KESUNGGUHAN kerajaan untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka diharap menjadi langkah yang konsisten dilaksanakan. Ketika sama usaha memastikan sempadan negara dikawal ketat tanpa bolos dari dicerobohi PATI mesti terus menjadi komitmen dan keutamaan pihak keselamatan dan agensi penguat kuasa terbabit.
Ianya bukan semata-mata berkait kepentingan kesihatan rakyat dan negara ini dalam usaha mencegah pandemik COVID-19, tetapi lebih besar juga adalah berkaitan keselamatan, kedaulatan dan masa depan Malaysia. Isu warga asing dan PATI hakikatnya telah meletakkan Malaysia di kedudukan gugatan dan ancaman yang sama sekali tidak boleh dipandang enteng.
Ketika ini, sekitar 2 juta warga asing menjadi sebahagian penduduk Malaysia dengan pelbagai tujuan yang sah menurut perundangan negara. Tetapi pemerhatian dan maklumat dari pihak yang melakukan siasatan menganggarkan jumlah PATI di negara ini melebihi 5 juta orang. Angka ini wajib dibimbangkan kerana mereka wujud secara tersembunyi dan tanpa rekod sah.
Walaupun kedatangan sebahagian besarnya bertujuan menadah nikmat rezeki yang melimpah ruah di negara ini, namun disebalik dan bersama mereka juga terbawa pelbagai masalah serta gejala. Sekiranya tidak ditangani, ia mampu menjadi ‘bom jangka’ yang meledak ke atas keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia, ekonomi serta institusi negara.
Pertama, tanpa rekod dan diketahui latarbelakang, kedudukan serta pergerakan mereka, PATI yang ada sangat berpotensi menyebabkan pelbagai jenayah. Pembunuhan, kecurian, rompakan, rogol dan sebagainya, sudah banyak rekod melibatkan PATI dan warga asing. Bahkan, negara ini telah menjadi ‘port scammer’ dalam kalangan warga asing meluncurkan kegiatan mereka.
Kedua, mereka terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi oleh Kapitalis atau sindiket berkepentingan yang memperdagangkan PATI bagi menjana kekayaan. Sedangkan aspek kebajikan dan kemanusiaan langsung diabaikan, termasuk ditipu dinafikan gaji dan seumpamanya. Akhirnya masalah menjebak ke lingkaran jenayah yang memangsakan rakyat awam dan negara ini.
Ketiga, PATI dan warga asing dijadikan agen atau sekutu untuk mendapatkan kedudukan atau meraih hak tertentu yang berkait sistem atau peruntukan negara ini. Kecurangan ini lazimnya dilakukan pengkhianat negara yang punyai kepentingan politik. Lantaran itulah berlakunya penjualan MyKad yang akhirnya mendedahkan kepada pelbagai kepincangan.
Semua hal ini tentulah sekurang-kurangnya merampas hak rakyat dalam persaingan di sektor pekerjaan dan menikmati kemudahan. Selain kacau ganggu pada kehidupan sosial dan budaya harmoni rakyat pelbagai kaum negara ini. Paling menakutkan ia menimbulkan ketidaktenteraman awam, bahkan boleh meletus menjadi lebih besar hingga menggugat keselamatan dan kedaulatan negara. Bahkan hingga kepada lebih ekstrem adalah negara dikuasai atau dijajah kuasa asing secara halus.
Apatah lagi perkembangan terakhir sebelum tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan telah berlaku insiden-insiden mengejutkan terdedah melibatkan jenayah yang meningkat dalam kalangan PATI dan warga asing. Termasuk kejadian ‘system down’ di pintu masuk KLIA, kehilangan rekod Imigresen dan peratusan besar pelancong asing tidak keluar selepas tamat tempoh.
Ini tidak termasuk inisiatif pihak PH dalam memberi kewarganegaraan kepada warga asing, urusan Visa yang diistimewa atau dipermudahkan, skim atau kempen pemilikan rumah dan pelbagai lagi isu seumpama. Semua gerakan ini licik dan ‘pintu belakang’ untuk menguasai negara secara sulit tetapi strategik. Oleh itu, gesaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu ini kekal relevan dan perlu disegerakan.
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 31/5/2020