula seperti Imam Yahya Ibnu Ma’in, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hatim, Imam Ali Ibnu al-Madini, Imam al-Bukhari, Imam Ibnu Khuzaimah, Imam Ibnu Hibban, Imam Ibnu Jawzi dan lain-lain.

(7) Kesungguhan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah R.A yang amat luar biasa di dalam memberi khidmat kepada kitab Imam al-Laknawi ini. Beliau bukan mentahqiqkan secara biasa-biasa saja, tetapi penuh kecekalan, ketepatan, ketelitian dan banyak berfikir untuk memberi nilai tambah yang hebat kepada kitab yang sehebat ini.

Memanglah, Syeikh seorang yang sangat tinggi ilmu, amal dan adabnya. Disiplin akademiknya, hampir kedengaran seperti cerita golongan Salaf terdahulu yang sangat cintakan ilmu dan sangat ikhlas dalam menjaga, mengembang dan menyebarkan ilmu dengan hanya semata-mata mengharapkan ganjaran daripada Allah S.W.T jua. Ia adalah satu motivasi yang tinggi untuk golongan ahli ilmu.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen di Syria mewakili Halab pada tahun 1961. Kemudian beliau menetap di Saudi sehinggalah ajal datang menjemputnya di salah sebuah hospital di Riyadh pada Ahad, 9 Syawal 1417 H bersamaan 6 Februari 1997. Seterusnya beliau dikebumikan berdekatan dengan maqam kekasihnya di perkuburan Baqi’. RahimahulLaah.

Kesimpulan

Memberi komentar mengenai para ulamak bukanlah tugas yang mudah. Ia dibuat oleh ahli al-Jarhi wat Ta’dil dengan tujuan untuk memelihara keabsahan Hadis Nabi S.A.W yang menjadi keutamaan yang lebih utama. Dan mereka lakukannya dengan sangat cermat. Ia bukanlah kerja suka-suka atau kerana tidak ada kerja lain.

Pada hari ini, mana-mana ulamak yang bukan daripada aliran ini dicela oleh aliran ini, dan begitulah sebaliknya. Lebih baik kita lebih berhati-hati. Lebih baik lagi jika kita tidak menuturkan sesuatu pun yang buruk mengenai maruah dan keutuhan peribadi mereka.

Apabila kita hendak memfasiqkan, membidaahkan, melaknat atau mengkafirkan seseorang ulamak yang besar, sebaiknya kita lebih berhati-hati kerana nanti Allah S.W.T akan bertanya kita sebab kita mencederakan maruah mereka sesedap mulut kita, adakah dalil dan hujah kita mencukupi?

Perbincangan secara akademik pula tidak memerlukan kata-kata nista seperti itu. Untuk mencela mereka tanpa sebarang keperluan dan hujah, lagilah berat.

Kata Imam Abu Jaafar Muhammad Ibnu Jarir at-Thobari, “Komentar (tidak elok) oleh sebahagian daripada para ulamak terhadap sebahagian yang lain sepatutnya tidak segera diiyakan. Apatah lagi jika dia (iaitu orang yang dikatakan tidak elok itu) adalah seorang Imam yang besar”. (Ms 417 kitab ini, petikan daripada Mizan al-I’tidal).

Semoga Allah S.W.T merahmati Imam al-Laknawi dan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dengan rahmat-Nya yang tidak bertepi dan menempatkan mereka di dalam syurga FirdausNya yang tinggi. Dan mudah-mudahan kita juga dikumpulkan bersama mereka bersama-sama dengan kekasih Rabbul Alamin S.A.W.

ZAKARIA ISMAIL – HARAKAHDAILY 1/6/2020

- Advertisement -